Monolog Satu Perjalanan

Ahad, 20 April 2014
Tahun 1930, pena sejarah terus mencatat. Penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang pada awalnya Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS), bertindak menaungi dan menyatukan Anak-Anak Melayu di Bumi Kinanah khususnya. Sebagai sebuah persatuan induk, PMRAM terus melangkah dengan penuh optimis dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Kebersamaan yang padu penyokong dan pendukungnya, maka PMRAM sentiasa mencipta helaian peristiwa untuk dijadikan corak ikutan setiap generasi.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Berlandaskan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah, PMRAM terus menabur bakti. Nama PPS ditukar kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada tahun 1956. Pada tahun ini, PMM telah mendaftarkan 65 orang Anak Melayu untuk menjadi askar sukarela membantu Mesir menentang pencerobohan Inggeris, Perancis dan Israel. Perkara ini menampakkan PMRAM sentiasa memberi kerjasama dalam isu keamanan biarpun terdapat risiko yang menanti. Sebagai tanda penghargaan, dua telegram khas ucapan terima kasih diterima daripada Presiden Jamal Abdul Nasir. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Tahun 1957, PMRAM mengemukakan resolusi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Membawa nama Tanah Melayu di Bumi Thur Sina ini, PMRAM telah memperkenalkan Tanah Melayu kepada semua bangsa dan peringkat dalam sambutan kemerdekaan.

Saban tahun, PMRAM terus mengorak langkah meniti kematangan usianya. Pada tahun 1965, PMM telah memperbaharui pendaftaran dan menukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB). PMRAM juga sentiasa menekankan aspek pendidikan. Melahirkan mahasiswa berilmu pengetahuan merupakan satu usaha yang dipandang serius. Maka pada tahun 1969, PMRAM telah melancarkan Minggu Pengetahuan bagi menggalakkan pembelajaran ahlinya. Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu sekali lagi menukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir pada tahun 1971, iaitu PMRAM pada hari ini. Agenda mendidik mahasiswa acuan ukhrawi terbukti berkesan. Persatuan  ini berjaya melahirkan kader-kader dakwah melalui kursus dakwah yang dilancarkan pada tahun tersebut. Aktivis hebat seperti Ustaz Zuhaili Bin Saiman, Ustaz Hanif Bin Haron, Ustaz Hairul Nizam Bin Mat Husain dan ramai lagi merupakan anak didik PMRAM yang aktif pada hari ini dalam menyampaikan dakwah di Tanah Air Malaysia.

Kesihatan dan kecerdasan  tubuh badan adalah aset paling penting untuk pemikiran bernas seorang mahasiswa. PMRAM telah menghantar wakil untuk mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan Zamalek, Kaherah pada tahun 1993. Sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam yang mendapat kepercayaan Bumi Kinanah ini, PMRAM sentiasa peka dan tegas dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Menaungi 12 Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ,dan 8 buah Dewan Perwakilan Mahasiswa-mahasiswi, PMRAM sentiasa cakna berkaitan thaqafah, kebajikan dan kemahiran Anak-Anak Melayu di Mesir. Pada tahun 2001, PMRAM Multimedia Centre (PMC) telah dilancarkan. Kemahiran ahli mendepani kecanggihan arus teknologi baru dan pengendalian barangan elektronik, serta teknikal majlis menjadikan PMRAM seiring menyelusuri kemodenan dunia IT.

Kita jauh lebih selesa pada hari ini,berbanding mereka yang memulakan. Laungan Kita PMRAM dan Satu Fikrah Satu Amal merupakan ikatan kebersamaan kita agar yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jika diimbas kembali, awal sejarah PMRAM adalah roh kesatuan yang ditiupkan untuk kita terus sabar dan thabat menjaga persatuan ini. Jatuh dan bangun PMRAM adalah gambaran jelas bahawa persatuan ini cukup matang mengharungi setiap cabaran. Biar kuat ditekan, walau segunung pujian diberikan, PMRAM begitu tenang dan tidak mudah melatah dalam menyelesaikan apa juga permasalahan. Kematangan inilah membuatkan PMRAM terus kukuh selama 80 tahun lebih bertapak di Perlembahan Nil ini.


Semoga genggaman padu kita mempertahankan kesatuan ini, terus kekal sehingga generasi yang seterusnya. Bersama melaungkan KITA PMRAM!!!

- Nisrin Sahrawi -

Nama penulis ialah saudari Nurul Fatin Binti Kamaruddin daripada PMRAM Cawangan Iskandariah yang mendapat tempat pertama di dalam kategori penulisan pada Pertandingan Jom Berkarya Sempena Ulang Tahun Penubuhan PMRAM Kali Ke-84.
♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: