Nilai Kreatif Dalam Sastera Kreatif

Khamis, 23 Ogos 2007 0 suara
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Maksud sastera kreatif dalam tulisan ini adalah cerpen. Sekiranya sajak adalah pemilihan kata terbaik dengan susun kata terbaik, maka cerpen adalah pemilihan isi terbaik dengan penyampaian terbaik. Cerpen sebagai sebuah karya kreatif adalah sebuah cerita yang cuba disampaikan secara kreatif. Ia bermakna, membina sebuah cerpen tanpa kewujudan nilai kreatif di dalamnya membuatkan cerita itu kekurangan nilainya. Nilai kreatiflah adalah antara aspek yang akan membezakan antara sebuah karya kreatif dengan sebuah karya non kreatif.

Sebagai sebuah karya kreatif, kreatif itu sendiri adalah suatu yang subjektif. Ia bermakna, ia masih lagi berada dalam lingkungan kreativiti seorang penulis bagaimana harus dia menyampaikan sebuah cerita. Lingkungan kreativi adalah luas, dan terpulang bagaimana seseorang itu bertindak mahu menjayakannya. Kreatif dapat dilihat dalam pembentukan ayat, mahupun dalam penyampaian isi.

Kreativiti Dalam Pembentukan Ayat

Sebetulnya, ayat adalah kebebesan pengarang, kerana setiap pengarang mempunyai gaya bahasa sendiri. Namun, kewujudan nilai kreatif adalah amat perlu dan harus mewarnai karya supaya nilai kreatif dapat menaikkan mutu karya. Kreatif bukan bererti anda mesti menggunakan perkataan yang pelik-pelik yang tidak difahami, atau mencedok bahasa asing hingga menyukarkan pembaca dan menurunkan minat pembacaan, tetapi kekreatifan pembetukan ayat yang seharusnya mampu menarik pembaca agak meneruskan pembacaan ke hujungnya.

ISTERI saya lesbian! Saya tergegau metah. Pengakuan berani itu menampar ego yang saya bina empat puluh tahun. – Seorang Isteri Pengunggul Sappho, Nazmi Yaakub.

Saya menumbuk meja. Geram terkial-kial. Radang menjentik, mengganasi ketenangan yang selama ini berjaya ditampilkan di depan khalayak pengundi. – Seorang Isteri Pengunggul Sappho, Nazmi Yaakub.

Anda memancing hujah Saya. Justeru, adakah Saya seperti ikan yang teragak-agak memagut umpan? – Sodom Untuk Anda, Nazmi Yaakub.

Barangkali Anda tumpul selera, tetapi mengapa secepat itu nafsu makan Anda bubar? – Sodom Untuk Anda, Nazmi Yaakub.

Saya resah. Hati bergelora. Musim tengkujuh masih belum menjelang, tetapi saya terperangkap dalam ribut metah dahsyat. Saya bakal menemui bakal bapa mentua buat kali pertama! – Wanita Petroleum Terakhir, Nazmi Yaakub.

Kreativiti Dalam Penyampaian Isi

Tujuan penulisan adalah menyampaikan maksud yang terkandung di dalam hati dan fikir. Penulisan kreatif (termasuk cerpen) bertujuan menyampaikan maksud tersebut secara kreatif dan berkesan. Penyampaian isi (atau disebut sebagai tema) memerlukan nilai kreatif bukan saja pada ayat, tetapi bagaimana sesebuah isi itu disampaikan. Sekalipun isi boleh disampaikan secara tegak dan biasa ketika menulis cerpen, namun, kemampuan pengarang menjadikan isi disampaikan dengan kreatif akan memberikan nilai tambah dan menjadikan cerpen lebih istimewa.

BUMI meninggal dunia. Kecelakaan kereta bertembung kereta. Pelangi masih terngiangkan gegar suara Syed. Dia masih terdengarkan gigil suara sendiri, dengan kata-kata dia sendiri sukar percaya.

20 tahun, bagaimana kau boleh masih mengekalkan diri tanpa warna? 20 tahun dan engkau masih tidak mahu turun mengindahkan dunia? 20 tahun dan kau Pelangi masih tidak mahu memaafi diri sendiri…

Pelangi sekelip mata, menahan air mata bergenangan, bersuara halus dengan suara nyaris berbisik, Tidak ada bumi untukku turun mencecahkan kaki lagi, tidak ada bumi untuk aku turun menumpahkan diri.

Aku Pelangi dan Bumilah warna-warna sebenarku... – Pelangi Tak Selalu Turun Ke Bumi, Faisal Tehrani.

“Aku telah bermimpi menjadi mawas. Seekor mawas yang hodoh, mawas raksaksa yang terlalu agam dan terkeruk-keruk seperti beruk. Itu mimpi yang sangat ngeri sekali.”

Laura membulatkan mata, membiar retina mata bertentangan. “Sayang, kau memang seekor mawas. Mawas raksaksa. Kenapa pula perlu berasa ngeri?” Laura ketawa kecil, semacam menggoda.

Laura mendekati suami. “Benar sayang. Abang bukan mawas raksaksa…orang lain sebenarnya mawas raksaksa…abang boleh tuduh siapa sahaja mawas, kabinet abang boleh membantu sepenuhnya. Manusia pun boleh abang katakan mawas kerana kuasa menuduh itu ada pada abang.”

Tuan presiden sekarang ialah seekor mawas. Mawas bukan manusia. Mawas tidak boleh memimpin manusia.

Pada pagi John Kerry mengangkat sumpah sebagai tuan presiden baru, di hadapan cermin, dia membetulkan tuxedo dan merapikan rambutnya. Teresa, isterinya datang dekat membawakan topeng. “Jangan lupa mengenakan topeng ini. Manusia dan seluruh dunia tidak perlu tahu yang awak seekor mawas sehingga tiba masanya nanti.” - Mawas Raksasa Dan Si Pemakai Topeng, Faisal Tehrani.
Baca Sepenuhnya >>

Pertandingan Menulis Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-50

Khamis, 2 Ogos 2007 1 suara

Sebagai tanda penghargaan nilai kemerdekaan Malaysia yang akan disambut tidak lama lagi, Kem Latihan Penulis (KELAP) PMRAM ingin menyemarakkan sambutan yang bermakna ini dengan menganjurkan Pertandingan Menulis Sempena 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Selari dengan hasrat itu, pihak KELAP dengan rasa penuh tanggungjawab sosial tidak akan mengenakan sebarang pembayaran kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya. Pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat Azhari untuk berkarya menerusi perspektif, persepsi dan melahirkan buah fikiran yang bertepatan dengan tema hari kemerdekaan Malaysia.

Pemenang tempat pertama hingga ketiga dalam setiap kategori sahaja yang akan diberikan hadiah. Penilaian akan dibuat berdasarkan kekreatifan cara penyampaian, moral yang terdapat di dalam karya. Karya yang dipertandingkan dibuka kepada 2 kategori;
Kategori Pertama:
Karya Penulisan Kreatif
Kategori Kedua: Karya Penulisan non-Kreatif (Ilmiah)

TATACARA PENYERTAAN

A) Pertandingan ini terbuka kepada semua ahli PMRAM.

B) Karya yang dihantar mestilah bertemakan kemerdekaan. Isu sensitif yang menyentuh sentimen budaya, kaum atau orang perseorangan tidak dibenarkan sama sekali.

C) Karya mestilah ditulis dalam Bahasa Malaysia , menggunakan perisian Microsoft Word, tulisan (Arial) bersaiz 10.

D) Setiap individu hanya boleh menghantar satu karya daripada setiap kategori yang dipertandingkan.

E) Karya tersebut bukan karya plagiat (mesti asli).

F) Semua karya yang dihantar menjadi hak mutlak Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM dan berhak menyiarkan mana-mana karya yang terpilih ke dalam mana-mana sumber penyiaran

G) Keputusan hakim adalah muktamad

H) Karya mestilah dihantar sebelum 25 Ogos 2007 kepada email KELAP ;
kelap_pmram@yahoo.com
beserta nama penuh, negeri/muhafazah, kuliah dan tahun pengajian.
Baca Sepenuhnya >>