Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Monolog Satu Perjalanan

Ahad, 20 April 2014 0 suara
Tahun 1930, pena sejarah terus mencatat. Penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang pada awalnya Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS), bertindak menaungi dan menyatukan Anak-Anak Melayu di Bumi Kinanah khususnya. Sebagai sebuah persatuan induk, PMRAM terus melangkah dengan penuh optimis dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Kebersamaan yang padu penyokong dan pendukungnya, maka PMRAM sentiasa mencipta helaian peristiwa untuk dijadikan corak ikutan setiap generasi.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Berlandaskan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah, PMRAM terus menabur bakti. Nama PPS ditukar kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada tahun 1956. Pada tahun ini, PMM telah mendaftarkan 65 orang Anak Melayu untuk menjadi askar sukarela membantu Mesir menentang pencerobohan Inggeris, Perancis dan Israel. Perkara ini menampakkan PMRAM sentiasa memberi kerjasama dalam isu keamanan biarpun terdapat risiko yang menanti. Sebagai tanda penghargaan, dua telegram khas ucapan terima kasih diterima daripada Presiden Jamal Abdul Nasir. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Tahun 1957, PMRAM mengemukakan resolusi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Membawa nama Tanah Melayu di Bumi Thur Sina ini, PMRAM telah memperkenalkan Tanah Melayu kepada semua bangsa dan peringkat dalam sambutan kemerdekaan.

Saban tahun, PMRAM terus mengorak langkah meniti kematangan usianya. Pada tahun 1965, PMM telah memperbaharui pendaftaran dan menukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB). PMRAM juga sentiasa menekankan aspek pendidikan. Melahirkan mahasiswa berilmu pengetahuan merupakan satu usaha yang dipandang serius. Maka pada tahun 1969, PMRAM telah melancarkan Minggu Pengetahuan bagi menggalakkan pembelajaran ahlinya. Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu sekali lagi menukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir pada tahun 1971, iaitu PMRAM pada hari ini. Agenda mendidik mahasiswa acuan ukhrawi terbukti berkesan. Persatuan  ini berjaya melahirkan kader-kader dakwah melalui kursus dakwah yang dilancarkan pada tahun tersebut. Aktivis hebat seperti Ustaz Zuhaili Bin Saiman, Ustaz Hanif Bin Haron, Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain dan ramai lagi merupakan anak didik PMRAM yang aktif pada hari ini dalam menyampaikan dakwah di Tanah Air Malaysia.

Kesihatan dan kecerdasan  tubuh badan adalah aset paling penting untuk pemikiran bernas seorang mahasiswa. PMRAM telah menghantar wakil untuk mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan Zamalek, Kaherah pada tahun 1993. Sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam yang mendapat kepercayaan Bumi Kinanah ini, PMRAM sentiasa peka dan tegas dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Menaungi 12 Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ,dan 8 buah Dewan Perwakilan Mahasiswa-mahasiswi, PMRAM sentiasa cakna berkaitan thaqafah, kebajikan dan kemahiran Anak-Anak Melayu di Mesir. Pada tahun 2001, PMRAM Multimedia Centre (PMC) telah dilancarkan. Kemahiran ahli mendepani kecanggihan arus teknologi baru dan pengendalian barangan elektronik, serta teknikal majlis menjadikan PMRAM seiring menyelusuri kemodenan dunia IT.

Kita jauh lebih selesa pada hari ini,berbanding mereka yang memulakan. Laungan Kita PMRAM dan Satu Fikrah Satu Amal merupakan ikatan kebersamaan kita agar yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jika diimbas kembali, awal sejarah PMRAM adalah roh kesatuan yang ditiupkan untuk kita terus sabar dan thabat menjaga persatuan ini. Jatuh dan bangun PMRAM adalah gambaran jelas bahawa persatuan ini cukup matang mengharungi setiap cabaran. Biar kuat ditekan, walau segunung pujian diberikan, PMRAM begitu tenang dan tidak mudah melatah dalam menyelesaikan apa juga permasalahan. Kematangan inilah membuatkan PMRAM terus kukuh selama 80 tahun lebih bertapak di Perlembahan Nil ini.


Semoga genggaman padu kita mempertahankan kesatuan ini, terus kekal sehingga generasi yang seterusnya. Bersama melaungkan KITA PMRAM!!!

