PETUA PENULISAN KREATIF

Jumaat, 4 November 2011 0 suara
1. Apa Yang Boleh Buat Anda Bahagia?

Fikirkan tentang objek, manusia, haiwan atau apa saja yang boleh membahagiakan anda. Menggunakan ini dalam karya boleh membantu anda membangkitkan daya kreativiti dalam karya anda sekarang dan karya-karya akan datang. Kerana kebahagian itu sendiri adalah suatu emosi yang sangat kuat, dan ia perlu digunakan untuk menghidupkan karya anda, apabila diperlukan.

2. Tulis Cerita Secara Terbalik?

Katakanlah dalam minda anda ada cerita yang hebat sekarang, tapi anda tak pasti bagaimana hendak memulakannya (mungkin anda ragu-ragu kerana tidak mahu menghasilkan karya sama dgn penulis-penulis lain), untuk itu, tulislah cerita secara terbalik. Mulakanlah ceritanya di bahagian paling akhir... kemudian, dari sana, anda akan melakukan banyak imbas balik. Dengan cara yang betul, anda pasti akan mendapat satu hasil yang membanggakan!

3. Minda Yang Resah

Apabila anda dapati daya fikir anda selalu melayang liar tidak ketentuan, terutama sekali apabila anda teruja keseronokan ataupun semasa anda menghadapi tekanan hidup, memang sukar untuk anda duduk diam, menghadap skrin komputer berjam-jam lamanya. Sebagai penulis atau bakal penulis, anda terpaksa mencari jalan utk menumpu perhatian kepada apa yang dikerjakan, kerana daya kreativiti tidak dpt berkembang mekar jika terlalu banyak gangguan.

Selain drpd riadah (Utk yg beragama Islam), elok juga jika anda boleh melakukan meditasi untuk mencari ketenangan dlm diri. Anda hanya perlu duduk di kusyen, menghela nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya keluar semula, berulang-kali. Dan cuba mengawal pergerakan daya fikir anda semula, sehingga anda mampu memilih apa yang anda perlu fikir, dan apa yang anda tolak ke tepi utk difikirkan di kemudian hari saja. Anda boleh berkata begini, "Ok, sekarang apa yang A akan buat, fikir, rasa, bertindak jika berhadapan dgn situasi ini...) Fokus.

4. Pengalaman Hidup

Penulisan Kreatif - tidak bermakna anda harus kreatif (reka/cipta) semuanya. Anda boleh ambil cerita dari pengalaman anda sendiri sebagai permulaan, dan kemudian anda boleh pinjam pengalaman orang lain. Jangan ragu-ragu untuk menghasilkan karya tentang pengalaman hidup diri sendiri, selagi nawaitu(niat) ketika menghasilkan karya itu tetap murni, apabila dibaca orang. Yang pasti, kesengsaaraan hidup, tanpa perjuangan untuk mengatasinya - bukan sebuah karya kreatif yg positif atau membina.

Hanya melihat kembali pengalaman yg lalu, barulah kita boleh faham mengapa kita boleh berada di sini, ketika ini.


5. Kenali Format Penerbit

Belajar mengenali format penerbit di mana kita mahu hantar karya kita nanti. Cara mudah, anda pergi sendiri menemui para editor mana-mana penerbitan yang anda ingin lihat karya anda terbit. Sebaik-baiknya, biarlah dgn penerbit-penerbit yang berwibawa dan telah terbukti boleh dipercayai. Tanyakan jenis karya yang bagaimana yang pihak penerbit itu perlukan. Novel dewasa? Novel Remaja? Novel Kanak-Kanak?

Anggaplah diri anda seorang ahli perniagaan seketika, dan apabila mahu menjual sesuatu kpd seseorang, tentulah anda perlu jual apa yg orngg itu mahu bukan? Dari segi kualitinya, citarasanya, warnanya, dan sebagainya. Ini semua boleh dipelajari, tp juga perlu dipatuhi demi kebaikan dua pihak - pihak anda dan pihak penerbit... memberi dan menerima... give and take.

Yang pasti, pihak penerbit tidak akan `beli' barangan yg kita `jual' - kalau ia tidak menepati citarasa/format mereka. dan kita tidak boleh paksa beli, apa yg orang tak `gunakan/makan'.


6. Simpan Matlamat Anda Dalam Buku Log.

Sedikit sebanyak, ia mampu membuatkan anda menurunkan matlamat anda dalam bentuk tulisan. Sebelum tidur malam, catat apa yang anda harapkan akan anda buat untuk karya anda, pada keesokkan harinya. Catat juga samada anda berjaya atau tidak memenuhi harapan anda pada hari itu. Ini perlu dilakukan, apabila anda cuba menghasilkan beberapa projek dalam satu masa, ataupun anda menghasilkan novel yang panjang dan berat.


7. Novels vs. Cerpen


Betulkan kata orang; Cerpen adalah baby/bayi kpd novel? Mungkin juga tidak, dan mungkin juga ya. Mungkin ia juga bergantung kepada kemahiran dan keupayaan seseorang penulis samada mau mengembangkan cerpen menjadi novel, atau memendekkan novel menjadi cerpen. Perbezaan antara cerpen dengan novel; dalam cerpen, segala-galanya perlu padat, dan jalan ceritanya singkat (1 + 2 gabungan peritiwa/cerita = 1 cerpen.. tapi kalau mahir, boleh buat lebih banyak gabungan lagi). Sementara novel pula, lebih banyak kebebasan, lebih fleksibel untuk berkreatif,lebih mendalam, lebih kompleks, lebih mencabar, rumit tapi sekaligus menyeronok-puaskan. Tapi tiada yg mustahil dan boleh buat, jika anda mau.


8. Memerhatikan Orang lain

Jika anda mencari unsur-unsur yang lebih segar, cuba anda pergi ke tempat di mana orang ramai sering berkumpul... di taman permainan kanak-kanak, sebagai contoh, atau di stesyen bas atau di gerai makan dll... dan kemudian, `pasang telinga'. Bawa buku nota, catat apa saja yang menarik rongga pernafasan, penglihatan, pendengaran anda dan sebagainya. menarik rongga pernafasan anda = bau yg anda hidu. Pendengaran anda = perbualan menarik/aneh yg anda terdengar. Penglihatan anda = orang yg lalu lalang berhampiran anda, gaya jalan, gaya berckp, gaya/mimik muka apabila mereka gelak atau marah dan sebagainya. Bayangkan bagaimana org yg anda perhatikan itu menjalani hidupnya. Kadang-kadang menghasilkan karya berdasarkan orang yang tidak pernah kita temui di alam realiti, adalah lebih menarik dan menyeronokkan.

9. Ikut Jejak Perwatakan

Memandangkan novel adalah besar/tebal dan banyak wataknya, elok juga jika anda mencatatkan setiap perwatakan (dalam dirinya, kesukaannya, gaya cakapnya dan lenggok bahasanya, pengalaman peribadinya, fahaman agama dan politiknya, psikologinya dll tentang watak-watak anda yg berbeza-berbeza itu. Ini dapat membantu konsisterasi anda hingga ke penamat cerita, dan anda tidak akan sesat dalam karya anda sendiri.

10. Menulis untuk Menulis Semula.

Apabila membuat draf permulaan untuk satu-satu karya, tulis saja. Masukan emosinya (mungkin boleh emosi anda sendiri di sini, lebih tulin begitu bukan?) dan sebagainya di atas kertas atau di microsoft word anda. Kemudian, kita akan tulis semula, tambah-kembang-baik-pulihkan di sana sini, perbetulkan mana yg patut dll. Kerana, sesebuah karya itu tidak tamat - selagi kita tidak puas!
Baca Sepenuhnya >>

Nilai Sebuah Penulisan

Ahad, 30 Oktober 2011 0 suara

Hari ini, tidak ramai yang minat penulisan? Apa pentingnya penulisan itu? Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa penulisan itu boleh dikatakan keperluan bagi seorang yang bergelar penuntut ilmu.. Kalau tak minat, KENA tanamkan minat tersebut. Ia adalah keperluan bagi anda. Kalau seseorang yang tidak minat makan ubat, dia perlu makan ubat juga walaupun tidak minat! Ini kerana ia adalah “penyambung nyawa”

Diharap erti “penyambung nyawa” bagi ubat ini tidak boleh disalahertikan. Maksud saya, penulisan adalah salah satu elemen penyambung nyawa.. Dari sudut apakah ia boleh ditafsirkan?

Bagaimanakah anda boleh mengenal ulama’-ulama’ kita kalau bukan dengan penulisan. Mereka sudah meninggal dunia berates-ratus tahun, tetapi kita masih mengenalinya… Ini kerana, mereka telah meninggalkan penulisan mereka, sehinggakan orang yang membaca penulisan mereka seolah-olah merasai ulama tersebut berada di hadapannya.

Kita mengenal nabi-nabi terdahulu dan kisah-kisah mereka disebabkan penulisan. Penulisan al Quran mula digerakkan pada zaman Saidina Abu Bakar dan siap sempurna pada zaman Saidina Uthman. Alhamdulillah, melalui penulisan mereka, kita dapat mengenal nabi-nabi terdahulu.

Bagaimanakah kita mengenal Nabi Muhammad SAW? Juga melalui penulisan. Ibnu Ishaq, Ibnu Hisyam, Imam Thabari, Imam Ibnu Kathir dan sebagainya, adalah diantara sejarawan Islam yang menulis. Imam Thabari terkenal dengan Tarikh Tabari, Ibnu Athir terkenal dengan al Kamil Fit Tarikh. Penulisan mereka menjadi rujukan tentang kisah Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini.

Tidak ketinggalan, penulisan Hadis Nabi SAW juga banyak membantu kita mengenal Nabi kita. Imam Bukhari, Imam Muslim, Sunan Sittah, Imam Ahmad dan banyak lagi yang tidak tersebut di sini. Mereka menghimpunkan hadis-hadis Nabi, kemudian ditulis dan sehingga hari ini kita dapat membaca dan memahami hadis Nabi melalui usaha mereka dalam penulisan.

Imam Ahmad terkenal dengan Musnad, Imam Malik terkenal dengan al Muwatto’, Imam Bukhari dan Muslim sudah makruf untuk diceritakan di sini, dan berjuta lagi ulama yang mengarang dan menulis. Penting tak penulisan? Adakah kita perlu “minat” terlebih dahulu, baru ingin menulis? Tidak! Ia adalah satu keperluan. Walaupun tidak minat, anda perlu juga menulis.

Bagaimanakah kita dapat mengenal seseorang ulama kalau mereka tidak menulis? Dengan cara apa lagi? Fikirkan, dan mulakan penulisan anda dari sekarang.

Setiap manusia akan mati, maka, apakah lagi yang akan meninggalkan kesan tapak kaki kita di bumi kalau bukan dengan penulisan? Di sana, terdapat puluhan kitab yang menceritakan tentang ulama-ulama. Bagaimanakah kita dapat mengenal mereka kalau bukan dengan penulisan kitab tersebut.

Al Ishabah Fi Tamyiz as Sohabah karangan Ibnu Hajar al Asqolani, karangan Az Zirikli, Kitab Kitab al I’lamSiar A’lam an Nubala karangan Imam Zahabi, Kitab al Jarhu Wat Ta’dil karangan Ibnu Hajar al Asqolani, kitab Wafayatul A’yan karangan Ibnu Halkan, Kitab Hilliyatul Auliya dan sebagainya… Berjuta-juta yang terpamer di hadapan kita hari ini…

Mulakan penulisan anda hari ini! Bukan untuk dikenali, tetapi sebagai penyambung nyawa. Semua orang tahu, bahawa 3 perkara yang dapat menyambung amalan seseorang walaupun sudah mati. Iaitu, doa anak yang soleh, sedekah jariah ketika kita hidup, dan ilmu bermanfaat. Ingat, penulisan akan menjadi penyambung hidup anda..


