
Gurindam Tanpa Nokhtah
Selasa, 15 November 2011 0 suara
'Aidiladha
Sabtu, 12 November 2011 0 suara
'Iduladha Bertandang Lagi,
Kisah Dua Insan Pilihan Kembali Diingati,
Betapa Sebuah Pengorbanan Itu Disanggupi,
Sekalipun Jiwanya Yang Melayang Pergi,
Pengharapannya Hanya Redha Ilahi,
Hari Ini Kedatangannya Kita Raikan,
Kalimah Pengorbanan Meniti Disetiap Perkataan,
Sedarlah Kalimah Itu Perlukan Penafsiran,
Penafsiran Paling Dalam...Sejauh Pandangan,
Dalam Perjalanan Yang Kau Namakan Pengorbanan,
Pasti Kau Temukan Kesakitan Dan Kepayahan,
Tidak Sesaat Dalam Kerehatan,
Isilah Ruang Hati Dengan Semangat Tertinggi,
Pinjamlah Segenap Keteguhan Para Nabi,
Sehingga Rebah Terhenti Nadi,
Sejarah Ini Tidak Akan Dilupa,
Kerelaan Hati Seorang Anak Juga Pemuda,
Moga Suci Hatinya Dan Kita Bersua,
Acuan Pasrah Hati Kita Bentuk Sama,
Kerana Mengharap Redha Yang Maha Esa..
Nukilan : Syafikah Bt Abd Razak
Penulis KELAP PMRAM 2011
KAEDAH PENULISAN ILMIAH
Jumaat, 4 November 2011 0 suara
Penulisan ilmiah merujuk penulisan yang berlandaskan metodologi keilmuan atau metodologi saintifik. Metodologi saintifik ialah pendekatan mengungkapkan fakta dan bukti bagi menyokong kebenaran melalui bebarapa langkah seperti perumusan masalah, pembentukan hipotesis, deduksi hipotesis dan pengujian kebenaran.
Bahasa penulisan ilmiah, biasanya memilih kata, istilah, ungkapan dan ayat yang maknanya bersifat denotasi, iaitu tepat dan jelas supaya tidak disalahertikan dengan makna-makna lain. Dengan demikian karangan ilmiah harus bersifat objektif, jujur dan tepat.
Jenis-jenis Penulisan Ilmiah
Jenis-jenis penulisan ilmiah yang utama ialah esei ilmiah, kertas kerja, laporan kajian, tesis dan disertasi.
Esei ilmiah merujuk karangan ilmiah yang pendek tentang topik atau permasalahan berdasarkan data yang diperolehi melalui rujukan perpustakaan dan / atau kerja lapangan. Penghuraiannya bersifat rasional-empiris dan objektif.
Kertas kerja ialah penulisan ilmiah yang memaparkan sesuatu fakta atau permasalahan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan. Analisis dalam kertas kerja adalah lebih serius serta bersifat rasional-empiris dan objektif. Kertas kerja biasanya ditulis untuk diterbitkan dalam jurnal akademik atau dibentangkan dalam pertemuan ilmiah seperti seminar, bengikel dan sebagainya.
Laporan kajian atau penyelidikan ialah penulisan ilmiah yang menyampaikan maklumat atau fakta tentang sesuatu kepada pihak lain. Penghuraiannya juga bersandarkan kepada metodologi saintifik dan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan.
Tesis ialah penulisan ilmiah yang sifatnya lebih mendalam. Tesis mengungkapkan pengetahuan baru yang diperoleh daripada pengamatan atau penyelidikan sendiri. Penulisan ilmiah ini melibatkan pengujian hipotesis bagi membuktikan kebenaran. Tesis biasanya ditulis oleh pelajar peringkat Sarjana Muda Kepujian dan peringkat Sarjana serta perlu dipertahankan di hadapan panel viva-vocĂȘ.
Disertasi ialah penulisan ilmiah tahap tertinggi dalam hierarki pancapaian akademik, iaitu untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah (Ph.D). Disertasi melibatkan fakta berupa penemuan penulis sendiri berdasarkan metodologi saintifik dan analisis yang terperinci. Seperti tesis, disertasi juga perlu dibentangkan dan dipertahankan di hadapan panel atau lembaga viva-vocĂȘ.
Ciri-ciri Khusus Penulisan Ilmiah
Terdapat beberapa ciri khusus dalm penulisan ilmiah yang perlu diberi perhatian:
1. Catatan Pustaka
2. Catatan Kaki dan Catatan Kaki Singkat
3. Petikan Langsung dan Tak Langsung
4. Bibliografi / Rujukan / Daftar Pustaka
Catatan Pustaka
Dalam penulisan ilmiah, sumber maklumat yang digunakan atau dirujuk perlulah dinyatakan. Catatan tentang sumber maklumat seperti buku, majalah, jurnal atau surat khabar disebut catatan pustaka. Teknik catatatn pustaka yang lazimnya digunakan adalah seperti berikut:
Jika nama pengarang dimasukkan bersama teks, karangan yang diisi di dalamnya tahun penerbitan dan muka surat dan perlu ditempatkan selepas nama pengarang tersebut. Tanda titik bertindih (:), dimasukkan di antara angka tahun terbitan dengan angka muka surat. Contoh:
Menurut Mohd. Nor Daud (1997 : 63), ayat yang berkesan ialah satu bentuk ayat yang disokong oleh kepelbagaian dalam struktur ayat.
atau
Hassan Ahmad (2000), juga sependapat dengan....atau Mengikut pandangan Saville – Troike (1986 : 52-63), peristiwa komunikasi....
Jika dalam teks nama pengarang tidak disebut, catatan nama pengarang, tahun penerbitan dan muka surat dimasukkan di dalam kurungan dan diletakkan di hujung teks sebelum noktah. Tanda koma (,) diletakkan di antara nama pengarang dengan tahun terbit. Contoh:
Secara amnya peribahasa ialah percakapan atau ujaran yang mengandungi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan dan fikiran.
(Keris Mas, 1988 : 136)
Catatan Kaki
Catatan kaki ialah catatan-catatan kecil yang berfungsi memberikan keterangan tambahan terhadap teks yang ditulis. Catatan kaki ditempatkan pada bahagian bawah halaman dan dipisahkan daripada teks dengan garis panjang. Penomboran yang berurutan diberikan kepada setiap catatan kaki. Contoh:
.....kajian etimologi1 tidak dapat dipisahkan daripada kajian linguistik...
________________________________________________
1. Etimologi ialah kajian tentang kata serta perubahan bentuk dan makna.
Catatan Kaki Singkat
Catatan kaki singkat merupakan satu lagi kaedah menunjukkan sumber rujukan selain kaedah catatan pustaka.
ibid. (singkatan daripada ibidum, ertinya sama dengan yang di atas).Digunakan untuk catatan kaki yang sumbernya sama dengan catatan kaki yang telah disenaraikan di atasnya.
op.cit (singkatan daripada opere citati, ertinya dalam buku / karya yang telah dipetik), digunakan untuk catatan kaki daripada sumber yang telah dinyatakan, tetapi telah disisip catatan kaki lain daripada sumber lain.
loc.cit (singkatan daripada loco citati, ertinya tmpat yang telah dipetik) seperti op.cit, tetapi dipetik daripada perenggan yang lain.
PETUA PENULISAN KREATIF
0 suara
Nilai Sebuah Penulisan
Ahad, 30 Oktober 2011 0 suaraDiharap erti “penyambung nyawa” bagi ubat ini tidak boleh disalahertikan. Maksud saya, penulisan adalah salah satu elemen penyambung nyawa.. Dari sudut apakah ia boleh ditafsirkan?
Bagaimanakah anda boleh mengenal ulama’-ulama’ kita kalau bukan dengan penulisan. Mereka sudah meninggal dunia berates-ratus tahun, tetapi kita masih mengenalinya… Ini kerana, mereka telah meninggalkan penulisan mereka, sehinggakan orang yang membaca penulisan mereka seolah-olah merasai ulama tersebut berada di hadapannya.
Kita mengenal nabi-nabi terdahulu dan kisah-kisah mereka disebabkan penulisan. Penulisan al Quran mula digerakkan pada zaman Saidina Abu Bakar dan siap sempurna pada zaman Saidina Uthman. Alhamdulillah, melalui penulisan mereka, kita dapat mengenal nabi-nabi terdahulu.
Bagaimanakah kita mengenal Nabi Muhammad SAW? Juga melalui penulisan. Ibnu Ishaq, Ibnu Hisyam, Imam Thabari, Imam Ibnu Kathir dan sebagainya, adalah diantara sejarawan Islam yang menulis. Imam Thabari terkenal dengan Tarikh Tabari, Ibnu Athir terkenal dengan al Kamil Fit Tarikh. Penulisan mereka menjadi rujukan tentang kisah Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini.
Tidak ketinggalan, penulisan Hadis Nabi SAW juga banyak membantu kita mengenal Nabi kita. Imam Bukhari, Imam Muslim, Sunan Sittah, Imam Ahmad dan banyak lagi yang tidak tersebut di sini. Mereka menghimpunkan hadis-hadis Nabi, kemudian ditulis dan sehingga hari ini kita dapat membaca dan memahami hadis Nabi melalui usaha mereka dalam penulisan.
Imam Ahmad terkenal dengan Musnad, Imam Malik terkenal dengan al Muwatto’, Imam Bukhari dan Muslim sudah makruf untuk diceritakan di sini, dan berjuta lagi ulama yang mengarang dan menulis. Penting tak penulisan? Adakah kita perlu “minat” terlebih dahulu, baru ingin menulis? Tidak! Ia adalah satu keperluan. Walaupun tidak minat, anda perlu juga menulis.
Bagaimanakah kita dapat mengenal seseorang ulama kalau mereka tidak menulis? Dengan cara apa lagi? Fikirkan, dan mulakan penulisan anda dari sekarang.
Setiap manusia akan mati, maka, apakah lagi yang akan meninggalkan kesan tapak kaki kita di bumi kalau bukan dengan penulisan? Di sana, terdapat puluhan kitab yang menceritakan tentang ulama-ulama. Bagaimanakah kita dapat mengenal mereka kalau bukan dengan penulisan kitab tersebut.
Al Ishabah Fi Tamyiz as Sohabah karangan Ibnu Hajar al Asqolani, karangan Az Zirikli, Kitab Kitab al I’lamSiar A’lam an Nubala karangan Imam Zahabi, Kitab al Jarhu Wat Ta’dil karangan Ibnu Hajar al Asqolani, kitab Wafayatul A’yan karangan Ibnu Halkan, Kitab Hilliyatul Auliya dan sebagainya… Berjuta-juta yang terpamer di hadapan kita hari ini…
Mulakan penulisan anda hari ini! Bukan untuk dikenali, tetapi sebagai penyambung nyawa. Semua orang tahu, bahawa 3 perkara yang dapat menyambung amalan seseorang walaupun sudah mati. Iaitu, doa anak yang soleh, sedekah jariah ketika kita hidup, dan ilmu bermanfaat. Ingat, penulisan akan menjadi penyambung hidup anda..
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar