Moderator KELAP

Isnin, 27 September 2010 1 suara

Mohd Dhiaul Iman bin Muhamad Shaifuddin lebih dikenali dengan nama pena Ibnu Reza merupakan anak kelahiran Baling, Kedah. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah seterusnya bergelar mahasiswa di universiti al-Azhar Kaherah. Mula melibatkan diri secara serius dalam dunia penulisan bermula tahun 2006 dibawah kelolaan Mohd Zaki bin M. Noor dan Sammituha Najwa. Beliau terlibat dalam penulisan majalah anak negeri selain daripada menjadi penulis kreatif bagi komik Al Fityan. Sejak 2008 beliau terlibat dalam organisasi Kem Latihan Penulis (KELAP) sehingga kini. Beliau turut terlibat dalam penerbitan buku 'Bahasa Bumi', Badar Metropolitan', dan 'Juzuk' di bawah anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) sebagai penulis. Karya beliau pernah mendapat tempat dalam akhbar Berita Minggu.


Pena Merdeka

Percik darah tua,
melukis warna peta,
memberi sebuah suara,
pada selembar sejarah.

Jelaga senja mengguruh,
pada cengkam pena.
Bila palang merah biru,
menjengah lakar di teratak.

Lalu emas memekik!
Dari warkah kusam,
jerih menggarap jiwa.
Biar roh tersentak!
Dari igauan zaman.

Merdeka masih muda,
rasuk dek adat melayu,
berpantang langkah seribu.
Kami jiwa baru!

Cangkir sejarah itu,
tampak kekal lesu.
Gagah dengan sepanduk,
perkasa dengan suara.
Lena diselimut bayang.

Tinta masih menari,
gah! meradang makar.
Merempuh najis zaman,
mencarik karung jahil.
Demi sebuah kebebasan,
dari pena merdeka.


Berita Minggu
31 Ogos 2008




Baca Sepenuhnya >>

Moderator KELAP

Ahad, 26 September 2010 3 suara

Mohd Zaki bin M. Noor atau nama penanya al jantanie dilahirkan pada 24 Februari 1983. Merupakan mahasiswa Universiti al Azhar, Kaherah dalam Fakulti Bahasa Arab Jabatan Am. Anak kelahiran Johor ini pernah menulis untuk Suara Kampus Edisi Johor, Edisi Gabungan, Warta PMRAM dan sebagainya. Beliau pernah diberi kepercayaan mengendalikan Akademi Medan Pena (Johor) sesi 2004/2005. Turut menjadi moderator jemputan bagi program penulisan di Mesir. Hasil karya beliau pernah tersiar di beberapa media tanahair antaranya Dewan Siswa, Berita Minggu, Remaja dan sebagainya. Beliau mula mengenali dunia penulisan sejak 2003 sebagai peserta dan kini dilantik menjadi moderator Kem Latihan Penulis (KELAP).



Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta

Dalam sepuluh yang kugelar cinta
belum ada satu yang kukuh memasak teguh
pada bumi hati.
Ada sahaja putusnya, di tengah
kemudian di tepi kanan kiri
kembali ke titik mula, kemudian tamat lagi
kerana cintaku putus
terkerat sedetik dari Pencipta.

Kiralah berapa dalam pun.
Hitunglah berapa tinggi pon.
Kemudian ganda dua, kali tiga
cinta yang dikumpul dalam takungan diri
akhirnya pecah, melimpah
kerana kulupa membahagikan hak cintaku
pada empunya cinta.

Dalam sepuluh cinta
yang kutakrif - ini untuk umat
ada sesal paling tirus
tetapi agam
untukmu yang kugelar cinta
andai bersambung terus pada Tuhan.


Majalah Dewan Siswa
Julai 2006






Baca Sepenuhnya >>

Moderator KELAP

2 suara



SITI KHADIJAH BTE ABD. GHAFFAR atau nama penanya Sammaituha Najwa berasal daripada Negeri Sembilan Darul Khusus. Dilahirkan pada 1 Syaaban 1403 Hijrah bersamaan 14 Mei 1983 Masihi. Anak ketiga daripada lapan saudara ini merupakan mahasiswi Al-Azhar cawangan Kaherah. Mula menceburkan diri dalam dunia penulisan secara serius pada akhir tahun 2005 di bawah bimbingan Saudara Amiza Khusyri Yusof dan saudari Syarifah Salha Syed Ahmad. Kini menulis dalam genre puisi dan cerpen.

Merupakan mantan peserta Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. Beliau pernah dibimbing oleh beberapa penulis berpengalaman dalam seminar dan bengkel oleh Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Puan Nisah Haji Haron dan Saudara Faisal Tehrani. Turut berpeluang mengikuti alumni Minggu Penulis Remaja 2007 yang dikendalikan oleh beberapa moderator berpengalaman seperti Sdr. SM Zakir, Sdr Rahimidin Zahari dan ramai lagi.

Tulisan beliau pernah mendapat tempat di beberapa media di Malaysia. Antaranya komuniti e.sastera.com, Berita Minggu; Anak Merdeka (Ogos 2006) & Hati Seorang Abah (Oktober 2007), Majalah I; Potret Saifi (November 2007), Tunas Cipta; Potret Kelahiran (Julai 2006), Nur; Redha Kerana Itu Ketentuan-Nya (Mac 2006), Dara.com; Kerana Sumayyah (Julai & Ogos 2006) serta radio IKIM.fm; Kandil Di Jiwa (2006).

Karya beliau juga termuat dalam beberapa buah buku dan buletin bersama di Mesir seperti Antologi Cinta Dan Rona Kinanah, Komik Lagenda, Gema Negeri, Hebaks, Suara Kampus, Warta, Suara Hewi, dan beberapa bahan penerbitan Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Beliau juga terlibat dalam organisasi penulisan serta kini menjadi moderator Kem Latihan Penulis (KELAP).



Potret Kelahiran

Kususur Subuh seawal al-fajr
berambal riak keharuan
melafaz syukur kepada-Mu Rabbi
mengizin nafas berdenyut lagi.

Kutadah wajah sunyi al-lail
mengharap nadim setia menyapa
byng sahabat menghilang lama
misteri rahsia berprasangka
hadirkan dia akrab kelongsong jiwa
hadirkan dia menyubur iman pencipta.

Aku letai menyulam rindu
nadim setia masih tiada
kusitir memori kusam
merai kelahiran berkongsi lensa
mercup namanya di perdu jiwa
membingkis sayang
pulanglah segera.

Kuhapus titis nan memetia
tika nadim kembali menyapa
prasangka sirna
salah bertimpa
nadim setia mengalas derita
bertarung nyawa demi agama.

Kuladeni hadiah nadim setia
sebuah puisi
potret kelahiran bersama.


Majalah Tunas Cipta
Julai 2006




Baca Sepenuhnya >>

Tunas Cipta Ogos 2010

Sabtu, 25 September 2010 0 suara




(klik gambar untuk paparan lebih jelas)



Nurul Lailati Mahat

Nurul Lailati binti Mahat dilahirkan pada 31 Ogos 1985 di Kg Semerah Darat, Batu Pahat, Johor. Beliau Dibesarkan di Kota Tinggi dan sekarang menetap di Pagoh. Penulis aktif ini mendapat pendidikan di SMK Agama bandar Penawar, Kota Tinggi sebelum ke Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dalam Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat dan kini adalah lepasan mahasiswi Maahad Qiraat al-Azhar, Mansurah, Mesir.

Beliau pernah menyertai pelbagai bentuk bengkel penulisan di tanahair dan Mesir anjuran Kem Latihan Penulis (KELAP) dan Akademi Karyawan Mansurah (AKAR) selain menjadi editor majalah Suara Kampus edisi Johor dan Mansurah serta komik Al-Fityan. Timbalan Pengarah AKAR sesi 2007/2008 ini menulis cerpen, puisi dan artikel yang antaranya tersiar di Tunas Cipta, Dewan Siswa, Remaja, akhbar Mingguan Wasilah, bulletin Suara Kampus, Warta dan komik Al-Fityan.

Karya Beliau turut dibukukan di dalam antologi Bahasa Bumi, Mengemis di kota Larangan dan Badar Metropolitan serta merupakan pemenang Sayembara Puisi Berunsur Islam dibawah anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Beliau juga mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan MiniNovella Fair & Lovely 2008.


http://www.bukanlailaisabella.blogspot.com


KITAB PENGALAMAN


Pada catatan di kitab pengalaman
kami mencari untaian harapan
dari lakaran tinta doa
untuk kami baca
dengan kanta sejarah
yang memantulkan cahaya ‘izzah .

Ada contengan keegoan
dan tulisan keangkuhan
berselirat kealpaan,
lantas kami hilangkan
dengan pemadam kemaafan.
Dan hitam dakwat mawaddah yang tertumpah,
ingin kami bersihkan dengan air mardhatillah.

Kami betulkan erang-erot perpecahan
dengan lurus garis perpaduan.
Kami tambahkan warna-warni qudwah
dari palitan kepimpinan sirah terindah.
Tidak perlu gundah jika kelam ilustrasi mahmudah,
akan kami gantikan dengan indah corak mujahadah.

Pada setiap halaman mehnah
kami menghitung kalimah hikmah
di ruang nusrah.

Kitab pengalaman - meski saatnya kan tiba
kau dilupakan jua
namun aksara terakhir ini amat bermakna
kerana inilah noktah
bidayah
yang mengenalkan kami hakikat ukhuwwah
atas nama akidah.


Tunas Cipta,
Julai 2008



Baca Sepenuhnya >>