IMTIHAN, KAMI DATANG!

Isnin, 17 Disember 2012 0 suara



Saat gelombang itu tiba,
Aura mencengkam suka,
Derita menikam minda,
Mulut ragam berbicara,

Fikiran mula melayar samudera,
Anganan lama kini tiba,
Kembali memimpin dunia,
Menyeru mereka yang alpa,

Oh! rupanya aku yang leka,
Kejayaan bukan khayalan,
Tapi satu harapan,
Ilmu bukan mainan,
Tapi pendamping jiwa,
Bukan untuk sendirian,
Tapi demi segala manusia,
Akal tidak hanya disimpan,
Tapi mencambahkan isinya,

Andai bukan dengan aku menuntut,
Pasti tidak akan ia hadir melayang,
Andai bukan dengan merebut,
Ia tidak akan senang bergolek,
Aura ujian ini satu peringatan,
Bahawa kita tidak sia-sia,
Mencari makna kehidupan,
Mencorak agenda ke hadapan,

Jangan fobia dengan imtihan,
Kerana mehnah menanti kalian,
Jangan takut dengan imtihan,
Kerana dia satu peringatan,

Aku wajib itqan dengan Tuhan,
Taat dan thiqah pada ar-Rahman,
Merakam segala dalam al-Furqan,
Pastikan tawakalku memenuhi ruangan,
Dalam segenap sudut pertemuan,
Selaut hamparan keampunan,
Sedalam lautan bimbingan,

Demi menerobos cakerawala,
Menumbang fana,
Aku mampu menggoncang dunia,
Laksana mereka pejuang agama,
Pahatkan semangat,
Tajamkan keazaman,
Bina karakter idaman,
Islah setiap kepincangan,
Sungguh aku yakin adanya UJIAN.

eye_light
Kuliah Syariah Islamiah,
 Kaherah

Baca Sepenuhnya >>

UNTUK SIAPA KASIH KITA

Jumaat, 14 Disember 2012 0 suara

Ungkapan kasih amat senang disebut orang. Namun, adakah kasih itu disalur kepada jalan yang betul dan mengetahui siapa yang layak menerimanya. Rasa kasih adalah fitrah yang dikurniakan Allah kepada kita.Namun, tidak ramai yang tahu mengawal rasa fitrah tersebut sebaliknya menjadikannya sebagai satu alasan untuk terus mencari sesuatu yang palsu sehingga tersesat di jalan yang dimurkai. Sedar atau tidak, keindahan alam dan seisinya yang fana ini seringkali menarik kita untuk mengasihinya.

            Segelintir manusia telahpun tergelincir di jalan kepalsuan ini. Mungkin dek kerana lembutnya tiupan angin tipu daya dunia. Atau pemandangan indah yang digambarkan dalam bentuk kemanisan yang dihiasi dengan racun kemaksiatan. Ada yang menjadi pencinta harta sehingga bertemankan bakhil. Ada pemuja pangkat hingga melupakan kematian. Sedangkan Allah menyuruh kita supaya mengasihi sesuatu yang membawa kita kejalanNya. Contoh paling mudah seperti mengasihi kedua ibu bapa, kaum keluarga, teman seperjuangan, masyarakat sekampung dan yang lain-lain lagi.. 

            Menyebut tentang kasihkan masyarakat, barangkali ada yang berfikir, perlukah rasa sayang dalam masyarakat? bukankah tanggungjawab sahaja sudah cukup? Seseorang yang beriman akan menyayangi sesiapapun termasuk masyarakatnya. Contoh yang terdekat ialah jiran kita, masyarakat yang paling dekat dan komuniti pergaulan kita seharian. Rasa kasih yang subur didalam hati orang-orang beriman seharusnya membuahkan akhlak-akhlak yang baik terhadap orang lain. Disebutkan didalam hadith, daripada Abu Hurairah (r.a), berkata Rasulullah (saw):

            “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya, dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah memuliakan (melayan dengan baik)tetamunya, dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.(hadith riwayat Bukhari)

            Sebaik-baik rasa sayang dalam umat yang bertuah ini adalah yang dilingkari benang-benang emas ukhuwah yang tercipta atas dasar “ukhuwah fillah”(ukhuwah dijalan Allah). Sejarah silam telah memaparkan contoh terbaik bagi kita semua iaitu hubungan antara kaum Muhajirin dan Ansar. Rasa kasih sesama mereka adalah berpaksikan keredhaan Allah. Masing-masing menggenggam Islam dan tauhid yang sama. Maka, perpaduan yang terzahir amat teguh dan utuh sehingga tidak mampu digugah.