- Nisrin Sahrawi -

Nama penulis ialah saudari Nurul Fatin Binti Kamaruddin daripada PMRAM Cawangan Iskandariah yang mendapat tempat pertama di dalam kategori penulisan pada Pertandingan Jom Berkarya Sempena Ulang Tahun Penubuhan PMRAM Kali Ke-84.
Baca Sepenuhnya >>

BAHANA RIBA

Isnin, 2 April 2012 0 suara

Riba sesuatu perbuatan yang dilakukan sejak zaman jahiliyyah lagi. Perkara ini sangat dilarang ketika hadirnya Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Islam melarang perkara riba ini kerana ia menindas orang yang lebih bawah daripanya.
Apabila perkara ini berlaku ia akan menyebabkan yang kaya terus menjadi kaya dan yang miskin kekal menjadi miskin. Mereka mengatakan riba ini seperti jual beli padahal di sisi Allah SWT tidak sama sekali. Ketamakkan di dalam semakin menjadi-jadi sehingga pemakan riba ini tidak akan sedar perbuatannya.

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk oleh syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan yang merasuk) itu. Yang semikian ialah disebabkan mereka mengatakan : ‘Bahawa sesungguhnya berjual beli itu hanyalah seperti riba’. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambil dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya (terserahlah) kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. [Al-Baqarah; 2:275]

Bagi sesiapa yang masih terlibat dalam melakukan perkara riba ini bertaubatlah kepada Allah SWT. Mereka yang terlibat dengan riba walaupun sedikit ia tetap berdosa di sisi Allah SWT. Larangan Allah SWT terhadap sesiapa yang melakukan riba ini sangatlah keras sepertimana fiman-Nya yang bermaksud :
“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu). Maka ketahuilah kamu : akan adanya peperangan dari Allah dan rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”. [Al-Baqarah; 2:279]
 
Jadilah seorang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tinggalkan perbutan dari melakukan perkara riba ini. Apabila kita dapat menghindarkan diri dari melakukan perkara riba ini telah terbukti bahawa kita dikalangan orang yang beriman. Kembalilah kejalan yang benar dan biarkan perkara riba itu pergi jauh dari kehidupan kita.

“ Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang beriman”. [Al-Baqarah; 2:278]
 
Dalam setiap kehidupan kita sentiasa inginkan keberkatan oleh Allah SWT. Bagi mengekalkan keberkatan dan keuntungan dalam mengharungi kehidupan sentiasa mematuhi perintah-Nya. Dengan itu sentiasalah memberi sedekah dan keluarkanlah zakat supaya dapat memanfaatkan harta kita.

“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil0 riba dan dia pula mengambangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa”. [Al-Baqarah; 2:276]
 
Untuk mendapat keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan ini hendaklah mengetahui perkara yang haram dan halal di dalam Islam. Pengambilan riba sedikat atau banyak tetap tidak boleh mengikut ajaran Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan (atau mengambil) riba dengan berlipat kali ganda dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, supaya kamu berjaya”.
 [Ali-Imran; 3:130]
 
Kejayaan dalam hidup bukanlah semata-mata dapat mengumpulkan harta di dunia sahaja. Ketaqwaan serta keimanan juga perlu kita kecapi bagi mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Sama-sama renungi dan cuba berubah dari masa ke masa bagi mendapat keredhaan hidup dari Allah SWT.
Baca Sepenuhnya >>

Ilmu & Hidayah

0 suara


Mari berilmu dan beramal.


Seringkali kita dengarkan pepatah Arab yang berbunyi; “ Ilmu Tanpa Amal Ibarat Pohon Yang Tidak Berbuah”. Begitulah ulama’ menyifatkan kedudukan ilmu yang tidak dimanfaatkan. Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahua’laihiwasallam memberikan gambaran yang jelas terhadap sifat ilmu dan hidayah dengan 3 perumpamaan. Sabda Rasulullah sallallahua’laihiwasallam; 
Dari Abi Musa Radhiallahu Anhu, dia berkata Nabi Shalallahu Alaihi wa sallam bersabda : “Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan, yang oleh karena itu Allah mengutus aku untuk menyampaikanya, seperti hujan lebat jatuh ke bumi; bumi itu ada yang subur, menyerap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras tidak menyerap air sehingga tergenang, maka Allah memberi manfaat dengan hal itu kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Ada pula hujan yang jatuh kebagian lain, yaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, yang mahu memanfaatkan sesuatu yang oleh karena itu Allah mengutus aku menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah, yang aku diutus untuk menyampaikannya."  
(Muttafaqun 'Alaih)


Maka, marilah koreksi diri kita, dimanakah kedudukan kita dalam bidang keilmuan ini. Adakah kita termasuk dalam golongan yang ilmunya bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain, ataupun golongan yang hanya dapat memberikan manfaat untuk orang lain? Semoga Allah memelihara kita daripada termasuk ke dalam golongan yang ketiga.


