Hantar Karya Anda

Selasa, 9 Oktober 2007 0 suara

Anda ingin menjadikan penulisan sebagai hobi untuk mengisi ruang waktu? Ingin ceritakan jejak-jejak perjalanan para mujahid dakwah agar ia dihayati oleh pembaca? Anda ingin penulisan cerpen berunsur Islamik tersiar di laman web kami? Ada rumusan ilmiah tentang Islam? Hantarkan karya-karya asli anda ke laman web "Thaqafah Dae'iah". "Thaqafah Dae'iah" adalah laman yang mengumpulkan sejumlah bakat penulisan kreatif dan non kreatif, makalah-makalah dan kajian-kajian Islam. Sekalipun mempunyai pelbagai bidang dan tajuk, tetapi ia mempunyai matlamat yang sama iaitu memberikan informasi kepada pembaca di samping membantu para penyumbang untuk bergiat aktif di dalam dunia penulisan.

Mahasiswa al Azhar sangat dituntut untuk bertindak proaktif dalam menghasilkan seni dakwah tidak kira dalam pertuturan atau karya tulisan. Cabaran yang dihadapi oleh generasi hari ini ialah untuk memberikan maklumat Islam setepat-tepatnya menurut jalan Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam yang luhur. Semoga bantuan sahabat daripada bumi ulama al Azhar dapat memandu umat ke arah memahami ilmu-ilmu Islam beserta amal Islami dengan kaedah yang sesuai mengikut realiti kontemporari. Apabila dapat menghasilkan tulisan, bukan bermakna kita harus melulu menghasilkan produktiviti dan populariti. Buatlah apa-apa yang terbaik untuk generasi umat, hasil daripada penulisan kita sekalipun ia singkat.

Mahasiswa al Azhar perlu sedar, dunia internet begitu akrab di kalangan para penulis dan para pembaca. Ia adalah elemen yang sangat mustahak kerana banyak membantu dalam mengutuskan ribuan teks bacaan dengan belanja yang murah, cepat dan efisien (cekap). Maka, kita dapati saluran media, tabloid, dan sebagainya memperuntukkan kewangan untuk membangunkan laman web sendiri. Menulis bukanlah satu kemahiran yang hanya dimonopoli oleh orang yang berbakat. Jika kita mengisi masa dengan membaca dan mencatat apa sahaja yang ingin ditulis, tidak mustahil keupayaan menulis dan mencipta idea mengatur huruf akan datang dengan sendirinya. Kesilapan yang sering berlaku di kalangan kita ialah, kita hanya membaca buku hanya pada saat genting, iaitu ketika menjelangnya imtihan. Sedangkan bagi agamawan, kesedaran membaca wajib dijadikan rutin seumur hidup

Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk menulis boleh sahaja mengambil topik-topik penulisan mengenai pengetahuan ilmiah atau pengetahuan umum. Dengan syarat, para penyumbang perlulah bertanggung jawab sepenuhnya terhadap sebarang hasil yang ingin dimuatkan ke dalam laman web kami. Justeru itu, pihak pengurusan laman web ini mensyaratkan kepada mereka yang berminat, perlu menyertakan nama penuh mereka. Sila hantarkan manuskrip penuh anda kepada kami melalui emel ke thaqafah@gmail.com. Insya Allah, sumbangan yang dihantar akan kami paparkan ke http://thaqafah.coconia.net/
Baca Sepenuhnya >>

Nilai Kreatif Dalam Sastera Kreatif

Khamis, 23 Ogos 2007 0 suara
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Maksud sastera kreatif dalam tulisan ini adalah cerpen. Sekiranya sajak adalah pemilihan kata terbaik dengan susun kata terbaik, maka cerpen adalah pemilihan isi terbaik dengan penyampaian terbaik. Cerpen sebagai sebuah karya kreatif adalah sebuah cerita yang cuba disampaikan secara kreatif. Ia bermakna, membina sebuah cerpen tanpa kewujudan nilai kreatif di dalamnya membuatkan cerita itu kekurangan nilainya. Nilai kreatiflah adalah antara aspek yang akan membezakan antara sebuah karya kreatif dengan sebuah karya non kreatif.

Sebagai sebuah karya kreatif, kreatif itu sendiri adalah suatu yang subjektif. Ia bermakna, ia masih lagi berada dalam lingkungan kreativiti seorang penulis bagaimana harus dia menyampaikan sebuah cerita. Lingkungan kreativi adalah luas, dan terpulang bagaimana seseorang itu bertindak mahu menjayakannya. Kreatif dapat dilihat dalam pembentukan ayat, mahupun dalam penyampaian isi.

Kreativiti Dalam Pembentukan Ayat

Sebetulnya, ayat adalah kebebesan pengarang, kerana setiap pengarang mempunyai gaya bahasa sendiri. Namun, kewujudan nilai kreatif adalah amat perlu dan harus mewarnai karya supaya nilai kreatif dapat menaikkan mutu karya. Kreatif bukan bererti anda mesti menggunakan perkataan yang pelik-pelik yang tidak difahami, atau mencedok bahasa asing hingga menyukarkan pembaca dan menurunkan minat pembacaan, tetapi kekreatifan pembetukan ayat yang seharusnya mampu menarik pembaca agak meneruskan pembacaan ke hujungnya.

ISTERI saya lesbian! Saya tergegau metah. Pengakuan berani itu menampar ego yang saya bina empat puluh tahun. – Seorang Isteri Pengunggul Sappho, Nazmi Yaakub.

Saya menumbuk meja. Geram terkial-kial. Radang menjentik, mengganasi ketenangan yang selama ini berjaya ditampilkan di depan khalayak pengundi. – Seorang Isteri Pengunggul Sappho, Nazmi Yaakub.

Anda memancing hujah Saya. Justeru, adakah Saya seperti ikan yang teragak-agak memagut umpan? – Sodom Untuk Anda, Nazmi Yaakub.

Barangkali Anda tumpul selera, tetapi mengapa secepat itu nafsu makan Anda bubar? – Sodom Untuk Anda, Nazmi Yaakub.

Saya resah. Hati bergelora. Musim tengkujuh masih belum menjelang, tetapi saya terperangkap dalam ribut metah dahsyat. Saya bakal menemui bakal bapa mentua buat kali pertama! – Wanita Petroleum Terakhir, Nazmi Yaakub.

Kreativiti Dalam Penyampaian Isi

Tujuan penulisan adalah menyampaikan maksud yang terkandung di dalam hati dan fikir. Penulisan kreatif (termasuk cerpen) bertujuan menyampaikan maksud tersebut secara kreatif dan berkesan. Penyampaian isi (atau disebut sebagai tema) memerlukan nilai kreatif bukan saja pada ayat, tetapi bagaimana sesebuah isi itu disampaikan. Sekalipun isi boleh disampaikan secara tegak dan biasa ketika menulis cerpen, namun, kemampuan pengarang menjadikan isi disampaikan dengan kreatif akan memberikan nilai tambah dan menjadikan cerpen lebih istimewa.

BUMI meninggal dunia. Kecelakaan kereta bertembung kereta. Pelangi masih terngiangkan gegar suara Syed. Dia masih terdengarkan gigil suara sendiri, dengan kata-kata dia sendiri sukar percaya.

20 tahun, bagaimana kau boleh masih mengekalkan diri tanpa warna? 20 tahun dan engkau masih tidak mahu turun mengindahkan dunia? 20 tahun dan kau Pelangi masih tidak mahu memaafi diri sendiri…

Pelangi sekelip mata, menahan air mata bergenangan, bersuara halus dengan suara nyaris berbisik, Tidak ada bumi untukku turun mencecahkan kaki lagi, tidak ada bumi untuk aku turun menumpahkan diri.

Aku Pelangi dan Bumilah warna-warna sebenarku... – Pelangi Tak Selalu Turun Ke Bumi, Faisal Tehrani.

“Aku telah bermimpi menjadi mawas. Seekor mawas yang hodoh, mawas raksaksa yang terlalu agam dan terkeruk-keruk seperti beruk. Itu mimpi yang sangat ngeri sekali.”

Laura membulatkan mata, membiar retina mata bertentangan. “Sayang, kau memang seekor mawas. Mawas raksaksa. Kenapa pula perlu berasa ngeri?” Laura ketawa kecil, semacam menggoda.

Laura mendekati suami. “Benar sayang. Abang bukan mawas raksaksa…orang lain sebenarnya mawas raksaksa…abang boleh tuduh siapa sahaja mawas, kabinet abang boleh membantu sepenuhnya. Manusia pun boleh abang katakan mawas kerana kuasa menuduh itu ada pada abang.”

Tuan presiden sekarang ialah seekor mawas. Mawas bukan manusia. Mawas tidak boleh memimpin manusia.

Pada pagi John Kerry mengangkat sumpah sebagai tuan presiden baru, di hadapan cermin, dia membetulkan tuxedo dan merapikan rambutnya. Teresa, isterinya datang dekat membawakan topeng. “Jangan lupa mengenakan topeng ini. Manusia dan seluruh dunia tidak perlu tahu yang awak seekor mawas sehingga tiba masanya nanti.” - Mawas Raksasa Dan Si Pemakai Topeng, Faisal Tehrani.
Baca Sepenuhnya >>

Pertandingan Menulis Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-50

Khamis, 2 Ogos 2007 1 suara

Sebagai tanda penghargaan nilai kemerdekaan Malaysia yang akan disambut tidak lama lagi, Kem Latihan Penulis (KELAP) PMRAM ingin menyemarakkan sambutan yang bermakna ini dengan menganjurkan Pertandingan Menulis Sempena 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Selari dengan hasrat itu, pihak KELAP dengan rasa penuh tanggungjawab sosial tidak akan mengenakan sebarang pembayaran kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya. Pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat Azhari untuk berkarya menerusi perspektif, persepsi dan melahirkan buah fikiran yang bertepatan dengan tema hari kemerdekaan Malaysia.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga dalam setiap kategori sahaja yang akan diberikan hadiah. Penilaian akan dibuat berdasarkan kekreatifan cara penyampaian, moral yang terdapat di dalam karya. Karya yang dipertandingkan dibuka kepada 2 kategori;
Kategori Pertama:
Karya Penulisan Kreatif
Kategori Kedua: Karya Penulisan non-Kreatif (Ilmiah)

TATACARA PENYERTAAN

A) Pertandingan ini terbuka kepada semua ahli PMRAM.

B) Karya yang dihantar mestilah bertemakan kemerdekaan. Isu sensitif yang menyentuh sentimen budaya, kaum atau orang perseorangan tidak dibenarkan sama sekali.

C) Karya mestilah ditulis dalam Bahasa Malaysia , menggunakan perisian Microsoft Word, tulisan (Arial) bersaiz 10.

D) Setiap individu hanya boleh menghantar satu karya daripada setiap kategori yang dipertandingkan.

E) Karya tersebut bukan karya plagiat (mesti asli).

F) Semua karya yang dihantar menjadi hak mutlak Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM dan berhak menyiarkan mana-mana karya yang terpilih ke dalam mana-mana sumber penyiaran

G) Keputusan hakim adalah muktamad

H) Karya mestilah dihantar sebelum 25 Ogos 2007 kepada email KELAP ;
kelap_pmram@yahoo.com
beserta nama penuh, negeri/muhafazah, kuliah dan tahun pengajian.
Baca Sepenuhnya >>

Bengkel Penulisan Berita Secara Maya

Jumaat, 20 Julai 2007 0 suara
Bengkel penulisan berita secara maya bersama Nazmi Yaakub, seorang wartawan sastera di Berita Harian. Kepada ahli Kem Latihan Penulis (KELAP) yang berminat untuk menyertai bengkel penuh bermanfaat ini, sila hubungi Ustaz Hisham b Mohamad melalui YM; ise_sekoda@yahoo.com dan menghantar satu berita yang anda tulis. Namun, sesiapa yang ingin menyertai hanya sebagai pendengar sila add id YM Ustaz Hisham sebagaimana yang telah tertera di atas untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada beliau dari masa ke semasa.


Baca Sepenuhnya >>

Karya Non-Kreatif Untuk Dibengkelkan

Ahad, 15 Julai 2007 0 suara


Kem Latihan Penulis (KELAP) cuba membentuk siri kedua bagi memantapkan teknik penulisan genre non-kreatif. Penulisan non-kreatif yang juga diistilahkan sebagai penulisan ilmiah sebenarnya merupakan elemen penting dalam penyebaran dakwah dan interaksi sesama masyarakat. Ia juga merupakan respon penulis pada fenomena atau gejala yang berlaku dalam mencari sesuatu penyelesaian dengan mengunakan teknik kajian yang tepat dan mendalam. Hasrat program ini diadakan supaya saluran dan cara penulisan non-kreatif dapat disebar luas demi kebaikan mahasiswa-mahasisiwi al Azhar kerana ia merupakan karamah dan warisan seni para ulama Islam. Oleh itu, kepada ahli-ahli PMRAM yang memiliki karya sendiri penulisan non-kreatif untuk dibengkelkan bolehlah menghantarkan kepada id yahoo KELAP iaitu kelap_pmram@yahoo.com. Anda disarankan supaya menghantarkannya sebelum 25 Ogos 2007 untuk dipost-mortem kepada moderator.
Baca Sepenuhnya >>

Album & Aktiviti 8 Julai 2007

Jumaat, 13 Julai 2007 1 suara
Oleh: Muhammad Hakimi b Hussain
Setiausaha KELAP 2007


Pada 8 Julai 2007, Kem Latihan Penulisan (KELAP) PMRAM 2007 telah membuka tirai taqwim Badan Penerangan & Penerbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan mengadakan program siri pertama, ' Pembentangan & Bengkel Karya Kreatif ' di Dewan Ibnu Sina, Rumah Johor Haiyu Thamin.

Para peserta KELAP (Kem Latihan Penulis) yang hadir

Permulaan acara dibuka dengan kalam pembuka bicara daripada pengarah KELAP yang mengharapkan penubuhan KELAP mampu melahirkan ilmuan al Azhar yang mengambil berat di dalam bidang penulisan. Seterusnya kemahiran tersebut digunakan untuk melebarkan sayap Islam dengan kekuatan dan keajaiban pena sebagaimana yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan seperti penulis negarawan, al marhum Ahmad Boestamam. "Mengasah Pena Menempa Wibawa" merupakan tema yang dipilih untuk KELAP pada sesi ini. Majlis tersebut diteruskan lagi dengan kalam penuh bersemangat daripada Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad yang menjadikan ayat pertama dan kedua surah al Qalam sebagai panduan dan titik asas permulaan perkembangan ilmu-ilmu Islam.

Lebih mengejutkan lagi apabila kehadiran perasmi, Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husain selaku Presiden PMRAM hanya berkain pelekat kerana masalah kesihatan. Bagaimanapun keadaan ini menjadi pemangkin dan pembakar semangat malah menunjukkan keprihatinan seorang Presiden sebuah persatuan induk untuk bersama-sama menjayakan program bersama ahli. Malah dalam ucapannya, beliau turut menyarankan agar ilmuan-ilmuan al Azhar lebih aktif menulis sebagai paparan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat sekalipun hanya satu karya penulisan yang dihasilkan.

Para moderator, dari kiri; Ustaz Nurul Hisham Mohammad, Ustaz Zaki M.Noor & Ustazah Siti Khadijah @ Najwa bte Abdul Ghaffar. (Tiada dalam gambar: Ustazah Nor Saidah bte Salim )
Slot pertama majlis para peserta dihidangkan dengan pembentangan kertas kerja karya kreatif oleh tiga orang panelis yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan di Mesir iaitu Ustaz Mohd Zaki M. Noor, Ustaz Nurul Hisyam Mohammad dan seorang wakil daripada muslimat, Ustazah Siti Khadijah binti Abdul Ghaffar atau lebih dikenali dengan nama penanya Sammaituha Najwa. Pembentangan kertas kerja tersebut mengambil masa hampir 2 jam itu menghuraikan skema-skema dan segala teknik yang diperlukan dalam penulisan bagi karya kreatif.

Slot tersebut dirancakkan lagi dengan sidang conference bersama wartawan akhbar Berita Harian yang juga merupakan bekas penuntut Universiti Al-Azhar cawangan Damanhur, saudara Nazmi bin Yaakub dan setiausaha Rumah PENA, saudara Syed Mohd. Zakir Syed Othman atau lebih dikenali dengan nama penanya S.M Zakir. Beliau merupakan cerpenis bercirikan falsafah Islam yang tidak asing lagi di tanahair. Tidak rugi membeli karya-karya penulisan S.M Zakir kerana beliau banyak memenangi karya sastera tempatan. Banyak kejutan dan perkembangan baru dalam dunia kesusasteraan tanah air yang disimpulkan oleh kedua-dua tokoh cerpenis ini sebagai bekalan berguna kepada para peserta KELAP.

Para peserta khusyu' mendengar amanat Ustaz Nazmi b Yaakub, penyusun 'Pijar Kinanah'

Seusai pembentangan kertas kerja, program ditangguhkan untuk solat Zohor di masjid berhampiran bagi peserta lelaki, manakala peserta akhawat melakukan solat di dalam dewan. Penyediaan menu makanan pada tengahari tersebut diketuai oleh Ustaz Yazid b Pardi, turut dibantu oleh Ketua Unit Sidang & Pengisian KELAP iaitu Ustaz Najib b Hanafiah.

Gandingan mantap 2 orang moderator

Slot ke-3 disambung semula pada jam 2 petang dengan slot bengkel di mana para moderator membaca semula semua karya yang dihantar selama 5 minit. Kemudian semua karya tersebut dibedah dan dikenal pasti segala kelemahan dan kesalahan untuk dimuhasabah. Ustazah Nor Saidah bte Salim turut hadir memberikan pengalaman dan maklumat dalam slot bengkel tersebut. Antara nasihat para moderator kepada para peserta agar menggunakan kerencaman isu dan kompleksiti kehidupan sebagai wadah menarik yang akan diutarakan di dalam kreativiti penulisan.

Para peserta sabar menadah kritikan para moderator

Bagaimanapun penulis disarankan untuk tidak menggunakan elemen tersebut dalam membicarakan subjek yang klise serta idea pengisahan yang tidak relevan. Slot yang mengambil masa hampir 6 jam menjadi penutup kepada KELAP PMRAM 2007 bagi genre karya kreatif. KELAP PMRAM pada sesi ini menerima penyertaan yang cukup memberangsangkan di mana hampir 80 orang peserta berdaftar ikhwah dan akhawat yang menjayakan KELAP PMRAM sesi 2007 ini. Tanpa noktah pihak pengurusan KELAP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat
Baca Sepenuhnya >>

Sidang Video Via YM | Iqbal: Sasterawan dan Pemikir Agung Islam

Khamis, 12 Julai 2007 0 suara
Di bawah ini adalah pelawaan daripada Saudara Nazmi b Yaakub, wartawan akhbar Berita Harian kepada semua mahasiswa-mahasiswi al Azhar yang berminat untuk menyertai sidang video melalui Yahoo Messenger. Apa yang perlu anda buat adalah meng-add-kan id yahoo kepada penamalaysia@yahoo.com. Mereka yang berminat & mempunyai kelapangan untuk turut serta menikmati topik perbahasan ini, sila add-kan yahoo id dengan menyatakan nama dan lokasi. Berikut adalah maklumat program tersebut;

MAJLIS Bicara Ilmu bertajuk 'Iqbal: Sasterawan dan Pemikir Agung Islam. Diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, 15 Julai ini, bermula pada jam 3 petang.