            Akhirnya, kasih yang sebenar adalah terletak pada Allah Taala.Inilah yang dicari-cari oleh segenap manusia sama ada mereka sedar mahupun tidak. Kerana ianya adalah fitrah bagi setiap jiwa yang amat memerlukan kepada Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Kasih yang menenangkan jiwa, cinta yang tiada cacat cela, membuka mata yang buta.



Aisyah91
Kuliah Bahasa Arab,
 Kaherah.

Baca Sepenuhnya >>

SI TENTERA KECIL

0 suara



Langit senja,
Merona jingganya,
Melakar semangat buat tentera kecil.

Tahajudnya merangkap si abid yang taat,
Menangisi tiap dosa dan kelalaian,
Membasuhi jiwa yang lelah,
Menggagahi tiap degupan kehidupan.

Si tentera kecil,
Usianya bukan takaran,
Namun ketaqwaanlah pakaian,
Melangkah dengan pasti,
Memburu syahid yang di janji.

Si tentera kecil,
Memandang dunia bagai bangkai nan jijik,
Melempar harta dan segala,
Kerana takut ‘wahan’ terlekat di hati.

Si tentera kecil,
Mengamati kelam malam itu,
Kerana teramat rindu dan cintanya,
Hanya buat yang Esa.


candle_light
usuluddin, kaherah

Baca Sepenuhnya >>

MENULIS HINGGA KE HUJUNG DUNIA

Rabu, 12 Disember 2012 0 suara




Penulisan adalah salah satu bidang yang memungkinkan anda untuk mempelajari dan mengetahui semua perkara. Agama, sains, sukan, seni, kemahiran dan pelbagai bidang lain lagi berlegar dalam kotak maklumat anda. Lantas segala isi maklumat ini diterjemahkan dalam bentuk perkataan yang indah dan difahami dan terus disebarkan seantero benua.
Indah bukan berada dalam dunia pena. Tidak ada sebarang sekatan, hanya bernoktahkan iman dan keyakinan terhadap Allah SWT menjadikan muncung pena kita semua tidak dapat mencerobus ke sebarang simpang.
Dengan sedikit keluasan waktu yang diberikan ini izinkan saya untuk berkongsi sedikit penawar buat semua penggemar dunia penulisan.
 1.  Bahasa

Bahasa merupakan alat yang penting kepada bidang penulisan ini. Apa jua idea yang mahu dicernakan, maka bahasalah yang menjadi alat penyampaian daripada idea yang hanya melingkar di urat saraf kepada khalayak pembaca.

Begitu juga dalam aspek tatabahasa. Harus diingat seorang editor yang bakal memeriksa karya seorang penulis bukanlah seorang pembaca pruf yang sepatutnya berdepan dengan kelemahan tatabahasa dan kemudiannya terpaksa pula membetulkan. Walaupun tugas tersebut adalah tugas editor, tetapi editor juga adalah seorang manusia yang mempunyai emosi dan perasaan. Tugas seorang editor tidak hanya sekadar untuk mengubah koma kepada noktah yang telah dilakukan oleh anda secara berulang-ulang.

 2.  Ketabahan

Tidak ada seorang pun karyawan agong yang terus menghasilkan karya besar ketika pertama kali menulis. A.Samad Said, Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Zaharah Nawawi, Khadijah Hasyim dan lain-lain tidak dilahirkan dengan pena di tangan dan terus menghasilkan novel yang menjadi kegemaran khalayak ramai.

Kita harus meneriama hakikat bahawa hasil karya kita masih banyak lompang dan seandainya dihantar ke penerbitan atau editor mungkin bakal ditolak. Realitinya, apa jua yang kita tulis, mungkin boleh ditulis dengan lebih lagi seandainya usaha kita dibekalkan dengan ketabahan dan keazzaman yang tinggi.

3.Kepercayaan

Kepercayaan ini membentuk azam untuk menulis sesuatu yang ada pada fikiran kita dan kita percaya wajar untuk dikongsi oleh khalayak pembaca. Idea yang sedang berlingkar dalam urat saraf kita penting untuk dibentangkan kepda orang lain.
Tanpa kepercayaan, seseorang penulis tidak mempunyai kemampuan untuk meneruskan penulisannya, malah berasa ragu-ragu untuk melahirkan fikrah dan pandangan yang dimiliki.

4.Hadaf

Letakkan hadaf ketika menulis. Kataka sehari satu muka surat, atau pada minggu ini sebuah cerpen bakal diselesaikan, Insya-Allah. Walau bagaimanapun, jangan gundah andainya hadaf ini tidak tercapai kerana penulis tidak perlu tergopoh-gapah. Hadaf ini diletakkan supaya kita tidak meninggalkan bahan tulisan kita dalam waktu yang cukup berjarak sehingga idea yang sepatutnya boleh dikembangkan dengan baik, mati dan tidak sempat dibangkitkan semula.

Akhirnya jadikan penulisan kita sebagi suatu yang berguna kepada kepada pembaca. Jadikan ia bernafas dan berjiwa. Salam sayang buat semua pendamai bahasa, moga kita semua diberi ketenangan dalam berbahasa.

Safwan Abdullah
Takhasus Qiraat
Tahun 2



Baca Sepenuhnya >>

SELAMAT HARI LAHIR

Rabu, 5 Disember 2012 0 suara



Jejak kaki-kaki ke bumi,
Tangisan itu kedengaran,
Sebak si ibu terasa,
Hilang keringat seorang bapa,
Sayu suara memanggil Tuhan,
Memecah gegendang,
Bukti mengenal awal ad-Din.

Selembar benang putih,
Menjadi sehelai tenunan kain,
Corak kasih si ibu,
Acuan hebat si ayah,
Terbentuk peribadi harapan,
Dalam episod sebuah perjuangan.

Kelahiran demi kelahiran,
Mencecah setiap usia,
Bukan penghormatan atau penghargaan,
Sebagai hadiah dalam kehidupan..

Tapi tazkiyyah dalam diri,
Nikmat manakah yang kau syukuri?

Sedarkah derapan kaki ini,
Berjalan di alam duniawi,
Menjunjung langit Ilahi.

Nikmat manakah yang kau syukuri?

Tuhan,
Inilah hadiah buatmu,
Bukti hamba yang hina,
Tunduk sujud setiap masa,
Mengalirkan air mata dosa,
Keampunan yang ku pinta,
Rahmat dan nikmat sebagai bonus tidak terhingga…


TERIMA KASIH TUHAN


eyelight
Kuliah Syariah, Kaherah.


Baca Sepenuhnya >>

PASTI WUJUD

Rabu, 28 November 2012 0 suara



walau tersembunyi.
walau duka durjana.
walau teraba raba.

pasti wujud.
secebis penawar.
perasa perasaan itu.

kerana,
sesuatu Tersandung,
tidak semestinya otomatis,
menjadikan kau terus jatuh.

dan,
jika kau jatuh pun.
engkau masih bisa bangkit.

bangkit.
pada kesilapan.
separa singkat kehidupan.

#thefikirman | shoubra . tahun 2.

Baca Sepenuhnya >>

"Dum Dum Dum"

Khamis, 15 November 2012 0 suara



"Dumm"
Corong speaker bass Tuktuk mengeluarkan suara,
Membingitkan telinga,
Menyerabutkan rasa,
Syabab malizi menyeranah, "celaka!" ,
Malaikat di kiri membuat kerja,
Allah,gratisnya dosa.

"Dummm"
Takdir tercatit di Lauh yang terjaga,
Bahawa lain ceritanya di gaza,
Bunyi itu kalau disana mencetus trauma,
Bunyi itu kalau disana, terus waspada,
Bunyi itu kalau disana, tanda kehilangan nyawa,
Bunyi itu kalau disana, tanda syuhada’ memburu pahala.
Bunyi itu kalau disana, amaran bahaya,
Bahawa diri sudah tidak lama,
Untuk bertemu Tuhan pencipta,
Ya, Allah yang esa.

Intiha,
Berdoalah,Malizia
Kerana berdoa juga usaha.
Ustazah Nabilah

1231-151112
St.Theressa, Shoubra

Baca Sepenuhnya >>

Muharram

1 suara



1 Muharram,
Tika ini manusia sedang hangat berbicara,
Bid’ah atau tidak membaca doa,
Diakhir tahun dan diawalnya,
Atau tentang ucapan 'hero Malaya',
Yang mahu bercuit cuitan katanya,
Seperti biasa, ada pro dan ada kontra,
Ada yang menghukum ada yang membela,
Bodohnya kita,
Bodohnya kita,
Bodohnya kita,
Kerna kita tidak cakna,
kepada perkara yang lebih utama

1 Muharram,
Nun jauh disana,
Mereka sekali lagi menggila.
Membunuh dan menyembelih saudara kita,
“Serangan ini bersempena”
“Awal tahun kamu” ejek mereka.

Intiha,
Berdoalah,Malizia
Kerna berdoa juga usaha.