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca Sepenuhnya >>

Penulis Yang Baik Adalah Pembaca Baik.

Khamis, 29 September 2011 1 suara

Ada juga yang menganggap seseorang itu menjadi penulis yang baik kerana bakat penulisan yang sedia ada dalam DNAnya. Agak kurang bersetuju. Hakikatnya seseorang itu menjadi penulis yang baik kerana dia adalah seorang pembaca yang baik.

Sedar atau tidak, terdapat dua jenis ilmu yang terkandung dalam mana-mana buku :

1. Ilmu dari subjek buku tersebut. Apabila kita membaca buku berjudul “Puasa-Puasa Sunat
Rasulullah”, kita mendapat ilmu dalam subjek puasa-puasa sunat.
2. Ilmu dari cara penulisan buku tersebut. Dengan memerhatikan cara penulis menyampaikan
subjeknya, kita mendapat ilmu tentang cara-cara menulis.

Lazimnya apabila membaca buku, pembaca hanya memberi tumpuan kepada ilmu jenis pertama. Ada pun ilmu jenis kedua, ramai yang tidak sedar ia wujud. Maka untuk menjadi penulis yang baik, anda perlu menjadi pembaca yang baik. Pembaca yang baik akan memerhatikan ciri-ciri penulisan berikut :

1. Pembahagian bab-bab.
2. Penyusunan tertib bab.
3. Penyusunan ayat dan gaya penyampaian.
4. Pemilihan perkataan (vocabulary) dan tatabahasa (grammar).
5. Penggunaan koma, koma bertitik, noktah, numbering, bullets, nota kaki, carta dan sebagainya.

Ada satu teknik bacaan yang disangka baik oleh sebahagian orang, iaitu speed reading. Melalui teknik ini, pembaca dapat menghabiskan satu buku dalam masa yang singkat. Sebenarnya teknik ini memiliki banyak kelemahan, antaranya:

1. Banyak fakta penting yang anda terlepas pandang.
2. Kefahaman yang dicapai hanya pada tahap minimum. Berdasarkan poin satu dan dua ini
menjadi satu kelaziman para pembaca buku saya menghubungi saya kerana sesuatu persoalan yang mereka tidak temui dalilnya atau sesuatu masalah yang tidak mereka fahami.
3. Anda tidak dapat menghafal dalil dan hujah. Pernah mengalami suasana apabila anda ditanya
satu soalan dan yang mampu anda jawab hanyalah: “Saya pernah baca tentangnya semalam
tetapi tak ingat apa hadis yang dijadikan dalil…”?
4. Anda tidak dapat belajar cara-cara penulisan.
5. Poin 1, 2, 3 dan 4 di atas menyebabkan anda terpaksa membaca semula buku yang sama itu.
Semua ini mensifarkan manfaat teknik speed reading yang diamalkan pada kali yang pertama.


Oleh itu untuk menjadi penulis yang baik, anda perlu menjadi pembaca yang baik. Banyakkan bacaan dan berilah tumpuan khas kepada cara penulisan buku bacaan anda.

Apabila disebut “banyakkan bacaan”, maksudnya minimum lima buku sebulan, bukan satu buku setahun.
Baca Sepenuhnya >>

Perkara Penting Sebelum Menjadi Seorang Penulis Blog

Rabu, 28 September 2011 0 suara


1. Tujuan menulis blog.

Tanyakan diri anda apakah tujuan anda menulis blog,adakah disebabkan kawan-kawan anda mempunyai blog yang hebat maka anda terus berminat untuk turut serta atau anda menulis blog kerana ghairah dengan berita pendapatan yang dihasilkan dari menulis blog seperti diwar-warkan oleh sebuah akhbar sedikit masa lalu,jika ini sebabnya,lebih baik jangan! kerana anda mungkin diantara sampah-sampah yang bertaburan yang memenuhi ruang cyber ini.


2. Apa maklumat yang hendak dikongsi?

Didalam arena penulisan blog ada bermacam-macam jenis blog, ada berbentuk perkongsian cerita peribadi,artis,gossip,politik,computer,jual barang,agama,nasihat,tip-tip rumah tangga,resipi dan sebagainya.


Sebelum membina sesebuah blog anda perlulah menetapkan kategori mana blog anda itu, adakah anda mahu berkongsi satu benda sahaja atau anda akan menulis apa sahaja yang terlintas,tidak salah kalau anda mahu berkongsi apa saja yang terlintas diminda anda,cuma yang perlu dititip beratkan adalah,elakan penulisan yang berbentuk maki-makian,menghina seseorang,mencarut dengan perkataan yang tidak enak didengar.

Jika anda tidak berpuas hati dengan sesuatu tulislah dengan berhemah.Orang akan menilai anda dengan hasil tulisan anda itu.Untuk kekal lama dalam arena penulisan blog,elakan perkara negatif yang disebutkan diatas tadi.
Ada juga sesetengah orang, menulis blog kerana tidak sukakan sesuatu perkara,biasanya blog yang berbentuk politik yang semakin jijik sekarang ini.Cara mereka ini jangan ditiru.Kebanyakan dari mereka diupah oleh seseorang yang ada kepentingan dan matlamat mereka adalah satu menyebarkan ideologi fitnah untuk menjatuhkan seseorang.


3. Mantapkan ilmu terlebih dahulu.

Untuk menjadi seorang penulis blog anda perlu ada sedikit ilmu,maksud ilmu disini adalah cara bagaimana untuk anda menjadikan blog anda cantik,mesra pembaca,tidak semak mata memandang.Kebanyakan penulis blog yang baru,mereka tidak ada ilmu dan tidak mahu mencari ilmu.Mereka hanya tahu menulis dan mereka tidak betul betul faham apa pentingnya mempunyai blog yang “ringan”.Mereka juga tidak mempelajari do’s and dont’s ,ada sesetengah blog meletakan widget yang tidak berguna.

Sesebuah blog yang mesra pembaca adalah ringan,tidak berserabut,tulisan tidak fancy(tidak berwarna-warni),tidak mengunakan bahasa SMS atau slang yang sukar untuk difahami.Jika blog anda ada ciri diatas sebaik-baiknya ubahlah sebelum blog anda sepi dari pengunjung.

Soalan yang sering ditanya oleh penulis blog yang baru “Mengapa blog saya tidak ada pembaca walaupun isi saya mantap” jawapanya blog anda tidak mesra pembaca!.Kita nampak masalah itu kecil,tapi kesannya adalah dalam jangka masa yang panjang.

4.Tiru hasil penulisan orang lain

Dari awal-awal lagi jika kita paham apa itu bidang penulisan blog,kita tidak akan mencuri tulisan orang lain.Mencuri tulisan orang lain yang dimaksudkan adalah,kita tiru bulat-bulat tulisan orang lain dan kita masukan didalam blog kita tanpa kita memberi kredit kepada penulis asal.
Banyak penulis blog yang baru buat begini kerana mereka merasakan penulis asal tidak tahu.Maaf, dunia blogging di Malaysia ini kecil sahaja lambat laun ada orang yang akan terjumpa tulisan yang sama,silap haribulan penulis asal yang menangkap anda.

Latihlah diri anda untuk menulis dengan buah fikiran sendiri,sama ada betul atau tidak buah fikiran anda itu, anda hanya menulis untuk menyampaikan,sebab setiap orang… lain pandangannya dan kefahamannya. Jadi jangan sesekali mencuri hasil tulisan orang lain.

5. Promosikan blog anda

Diantara kesilapan yang sering dilakukan oleh penulis blog baru,mereka tidak pandai mempromosi blog mereka sendiri.Mereka fikir dengan membuat sebuah blog sudah memadai.Mereka mengambil sikap tulis dan tinggal tanpa ada susulan selepas itu.Mereka hanya mengharapkan pembaca akan jumpa hasil penulisan mereka dengan sendiri.

Tanggapan ini salah!.Contohnya jika anda ada produk yang baik tetapi anda hanya tunggu pelanggan datang membeli maka kekecewan akan menghantui anda.Didalam dunia cycber ini banyak website atau laman sosial yang boleh anda jadikan medan untuk mempromosi blog anda.

Salah satunya facebook,twitter,forum dan juga komen-komen anda diblog yang anda singgah,gunakan sepenuhnya ruang yang ada tanpa rasa jemu.Perlu di ingat jangan jadi spammer kerana terlalu ghairah untuk mempromosi blog anda!!!
Kita ambil satu contoh KFC,walaupun KFC sudah dikenali diseluruh dunia namun kita sering lihat mereka masih mempromosi produk mereka hampir setiap hari.Apa yang penting jangan jemu mempromosi blog anda!

6. Hala tuju blog anda.

Setiap benda yang kita buat mesti ada matlamat,begitu juga dengan bidang penulisan blog,menulis blog perlu hala tuju anda sendiri.Berapa lamakah masa yang anda perlukan menjadi seorang penulis blog berjaya?.Adakah hanya untuk setahun dua?.Siapa yang akan menjadi “target market” anda?.Berapa lamakah masa yang perlu diambil untuk membina jenama anda sendiri?

Dalam hal ini anda perlu set kan hala tuju blog anda,supaya anda ada matlamat dan hala tuju dimasa hadapan.Untuk berjaya dalam bidang penulisan blog bukanya setahun dua!

Kebanyakan penulis blog yang baru mereka tiada hala tuju,sebab itulah mereka gagal,setelah blog dibuat,dalam masa sebulan dua ianya berkubur begitu sahaja,lebih parah lagi,mereka tidak berminat lagi untuk menulis dan mereka biarkan sehingga bersawang makalah jadilah seperti rumah yang ditinggalkan dan menunggu masa untuk roboh.

Sikap begini perlu dibuang jauh-jauh jika anda mahu menjadi seorang penulis blog yang berjaya pada masa akan datang!
Baca Sepenuhnya >>

Apa Yang Perlu Bagi Seorang Penulis

Ahad, 25 September 2011 0 suara

BERKARYA, BAKAT ATAU MINAT?

Itulah persoalan yang dilontarkan dan pastinya menarik minat khalayak untuk dikongsi bersama. Sebenarnya, minat atau bakat merupakan satu istilah yang kompleks tetapi subjektif dan sukar diekspresikan secara formulasi (ringkas dan tepat). Kita sedia maklum bahawa minat dan bakat memberi konotasi yang komparatif. Ia bergantung kepada setiap individu itu sendiri. Malah, kadang-kadang ianya berubah mengikut persepsi mentaliti masing-masing.

Dari istana peristilahan, minat merujuk akan keinginan kepada sesuatu manakala bakat pula ditafsirkan sebagai kebolehan semulajadi. Di sini jelas bahawa bakat dan minat memberi maknawi yang berbeza.

Barangkali, minat mungkin juga boleh dikaitkan dengan aspek naluri. Apa itu naluri? Satu lagi persoalan yang mungkin juga boleh dikongsi bersama. Naluri merupakan kuasa semulajadi biologi yang mendorong seseorang bertindak mengikut satu-satu cara (Hilgord, 1979).

Walaubagaimanapun, Fantino pula mentakrifkan naluri sebagai pola tingkahlaku yang semulajadi dan bukanlah sesuatu yang dipelajari. Daripada kedua-kedua perspektif ini (Minat dan naluri), kita seolah-olah menemukan satu konotasi yang hampir sama iaitu keinginan dalaman.