BIOGRAFI IQBAL
Muhammad 'Iqbal yang dilahirkan di Sialkot, Punjab, Pakistan pada 9 November 1877, diiktiraf sebagai penyair dunia, reformer & pemikir agung serta dianggap negarawan pertama yang mengilhamkan penubuhan negara India Muslim yang merdeka, sekali gus melahirkan negara Pakistan. Inilah di antara sumbangan besar Muhammad 'Iqbal ialah apabila usaha beliau di dalam penulisan dianggap sebagai pelopor kepada pembentukan negara Islam Pakistan yang bebas merdeka daripada India. Beliau turut dikenal sebagai salah seorang tokoh mujadid Islam terakhir abad ke-20 yang muncul di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Bakat serta kebolehan beliau berkarya melalui puisi-puisi perjuangannya membangkitkan kesedaran umat Islam yang masih terjajah ketika itu. Iqbal tidak bersetuju dengan konsep 'seni untuk seni' seperti yang diperjuangkan oleh sesetengah penulis. Penyair atau penulis yang seperti ini menurut 'Iqbal adalah termasuk di dalam golongan penyair yang dicela di dalam al Quran (disebut di dalam Surah as Syuraa:26, 224-226, al Quranul Karim). Bagi 'Iqbal, tujuan segala seni ialah untuk menjadikan ia sebagai panduan kepada manusia.

Dalam pada sibuknya beliau berkarya, Muhammad 'Iqbal tidak pernah lekang untuk membaca al Quran setiap hari. Sejak kecil ayahnya selalu bertanyakan apa yang dibuatnya? Jawab 'Iqbal; Membaca al Quran. Soalan ayahnya itu kerap menghala kepadanya sehinggalah mencapai tempoh 3 tahun berturut-turut. Pada suatu hari 'Iqbal bertanya kepada ayahnya; Telah lebih 3 tahun ayah masih menanyakan soalan yang sama dan jawapan yang juga sama saya berikan. Apakah maksud ayah sebenarnya ?

Lantas ayahnya mengatakan; Aku mahu mengatakan kepadamu, bacalah al Quran itu seperti kamu mendengar daripada Allah Taala sendiri. Mulai hari itu 'Iqbal membaca al Quran dengan memahami, mengkaji dan menjadikannya sebagai panduan. Hasil kekerapan 'Iqbal membaca al Quran dan mengkajinya, elemen spiritual banyak mempengaruhi karya-karya beliau dalam penulisan kreatif terutamanya dalam khazanah bidang sastera & pemikiran Islam. Dalam syair-syairnya, 'Iqbal memang banyak menegaskan kesungguhannya untuk membakar semangat umat Islam agar sentiasa bergerak maju. Dalam sebuah sajak beliau berkata:

Umat Islam
bila ingin maju
harus mampu berpacu dengan waktu
sekali umat Islam terhenti
bererti dia membiarkan dirinya tergilas dek sang waktu


Ketika Muhammad 'Iqbal diundang oleh Raja Afghanistan bernama Nadirshah, 'Iqbal telah menghadiahkannya sebuah al Quran, padanya tertulis perkataan seperti ini;

Kitab ini modal ahli hak
di dalamnya ada kehidupan
pada baris-baris kalimatnya ada kebenaran
keadilan dan kemuliaan


Muhammad 'Iqbal banyak mengubah puisinya dalam bahasa Urdu, Parsi dan Inggeris. Puisi besarnya yang terkenal iaitu Asrar-i-Khudi (The Secret of the Self/Rahsia Peribadi) yang ditulis dalam bahasa Parsi. Koleksi puisinya yang pertama ditulis dalam bahasa Urdu ialah Bang-e-Dara (Seruan Perjalanan) yang lebih bersifat nasionalistik & bertemakan cinta. Kehidupan Muhammad Iqbal terus tanpa jemu memperjuangkan nasib orang Islam melalui penulisan kreatifnya sehinggalah beliau meninggal dunia pada 21 April 1938. al Fatihah...
Baca Sepenuhnya >>