Ustazah Nabilah

1231-151112
St.Theressa,Shoubra

Baca Sepenuhnya >>

Konkrit Negara

Ahad, 11 November 2012 0 suara



Hai anak merdeka,
Jalan juang terlalu panjang,
Derapannya bukan permata,
Jaminannya bukan mahkota.

Lihatlah madah dubia,
Menggembur janji tipuan belaka
Rosak melata nan bangga,
Dosa mencambah disorak gembira.

Apalah erti senyum dan tawa,
Andai naluri ditusuk derita,
Pemuda digula noda,
Maksiat dibaja saka.

Sungguh,
Jasad kita merdeka,
Namun tidak pada minda.

Bangkitlah hai Anak Merdeka!
Kemerdekaanmu,
Kemerdekaan Ummat kita,
Bingkiskan kasihmu buat Agama dan Negara tercinta.

Ayuh!
Pasakkan semangat itu,
Dengan kefahaman Islam yang jitu,
Agar algojo itu tahu,
Anak Merdeka,
Fikrahnya padu.

alhawariyyun, syariah, kaherah

Baca Sepenuhnya >>

Ukhwah Fillah

0 suara


Ina! Jangan! hah……. umar tersedar daripada tidur. Dadanya berombak-ombak menarik nafas yang seakan menyempit. Mimpi ngeri itu berulang buat kesekian kalinya. Bagaikan sebuah bongkah besar yang memberati kepalanya, bingung memikirkan petunjuk mimpi itu. Dia bingkas bangun untuk bertahajud, buat penyegar diri dan melepaskan rindu dalam munajat kepada Ilahi.
Selesai subuh di masjid, kakinya pantas mengalun langkah pulang.
“Assalamualaikum…”. Pintu rumah dikuak. Kelihatan wajah Ihsan yang baru sahaja selesai berwuduk tersenyum sinis di balik sofa sambil tangannya menggerak-gerakkan Khairi yang sedang nyenyak diulit mimpi.
“Enta baru balik Mar,…. kenapa enta tak kejut ana bangun?”. Ihsan sedikit mengeluh, kecewa kerana terlepas berjemaah di masjid.
“huhh! kalau ana kejutkan enta nanti ana yang akan lambat ke masjid. Lain kali bangun sendiri. selalukan enta bangun sendiri!!” Umar lantas berpaling lalu masuk ke biliknya.
“astaghfirullahal’azim…” Ehsan menggeleng-gelengkan kepalanya. Bagi Umar, cukuplah dia menjadi sempurna dengan kebaikan yang ada pada dirinya, tidak perlu bersusah-payah ‘menjaga tepi kain orang lain’.