Akan tetapi, apakah caranya untuk memperolehi hidayah? Hidayah (petunjuk) daripada Allah itu akan diperolehi dengan jalan menuntut ilmu. Di sinilah kaitan antara ilmu dan hidayah. Namun, bagaimanakah caranya hidayah itu sampai kepada kita? Hidayah itu adalah hak mutlak Allah Subhaanahuwataala. Mohonlah kepada Allah bagi mendapatkannya. Kita hanya mampu berusaha untuk mencari, lalu memanfaatkannya. Setiap orang yang keluar menuntut ilmu perlulah membersihkan niatnya daripada perkara-perkara yang batil. Sepertimana petikan dalam Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali rahimahullah; 

Jikalau niatmu di dalam mencari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah,bukan semata mata untuk pandai bercakap maka hendaklah engkau bergembira,kerana para Malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan dan ikan yang ada di dalam laut semuanya meminta ampun bagimu apabila engkau berjalan. Tetapi sebelum itu hendaklah engkau ketahui bahawa hidayah itu adalah buah daripada ilmu dan bagi hidayah itu ada " bidayah" ( permulaan ) dan ada pula nihayah ( kesudahan ) dan ada zahir dan ada pula batinnya,dan engkau tidak akan sampai kepada nihayatul hidayah dan engkau tidak akan menyelami batin hidayah kecuali setelah engkau selesai daripada menyempurnakan segala urusan yang berkenaan dengan "zahir hidayah" itu.


Adapun keberkatan ilmu itu dapat dikesan oleh seseorang itu sendiri apabila ilmu itu dapat mendekatkan dirinya kepada Allah subhanahuwata’ala. Sabda Nabi sallallahua’laihiwasallam yang bermaksud;

"Barangsiapa yang menuntut suatu ilmu (yang semestinya) untuk mendapat redha Allah (tetapi) ia tidak menuntut melainkan untuk mendapat ganjaran duniawi, niscaya kelak dia pada Hari Kiamat tidak akan memperolehi bau syurga." 
[HR Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah]
 
Oleh itu, dalam menuntut ilmu, hendaklah kita beramal dengan keikhlasan sepenuhnya. Sekiranya ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah, maka amal tanpa ikhlas adalah ibarat buah yang rosak didalamnya, cantik diluar tetapi pahit di dalam. Wallahua’lam.

Candle_Light
Syu'bah Usuluddin, Kaherah.

Baca Sepenuhnya >>

KEKUATAN MEMBERI

Rabu, 7 Mac 2012 0 suara

Keadaan suasana setiap tempat berbeza dari pelbagai aspek. Sesaat memerhatikan keadaan di perantauan. Kaherah sebuah ibu Negara di salah satu benua Afrika iaitu Mesir (Egypt). Keadaan di sini tidak berbeza sangat dengan Kuala Lumpur iaitu ibu Negara tanah air kita Malaysia.

Penumpuaan yang dikatakan tidak berbeza dari beberapa sudut sahaja. Adat meminta-minta sudah menjadi kebiasaan dikalangan rakyat setempat. Kita tidak menafikan orang yang mampu berkerja sentiasa melakukan perkerjaannya tanpa menghiraukan sesiapa yang berada disekeliling.

Ketika merenung melihat pelbagai gelagat manusia yang berkeliaran di bandar, kembali mengingati pembelajaran fiqh di bangku sekolah rendah dahulu. Miskin dan fakir ada perbezaannya. Definisinya :-

Miskin : Boleh dikatakan seperti ‘kais pagi makan pagi’. Seorang mencari rezeki dalam masa sehari dan hasilnya habis dibelanjakan pada hari yang sama atau hasilnya boleh disimpan sedikit selepas hasilnya dibelanjakan.
Contoh : Keperluannya RM10 sehari. Dalam sehari seorang itu dapat RM10 atau RM11 sehari. Jadi sekurang-kurangnya hanya berbakikan RM1 sahaja.

Fakir : Seorang mencari rezeki dalam masa sehari dan hasilnya tidak cukup untuk keperluannya pada hari yang sama.
Contoh : Keperluanya RM10 sehari. Dalam sehari seorang itu hanya dapat RM8 atau RM9 sehari. Jadi pencariannya tidak dapat menampung keperluan.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT yang memberkati ilmu kita yang telah dicurahkan oleh guru kita. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan memberi keberkatan juga kepada mereka supaya kita sama-sama diredhai oleh yang Maha Pencipta.

Sentiasa Memberi

Ramai orang yang kurang mampu seperti orang yang sudah lanjut umurnya, tidak mampu berkerja, tiada tempat tinggal, hanya sehelai pakaian sahaja dan serba kekurangan. Kita boleh melihat bertapa tabahnya mereka. Walaupun diri mereka tidak mampu, paling kurangnya meraka tetap mempunyai maruah.

Mereka tidaklah meminta-minta pada orang ramai. Mereka memupukkan diri sendiri sentiasa berusaha. Menjual barang di tepi jalan seperti tisu, bendera, topi, wangian kenderaan dan lain-lain. Ini menandakan mereka masih mempunyai maruah diri dan mampu berdiri sendiri.

Menjadi tanggungjawab kita bersama, datangkan keazaman diri untuk sama-sama menjadi seorang yang sentiasa memberi. Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menjadi tangan yang menerima.

Keadaan yang berbeza menyebabkan seorang itu menjadi seorang pemberi dan penerima. Tanamkan diri kita supaya tidak memandang rendah kepada mereka. Kedudukan kita semua sama taraf di sisi Allah SWT. Menjadi seorang pemberi lebih utama dalam diri kita.

Sabda Rasulullah s.a.w :- “Tangan di atas(tangan memberi) lebih baik dari tangan di bawah (tangan yang menerima)”. [Riwayat al-Bukhari]


Kelebihan

Setiap perkara mempunyai kelebihan masing-masing. Kita sentiasa memberi insya-Allah Allah SWT akan menambahkan rezeki kita. Limpahan rezeki Allah sangat luas umpama ‘gelas yang kosong diisikan air sehingga penuh ianya akan melimpah keluar’.

Allah menjanjikan kepada sesiapa yang sentiasa memberi ke jalan Allah akan digandakan pemberiannya itu sepertimana firman Allah di dalam kitabnya :-

ﭽ ﭾ ﭿ ﮀ ﮁ ﮂ ﮃ ﮄ ﮅ ﮆ ﮇ ﮈ ﮉ ﮊ ﮋ ﮌ ﮍﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗ
Maksudnya :- “Bandingan (perbelanjaan / derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah amat luas (rahmat) kurniaan, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. [Al-Baqarah; 2:261]

Kita juga dapat merasakan diri ini hanya sebagai seorang hamba. Tidak lupa kita pada Maha Pencipta. Kita sentiasa meminta-minta kepada Allah kerana hanya Dialah yang memberi segala-segalanya kepada kita. Allah SWT berfirman bahawa Allah sentiasa dekat kepada kita :-

ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ ﯮﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ ﯺ ﯻ ﯼ
Maksudnya :- “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadamu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka menjadi baik serta betul”. [Al-Baqarah; 2:186]

Penerimaan Tuhan akan doa dan permohonan hamba-Nya itu adalah berdasarkan kepada peraturan atau undang-undang Tuhan yang telah ditentukan. Maka tiap-tiap doa dan permohonan itu hendaklah diiringi sama dengan amal dan usaha yang sungguh-sungguh serta mengikut peraturan undang-undang Allah yang berlaku kepada sekalian alam.

Kita jangan bimbang ketika memberi kerana hadith qudsi yang disabda oleh Rasulullah s.a.w :-
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "مَا نَقَصٌ مَالٍ عَبْد مِنْ صَدَقَةٍ"
Ertinya :- “Tidak berkurang harta seseorang hamba dari memberi sedekah” [Riwayat al-Bukhari]

MUHAMMAD IMADUDIN BIN ABD LATIF
SYARIAH ISLAMIAH, AL-AZHAR

Baca Sepenuhnya >>

~SIAPA KATA ALLAH TIDAK SAYANG?~

Rabu, 15 Februari 2012 0 suara

''Mengapa semua ini berlaku kepada aku? Mengapa?''

''Kenapa Allah uji aku begini?Allah tidak sayangkah pada aku?''

Wah, banyaknya soalan kita bila diuji! Namun, tidak pula kita persoalkan ketika mendapat nikmat.
Fitrah dan hakikat manusia kebanyakannya berkeluh kesah tika diuji. Oleh itu,berbagai pertanyaan yang timbul. Jika tidak memahami dugaan pasti tidak mengerti hikmah yang tersimpan. Ya, sememangnya tidak mungkin kita tahu apa yang tersembunyi di sebalik musibah yang dirasakan bebanan.

Tetapi bukankah selayaknya kita bersabar penuh keyakinan? Berusaha tanpa menyalahkan. Sesuatu ujian tidak dilayangkan kosong dan sia-sia melainkan sarat dengan hikmah dan rahmat. Apakah tindak balas diri ketika Tuhan mengirim musibah?Adakah reaksi kita seperti yang Allah perintahkan? Berusaha untuk merubah!

Firman Allah:

''Aku tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri''

Jika seseorang merasakan kekasihnya mampu berjanji manis dan memberi sesuatu yang disukai, bahkan Allah lebih dari itu. Bukankah Allah swt adalah sebaik-baik kekasih bagi manusia? Cinta kasih-Nya tidak bertepi. Setiap janji-janjiNya pasti ditepati.

Setiap musibah dan ujian yang dikirim pasti diiringi dengan kemudahan pula.Sebagaimana janji-Nya di dalam surah al-Insyirah ayat 6:

''sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan''.

Ujian yang melanda dengan kesakitan hakikatnya terubat dengan rasa sabar, redha dan ikhlas. Apabila ia dipijak terasa jalan berduri sebaliknya di mata orang-orang yang beriman ia adalah permaidani merah melambangkan ketinggian darjat dan tangga-tangga ke syurga.

Apalah ertinya makanan tanpa rasa, minuman tanpa gula. Begitulah kehidupan. Tiada erti tanpa diduga. Sakit, sihat, sedih, gembira adalah antara rukun kehidupan.Tidak dapat dipisahkan.

Maka sekiranya kita tidak diuji,tepuk dada tanya iman.

Bagi yang bergelut dengan dugaan dan kesusahan,usah bimbang. Dalam kesedihan panjatkanlah kesyukuran kerana masih diingati dan berada dalam pandangan Tuhan.

Sekiranya kita sering rindu untuk mendengar suara orang yang disayangi,begitulah juga Allah. Sering merindukan doa-doa dan rintihan hamba-hambaNya.

''Allah rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan,bersyukurlah dan tabahlah,menghadapi segala ujian diberi.maka bersyukurlah selalu'' rahmat ujian-(mestica)

Allah berfirman di dalam surah al-‘Ankabut ayat 2,

''Adakah mereka dibiarkan mengatakan kami beriman sedang mereka belum diuji''

Hati teruji, iman meninggi. Maka apakah yang lebih penting selain ditinggikan darjat di sisi Tuhan?

Marah tanda sayang. Semestinya kata-kata ini sering kedengaran. Bermakna tidak semestinya jika menyayangi seseorang perlu memberi semua yang disukai. Kelak akan merosakkan.Begitu juga Allah.Ujian tidak diberi untuk menyiksa hamba-Nya. Sebaliknya untuk menyedarkan supaya lebih menghargai nikmat dan pemberian.

Lebih dekat dengan Tuhan.

Sentiasa bersyukur dan terus beramal.

Frasa putus asa tidak wujud dalam kamus hidup.

Firman Allah dalam surah Hud ayat 9,10 dan 11:

“Dan jika Kami berikan rahmat Kami kepada manusia,kemudian (rahmat itu)Kami cabut kembali,pastilah dia menjadi putus asa dan tidak berterima kasih

Dan jika Kami berikan kebahagiaan kepadanya setelah ditimpa bencana yang menimpanya,nescaya dia akan berkata,''telah hilang bencana itu dariku''.Sesungguhnya dia (merasa)sangat gembira dan bangga.

kecuali orang-orang yang sabar,dan mengerjakan kebajikan,mereka memperoleh ampunan dan pahala yang besar.”

Yakinlah,rahmat Allah itu mengatasi murka-Nya. Gelombang kasih-Nya melanggar segunung kasih sayang ibu bapa. Setiap mehnah mengandungi hikmah. Bertujuan tarbiyah.

Setiap nikmat merupakan pemberian. Juga gandaan kebaikan. Musibah pula bukanlah seksaan tetapi peringatan.

Satu teguran.

Menguji keimanan dan ketaqwaan.

Kedua-duanya mengundang kebaikan.

Allah jua yang mencipta perasaan. Pemilik kasih sayang. Maha Pengasih Maha Penyayang.Oleh itu, apa yang diturunkan sudah pasti bersama rahmat-Nya.

Jadi, siapa kata Allah tidak sayang?

Nukilan : Aisyah Masyitah
Tahun 1, Kuliyyah Bahasa Arab
Baca Sepenuhnya >>