Pengenalan Kem Latihan Penulis (KELAP)

Rabu, 4 Julai 2007 1 suara

Oleh: Siti Aisyah bte Abdul Mutalib
(Timbalan Pengarah Kem Latihan Penulis 2007)


Dunia penulisan merupakan elemen yang cukup penting bagi menjana pemikiran & kelangsungan dakwah Islamiah secara khusus. Sejarah melakarkan sumbangan medan ini kepada kemajuan dakwah dalam menyebarkan risalah Islam dalam beberapa bentuk. Bermula dari pembukuan al Quran di zaman Khalifah Umar bin al Khattab seterusnya dilengkapkan oleh Khalifah Uthman bin Affan. Bertitik tolak dari situ terbitlah bidang oenulisan ilmiah, syair dan sebagainya yang menjadi medium penting bagi ulama-ulama terdahulu menyebarkan Islam selepas zaman perkembangan ilmu yang pesat suatu ketika dulu. Oleh yang demikian itu, melihat kepada peripentingnya dunia penulisan dalam setiap individu muslim, inisiatif terus diambil dan kesinambungannya terus dijana bagi melihat dunia penulisan ini tidak putus dan mampu digarap secara bersama oleh generasi Islam hari ini. Kem Latihan Penulis (KELAP) di bawah Badan Penerangan dan Penerbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM 2007 sekali lagi mengorak langkah menyambung warisan yang telah diperturunkan sejak sekian zaman.

Berorientasikan “Mengasah Pena Memandu Wibawa” mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar khususnya perlu mengasah bakat penulisan sebagai nilai tambah dalam menyampaikan ajaran Islam. Uslub ini ternyata lebih berkesan dan lebih luas penyebarannya tidak membatasi waktu dan tempat. Dengan gaya bahasa yang tersusun indah di samping hati yang ikhlas bisa menarik minat dan perhatian seterusnya masuk dan meresap ke benak sanubari para pembaca. Firman Allah Taala; “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-Kalimah Tuhanku sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-Kalimah Tuhanku walaupun kami tambah lagi lautan yang setanding dengannya.” (al Kahfi:108), al Quranul Karim

Maha luas ilmu Allah ini menjadi tanggungjawab bersama dalam menterjemah segenap ilmu yang dipelajari agar dapat dimanipulasikan segenap lapisan masyarakat agar Islam terus gah menaungi manusia sejagat di dunia milikNya semoga hati-hati kita merasa gentar apabila mendengar nama Allah apabila ia dibacakan.Kem Latihan Penulis sesi pertama yang berteraskan genre kreatif akan diadakan pada 8 haribulan Julai 2007. Sesi seterusnya akan diadakan pada bulan Ogos berteraskan genre non kreatif, khusus bagi ahli yang minat penulisan berat berbentuk ilmiah.

Kem Latihan Penulis bukan sekadar program, tetapi ia merupakan kelab bagi penulis. Sebagai praktikal bagi teori yang telah didedahkan ketika program, diakhir nanti para peserta akan diberi peluang menjayakan Suara Kampus Gabungan (SEGA) bagi tahun ini. Pihak kami amat berbesar hati menyambut penyertaan para peserta bagi menjayakan program ini. Dengan yuran LE10, peserta berpeluang menerokai ilmu penulisan seterusnya dapat memantapkan seni tersebut. Objektif PMRAM mengadakan kem ini demi melatih dan mendedahkan ahli dalam bidang penulisan. Usaha ini dikira mampu melahirkan ahli yang mahir dalam bidang penulisan seterusnya mencurahkan bakat tersebut membantu PMRAM menyampaikan risalah dakwah. Dengan program cuti musim panas ini, kami optimis mengharapkan ahli memperolehi manfaat seterusnya aktif menulis demi Islam.
Baca Sepenuhnya >>