*********************************************************************************
Umar merupakan seorang yang rajin ke kelas-kelas pengajian. Pakaian dan penampilannya sentiasa lengkap berjubah dan berserban. Manakala Ihsan, berperwatakan baik, sahabat yang ramah dan merendah diri.
   Lain pula dengan Khairi, mahasiswa baru jurusan perubatan Universiti Mansurah. Dia meminati artis-artis barat dengan lagu-lagu ‘lagho’ mereka. “modern” katanya. Bait-bait nyanyian Justin Beiber dan Mariah carey ibarat zikir-zikir yang meniti di bibirnya.
Meskipun mereka bertiga tinggal dalam satu rumah, namun sikap mereka sangat berbeza. Umar kelihaan seperti seorang yang warak, Ihsan seperti biasa-biasa sahaja, manakala Khairi seorang yang agak kebaratan.
**********************************************************************************
“Khairi…..bangun solat!!!   dah lewat ni…. tak elok lambatkan solat. Lepas maghrib ni kami nak keluar. bebel Ihsan. Khairi mendengus dan memusingkan badannya ke dinding tanda protes.
     Begitulah sikap Khairi yang memeningkan Ihsan. Setiap kali ditegur dan dinasihati oleh Ihsan, dia mengabaikannya. Umar pula malas untuk menasihati Khairi kerana dia menganggap Khairi tidak akan berubah.
                                            *********************************
Suatu pagi, ketika Umar sedang bersarapan menikmati roti canai di dapur, Ihsan menjengah sambil tangannya mencapai air teh panas.
“Umar, ana ada sesuatu nak cakap dengan enta ni….”
“Apadia?” Tanya Umar kehairanan.
“ana bukan apa, ana cuma kagum tengok enta sangat istiqomah menjaga sunnah Rasulullah dengan berjubah , berserban setiap masa. Makan pun guna tiga jari je. Tapi, yang peliknya, kenapa enta boleh laksanakan sunnah-sunnah Nabi itu sedangkan enta tinggalkan sunnah Nabi yang lebih besar?”. Suara Ihsan seakan sedikit meninggi, namun tetap lembut seperti biasa.
“apa yang enta maksudkan Ihsan? ana tak faham.”
“enta tinggalkan amar makruf dan nahi mungkar, Umar. Enta biarkan sahabat-sahabat enta terumbang-ambing tanpa bimbingan.”
“ana rasa kalau enta sendiri yang nasihatkan Khairi, mesti Khairi boleh ‘respect’ dan boleh dengar cakap enta”. Ihsan menolak kerusi dan beredar membawa perasaan kecewa yang amat dalam terhadap Umar.
Umar kaget.
Tiba-tiba kotak ingatan Umar berputar ligat mengenangkan kisah silamnya. Tanpa diminta, air matanya gugur  satu persatu.
     Tragedi kebakaran 5 tahun lalu mengingatkan Umar kepada adik bongsunya, Ina. Ingatan itu subur kembali dek mimpi-mimpi yang datang kepadanya saban malam. Umar tersentak lantas bangun daripada tidur setiap kali namanya dipanggil-panggil Ina tatkala adiknya hampir terjatuh ke dalam jurang api marak.
    Memori pahit dahulu mencuri sedikit ketenangan Umar. Ketika itu, Umar hanya memandang adiknya yang sedang tidur tanpa berusaha untuk membangunkan dan menyelamatkannya. Umar khuatir sekiranya dia akan mati di telan api marak di sekelilingnya. Lalu dia meninggalkan adiknya sendirian dalam debu-debu asap yang kian menebal.
     Umar menyesal. Dia punyai peluang menyelamatkan adiknya, namun dia terlalu pentingkan diri hingga sanggup membiarkan adiknya mati!.
********************************************************************************
“Aku tak nak ulangi kesilapan lalu”. Dalam deraian air mata, Umar bermunajat memohon petunjuk dan keampunan Tuhan.
******************************************************************************
   “Asslamualaikum…… Ihsan, Umar jom kita pergi talaqqi. Malam ni ada kelas Tauhid di Masjid”. Suara Khairi memecah kesunyian malam. Ihsan dan Umar tersenyum.

candle_light
Usuluddin, Kaherah

Baca Sepenuhnya >>

Istiqomah Nilaian Tabah

Rabu, 24 Oktober 2012 0 suara



"قل ءامنت بالله ثم استقم"
Istiqomah nilaian tabah.

Putaran waktu menghenti kaku,
Terimbau nostalgia lalu,
Tika menginjak lapangan baru.

Medan tarbiah halaman subur,
Nafsu dan iman seringkali bertempur,
Kadang syahid kadang terkubur.

Istiqomah membenam karomah,
Idaman kalbu sang pencinta ilmu,
Faham, taqwa dan jihad itulah pasaknya,
Mengakar kukuh mengulit patuh.

Istiqomah membuncah rindu,
Mencecah sayu menguntum syahdu,
Menghidup lazat mentadbir taat,
Mencicip harap reda dicarap.

Berliku jalannya itu,
Namun buahnya manis tenang di qalbu,
Hanya mengharap cinta nan padu,
Di sisi Tuhan kasih bertemu.

alhawariyyun, usuluddin kaherah

Baca Sepenuhnya >>

UJIANMU MENDEWASAKANKU

Ahad, 7 Oktober 2012 0 suara



Aku ingin menjadi penawar,
Agar aku bisa mengubati hati-hati yang gersang,
Biar aku tidak dihargai sedikitpun,
Asal aku menghargai orang lain,
Kelak pasti ada nilai di sisi ALLAH,
Dan pandangan ALLAH itu lebih mulia,
Dari segala dan seisi dunia,
Aku bersyukur kerana ALLAH  sudi mengingatiku,
Dalam usaha aku mengingati orang lain,

Apabila diri ini diuji bertali arus,
Itu petanda Allah tidak membiarkan dalam kealpaan yang berterusan,
Sengaja Dia berikan ujian kepadaku,
Agar aku kuat mendepani masa depan yang lebih bergelora,
Andai diam itu terbaik untukku,
Mengapa pula aku harus bersuara,
Jika memendam rasa itu memberi rasa bahagia,
Apakah masih perlu aku berterus terang,
Andai jauh lebih memberi makna,
Tiada alasan untuk aku mendekat,
Jika hati redha menerima,
Mengapa bibir ini masih mengungkap rasa,

Tuhan,
Hati kecil ini tak mampu lagi menanggung duga,
Namun bibirku lebih berat meluahkan segala,
Ku zikirkan Asma’Mu,
Dalam alun tangisku,
Moga setiap kekuatan dalam agung kalimat itu,
Meresap ke dalam sanubariku,

Ya Muhaimin,
Tidak kau berikan mehnah,
Untuk tujuan yang sia-sia,
Melainkan sebagai peringatan berguna untuk diri ini,
Terima kasih YA ALLAH,
Kerana masih memandang diri yang hina ini,
Memberi petunjuk dalam setiap perjalanan hamba kerdil ini,
Andai tiada cintaMU yang menggunung tinggi,
Sudah tentu diri ini tersungkur ke lembah yang paling hina,

Kaki ini akan terus melangkah,
Bersama-sama kekuatan yang KAU pinjamkan,
Harapanku  moga ISLAM itu akan diletakkan,
Setinggi-tingginya oleh semua yang bergelar hamba,
AMIN YA RABB.

-Wallahualam-

ayat al.akhrash:)
syariah islamiyah



Baca Sepenuhnya >>

INDAHNYA HALAQAH ISLAMI

Isnin, 24 September 2012 0 suara


Indahnya halaqah islami,
Korepsi diri menjadi intipati,
Pegangan diri lebih teruji,
Ilmu dikongsi menjadi inspirasi,

Indahnya halaqah islami,
Biasan ukhuwah diperkemaskini,
Tarbiyah agama subur di hati
Mengangkat darjat ketingkat tertinggi,

Binalah halaqah ilmiah di dalam diri,
Tuaian taqwa pegangan diri,
Hidup terarah lebih terisi,
Bersama menuju taman Firdausi.

Dr. Nur Faiqah Baharudin
Syariah Islamiah, Tahun 3
Selangor Darul Ehsan

Baca Sepenuhnya >>

KOYAK YANG BURUK TAMPAL YANG BARU

Sabtu, 15 September 2012 0 suara


بسم الله الرحمن الرحيم

Aku mulakan akar tulisanku dengan kata-kata hebat Khalifah Umar yang seringkali lembaran amanahnya kita terujai serta sikapnya kita sanjung tinggi, "ORANG YANG PALING AKU SUKAI ADALAH DIA YANG YANG MENUNJUKKAN KESALAHANKU". Terasa diri mengecil menjadi sebesar zarah tatkala kata-kata ini dibaca satu persatu. Jikalau seorang khalifah besar begitu menyukai orang yang memperbetulkan kesilapannya,, aku? Adakah aku suka orang yang menegur kesilapanku? Adakah kita bermanis muka dan berlapang dada dengan setiap teguran yang dilemparkan buat kita?

Kebiasaannya, kita yang dikurniakan akal selalu memperbetulkan kesilapan orang lain yakni menggunakan kecaknaan kita pada benda yang sepatutnya. Nampak tidak kena sahaja, ditegur, dimarahi, serta dileteri. Alhamdulillah itu salah satu sikap yang baik tapi kadang kala kita lupa bahawa kita juga perlu diperbetulkan, samada kita sedar sendiri ataupun teguran dari sahabat-sahabat kita yang Allah salurkan untuk kepentingan kita jua serta bukti kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.

Ayuh berubah! Jika kita berasa selalu betul, tibalah masa untuk memperbetulkan diri, koreksi diri, ambil masa sehari dua untuk membuat pemeriksaan atau medical checkup keatas diri kita sendiri. Betulkan apa yang perlu diperbetulkan. KOYAK YANG BURUK, TAMPAL YANG BARU.

Peringatan buat kita, orang yang selalu berasa betul pantang dipersalahkan. Dia seolah terasa seperti diserang dan yang bahayanya apabila merasa diserang, dia akan bangun menyerang. Lalu dimanakah bahagia di bumi Tuhan andai hidup yang indah dihiasi kicauan burung-burung yang dilalui sehari-harian terasa bagai peperangan.

Ayuh, kita lapangkan dada kita menerima segala teguran, angkatlah orang menegur kita. Jangan dimarahi dan senyumlah seindah mentari pagi. Koreksi diri, jika benar teguran itu, Alhamdulillah wa syukrulillah, jika salah, astaghfirullah wa syukrulillah atas peringatan agar suatu hari nanti kita tak terbuat seperti itu. Moga peringatan ini berguna buat hamba yang lemah ini dan moga menjadi peringatan buat semua yang membaca. PERBETUL DIRI DAN SERU YANG LAIN.
-Wallahualam-
ayat al.akhrash:)
syariah islamiyah
Baca Sepenuhnya >>

Tanggal 31 Ogos

Selasa, 4 September 2012 0 suara


Tanggal 31 Ogos…
Tanggal keramat buat tanah airku….
Malaysia bumi tercinta…
Tanggal bermulanya sebuah kemerdekaan…
Tanggal terhentinya segala keperitan….