Mengikut pelopor teori naluri yang terkenal, William McDougall, beliau menyatakan bahawa kesemua pemikiran dan tingkahlaku manusia dipengaruhi oleh naluri. Sebagai manusia normal, kita dianugerahkan pelbagai jenis naluri. Salah satunya ialah naluri ingin tahu. Kehadiran naluri ini mendorong manusia ingin menyiasat, mencuba dan meneroka. Begitu juga dengan skop penulisan kreatif. Naluri ingin tahu menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mencoret sesuatu, contohnya soal kehidupan dan kemanusiaan.
Mengikut Mustafa Jusoh pula (Cerpenis dari Kelantan) dalam pembentangan kertasnya, ‘Asas Penulisan Cerpen’, beliau menyatakan bahawa minat ialah keinginan atau kecenderungan seseorang dalam bidang yang diceburi. Menurutnya lagi, minat adalah sangat penting untuk digabungjalinkan dengan bakat bagi melahirkan seorang pengarang yang berjaya.

Bagaimana pula dengan bakat? Menurut Mustafa lagi, bakat merupakan kebolehan semulajadi (bakat alam) yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Mustafa seterusnya membahagikan elemen bakat kepada 2 skop iaitu bakat dan usaha. Berikut diturunkan pecahan bakat dan usaha / kerja keras:
1. 90 % bakat + 10 % usaha / kerja keras
Adalah insan yang istimewa. Dalam konteks ini, sasterawan dilahirkan
BUKANNYA dibentuk. Maknanya di sini, seseorang itu telah dikurniakan
anugerah yang istimewa untuk menjadi penulis yang baik.
2. 10 % bakat + 90 % usaha / kerja keras
Adalah insan biasa dan perlu gigih berusaha jika mahu menjadi
seorang penulis yang berjaya. Daripada perpektif ini pula,
sasterawan jenis ini boleh dibentuk.
Dalam situasi sebenar, bakat dan minat adalah tidak mencukupi untuk memungkinkan seseorang itu menjadi penulis yang berjaya. Satu perkara yang dikatakan agak penting dan perlu ditambah untuk melengkapkan lagi bakat dan minat ialah CITA-CITA.

Cita-cita memainkan peranan penting dalam melahirkan penulis yang berjaya. Di sini, cita-cita merujuk kepada hasrat atau harapan setiap individu pada masa hadapan (futurulistik). Tanpa cita-cita, barangkali boleh dikatakan absurd untuk mengembangluaskan bakat dan minat sewajarnya.

Tanpa PEMBACAAN, minat dan bakat individu itu tidak mungkin dapat dikembangkan secara bersepadu. Oleh itu, penulis yang prolifik tidak akan hanya menekuni buku-buku, jurnal atau teks kesusasteraan dan bahasa sahaja.

Skop pembacaan mestilah luas meliputi semua aspek kehidupan seperti bab politik, ekonomi, sosial, sejarah, geografi, agama, perakaunan, sains dan kejuruteraan.


Salah satu cabang ilmu yang cukup penting dan perlu ditelaah bakal-bakal penulis atau penulis yang telah sedia bertapak ialah ilmu psikologi. Ini kerana, penulis dikatakan sebagai orang tengah untuk menyalurkan luahan masyarakat. Justeru, pendekatan psikologi sangat penting samada pendekatan behaviorisme, kognitif, humanis, psikoanalitik, dan neurobiologi.

Ini akan membantu penulis mendekatkan diri dengan masyarakat secara efektif dan menghasilkan karya yang berpijak di bumi nyata, tidaklah bersifat surelisme semata-mata.


Untuk memperkasakan lagi bidang penulisan, penulis juga perlu mendalami teori kritikan samada moden atau pascamodenisme mencakupi strukturalisme,dekontruksi,semiotik,teksdelisme,
fenomenalogi dan banyak lagi (sekadar menyebut beberapa teori).

Dengan ini, penulis sendiri akan tahu sedikit sebanyak kelemahan karya masing-masing walaupun tidaklah secara menyeluruh. Seorang sutradara teater yang juga penulis skrip drama pentas memberitahu, dia juga turut menekuni buku mewarna kanak-kanak semata-mata untuk menjiwai fragmen watak kanak-kanak di pentas.

Impaknya, ini akan membantu seseorang pengkarya itu menghasilkan karya yang baik, bermutu dan boleh dipertanggungjawabkan. Tidak hanya berkisar seputar isu yang remeh, sempit dan picisan sahaja.


Minat sudah ada. Bakat juga ada. Membaca pun rajin. Tetapi, langsung tidak menulis. Sebenarnya, jika situasi ini wujud, ianya seolah-olah sia-sia sahaja. Pengkarya yang baik sebenarnya perlu menulis setiap hari.

Akan tetapi, seseorang itu mestilah bijak membahagikan masa supaya tidak mengganggu dan mengabaikan proses perjalanan rutin harian.

Ini termasuklah komitmen kerja atau profesion sebenar masing-masing, tanggungjawab terhadap keluarga, bersosialisai dengan induk masyarakat dan tanggungjawab terhadap Pencipta. Pengkarya yang baik mestilah mempunyai jadual penulisan yang tersusun dan sistematik supaya tidak mengganggu hal yang lain.

Tetapi perlu diingat, isu TIADA MASA tidak boleh wujud dalam dunia seorang penulis.Dalam ujana penulisan kreatif tanahair, terdapat beberapa nama yang boleh dikatakan mempunyai bakat istimewa ini.

Antaranya ialah Latif Mohidin, Ghafar Ibrahim dan Siti Zainon Ismail (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka bukan sahaja berkecimpung dalam bidang penulisan malah juga sebagai pelukis yang disegani.

Di sini jelas bahawa mereka tidak mensia-siakan bakat alam yang dimiliki. Walaubagaimanpun, jika mereka hanya berbakat, tetapi tidak berminat, mustahil mereka boleh menulis dengan baik.

Kita juga memiliki beberapa nama yang terdiri daripada golongan intelek samada profesional atau separa profesional yang juga tekun menulis. Antaranya ialah Lee Keok Chih, Nisah Haron dan Aminah Mokhtar.

Lee Keok Chih sibuk dengan dunia kejuruteraanya, Nisah Haron dengan kerjaya guamannya manakala Aminah Mokhtar pula seputar pesakitnya. Walaubagaimanapun, kerana minat, langsung tidak menghalang mereka untuk turut sama terjun dalam dunia penulisan. Mereka juga dikatakan memiliki bakat yang istimewa.

Di sini, dapat kita katakan bahawa mereka telah menggabungjalinkan minat dan bakat dengan komprehensif sekali dan menterjemahkannya ke dalam penulisan.
Walaubaimanapun, setiap manusia dilahirkan berbeza bakat dan minatnya. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk mempergunakannya dengan efektif.

Block ( 1971), dalam satu kajian yang melibatkan 100 orang lelaki dan perempuan untuk satu tempoh yang agak lama (25 tahun) telah merumuskan bahawa ciri-ciri individu seperti kawalan emosi, MINAT, kesabaran dan kebolehpercayaan tidak banyak berubah.

Di sini. Dapatlah kita tafsirkan bahawa ia merujuk kepada aspek individu itu sendiri samada mahu atau tidak. Bakat dan minat penting untuk melahirkan karya agung. Itu perkara yang perlu dipegang.

Secara keseluruhannya, dapatlah dikonklusikan seperti berikut:

1. Tanpa minat, bakat yang dimiliki hanyalah sia-sia sahaja jika tidak
diperkembangkan dengan berkesan.
2. Walaupun tiada bakat, seseorang itu berpotensi menjadi penulis yang
berjaya asalkan mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh dan penuh
minat.
3. Minat dan bakat tidak mencukupi untuk memungkinkan seseorang itu
menjadi penulis yang berjaya. Beberapa elemen lagi yang perlu
digabungjalinkan ialah cita-cita, rajin membaca dan tekun menulis.


Baca Sepenuhnya >>