Kita harus merasa bangga…
Jasa pejuang-pejuang terdahulu…
Kerana penat lelah mereka…
Kerana bakti-bakti mereka…
Kerana darah yang mereka tumpahkan…

KINI….
Kita dapat menikmati dan merasai…
ERTI…Sebuah Kemerdekaan..
Ayuh sahabat-sahabat..
Besarkan jiwa kita…
Besarkan minda kita…
Semaikan semangat patriotisme dalam diri…
Masih banyak sejarah yang perlu disingkapi…

KITA…
Anak Malaysia..Anak Merdeka…

Azzinirah
Syariah Islamiah Kaherah


Baca Sepenuhnya >>

Untaian Hikmah Guru

Ahad, 26 Ogos 2012 0 suara


Bening malam merangkak pergi,
Menyinarkan mentari hari,
Cahaya mu lantas menerangi,
Lubuk jahiliah yang hitam keji,
 
Keluarmu untuk menuntun,
Dengan ikhlas yang segar menguntum,
Langkahmu dengan harapan,
Agar kembalimu terlerai tugasan,
 
Katamu sarat hikmah,
Tingkahmu termuat qudwah,
Jalanmu penuh mehnah,
Meski tiada pernah melatah,
Tugasmu suci,
Demi mudah ke gerbang tahu,
Agar ummat ini kan maju,
 
Pesan mu terlalu agung,
Bukan sijil yang dibanggakan,
Tetapi berkatlah yang diharapkan,
Bukan pangkat yang dipujakan,
Bahkan jalan luruslah yang didambakan.
 
~ Terima kasih Guru ~

Candle_light
Usuluddin, Kaherah.
Baca Sepenuhnya >>

Sabtu, 16 Jun 2012 0 suara





MENUJU CAHAYA


Di desa
Aku terus hanyut dibuai angin-angin lama
Hembusannya indah melekat di jiwa
Bunyiannya indah menenangkan jiwa muda
Ukhwah terasa walau baru berjumpa seketika 


Di kota
Bahangnya terasa walau di bawah tiupan gergasi tiga
Hati gelisah walau menghadap yang Maha Esa
Manusia berjalan tidak kenal siapa
Menongkah jalan mencari redha manusia


Kini aku musafir  merentas benua
Ke bumi Mesir bertalaqqi dan membina jiwa
Mencari yang hakiki untuk cicipan anak muda Negara
Kita harapan masyarakat desa dan kota
Tanamkan tekad pasangkan cita-cita
Aku pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan negara.



el_zahra'
Usuluddin, Kaherah

Baca Sepenuhnya >>

Rindu yang Semakin Jauh

Jumaat, 1 Jun 2012 0 suara


Jauh merantau menerpa ilmu
Mutiara itu hampir berdebu
Di balik pasir timbul permata
Awan berarak membawa cerita

Ceria mentari menyambut kami
Musafir ilmu kami namai
Kembara bukan kerana manusia
Hanya kerana Allah yang Esa

Azam cita mahu bersatu
Agar cinta kekal selalu
Nanti akan menjadi bukti
Sang perindu setia menanti

Pernah sekali jatuh perosok
Bangun semula bila dijolok
Hampir semua jadi permainan
Andai masa jadi hiburan


Munauza Attakiri
23 September 2012
Hayyu 'Asyir, Kaherah
Syariah Islamiah

Baca Sepenuhnya >>

Hujan di Kota

Ahad, 27 Mei 2012 0 suara
Aku kesepian menyelusuri denai kota
Memerhati budaya asing di mata
anak desa yang membawa harapan mereka
Terkadang lidahku petah menekan kata
“Ah, jahatnya mereka”
Budaya yang berbeza di mata dan jiwa

Aku gagahkan lagi kaki menongkah jalan
Memerhati lagi kalau-kalau ada insan harapan
Mataku kuning jiwaku tegang
Si ibu itu disepak bagaikan anjing jalanan
Lupakah anak itu dulu wanita itu yang berjaga malam
Menyalin lampin dan mendodoikan sehingga siang

Hati mana yang dapat menahan getaran kasihan
Bergenag mata menahan perasaan
“Ya Allah, ampunilah anak ini”
Mungkin dihatinya masih ada rahmat dan ihsan
Bantulah si ibu itu untuk bertahan
 Takut didoakan kecelakaan buat si anak tersayang

Indahnya Islam bila diamalkan
Mana mungkin si anak sanggup berkelakuan demikian
Sudah hilangkah iman dan nurani insan
Sudah sampai masanya Islam dijulang ke awan
Geraklah dan bertahanlah dari kesombongan dan kejahatan
Jadilah  Islam sebagai penyelesaian

Insan Merdeka
Kuliah Islamiah, Kaherah

Baca Sepenuhnya >>

Aku ingin engkau tahu...

Khamis, 17 Mei 2012 0 suara






        Wajah tua seorang ayah menutur perlahan, “hidup ini ibarat satu perjalanan yang panjang, dan dunia inilah perhentian bagi mengumpul bekal meneruskan likuan jalan.”

       Bait-bait kata itu tersusun kemas di  benakku saat kaki melangkah membelah awanan biru.   

        Ah! Aku terlalu bingung memikirkan nasib umat yang menderita ini. Dari negara-negara besar hinggalah ke ceruk Somalia, Bosnia, Uighur, Maluku, Poso, Ambon dan banyak lagi…telinga ini panas dengan kisah tragis kezaliman terhadap orang-orang Islam. Aku memintas tabiat Muslim dalam masyarakatku, betapa beruntungnya aku dilahirkan di atas bumi yang aman

      Sekilas aku tersentak dek ingatanku pada nasib saudara-saudara ku di bumi perjuangan. Jerit tangis anak yang tidak berdosa itu membuatkan jantungku berdegup kencang. Sabda Nabi Sallallahu a’laihi wasallam tetap utuh ku genggam

مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْر المُسلمين فَلَيْسَ مِنْهم

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia sebahagian daripada mereka.”(h.r Thabarani)

       Ya Allah! Dunia apakah ini? Mengapakah saudara-saudaraku disakiti? Anak-anak mereka dirodok-rodok dengan belati kejam. Ibu-ibu mereka dikelar-kelar bagaikan daging yang dipanggang dan ayah-ayah mereka disembelih hingga terjentik-jentik.

       Saat suara mereka bergema di cuping-cuping PBB, OIC, dan Liga Arab, dimanakah tangan-tangan mereka?
       Tanpa ku sedari, manik-manik jernih menghangati wajah pilu ini. Ku bandingkan ujian kesenangan hidupku dengan kesusahan hidup saudara-saudara ku. Sungguh, aku pilu! Tika mereka mati mempertahankan akidah, sedang mereka mati kerana dadah. Bilamana Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab tidurnya hanya dirimbun pelepah tamar, sedang amir kini menebarkan tangan rakyatnya menjadi cadar.

       Kini aku mengerti terjemahan bait-bait kalimah yang ayah tuturkan dahulu. Dunia ini bukanlah timbangan yang tepat. Tetapi, di hadapan Allah lah kita akan dihisab. Kelak, saudara-saudara seIslam yang di dunianya menderita, kan menuntut kesenangan kita di dunia ini.

       Jika orang-orang yang lalai dengan dunianya tahu, bahawa hidup ini hanyalah sementara, pasti mereka akan segera menanggalkan selimut-selimut kesenangan dan pergi membantu saudara-saudara yang memerlukan.

       Aku terus teringat kepada jawapan sang burung kecil tatkala memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim ‘alaihissalam,
       
        “Meskipun aku tahu bahawa usahaku ini tidak dapat memadamkan api itu, aku berharap pelepasan di hari akhirat apabila Allah menyoalku tentang apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak.”

       Aku ini ibarat burung kecil yang berhadapan dengan raksasa kezaliman dan penindasan. Meskipun usahaku yang kecil untuk membanteras kezaliman tidak dapat ku lihat sekarang, namun aku yakin bahawa khilafah atas manhaj kenabian pasti akan tertegak suatu hari nanti.
   
                             Ya Allah, kalam Mu memberikan aku ketenangan, 

“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk:1-2).

                           Kini aku pasrahkan keyakinanku pada kekuasaan Mu,

”Katakanlah(Muhammad), ‘Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau MahaKuasa atas segala sesuatu”.(Surah Ali-Imran:26)

Semoga diriku, keluarga dan sahabat-sahabatku menjadi penegak keadilan yang berani membela orang-orang yang dizalimi dan ditindas  di atas muka bumi ini. Ya Allah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Mu, Tuhan pemilik segala kerajaan dan kekuasaan…



candle_light
Usuluddin, Kaherah



Baca Sepenuhnya >>