KAEDAH PENULISAN ILMIAH

Jumaat, 4 November 2011

Penulisan ilmiah merujuk penulisan yang berlandaskan metodologi keilmuan atau metodologi saintifik. Metodologi saintifik ialah pendekatan mengungkapkan fakta dan bukti bagi menyokong kebenaran melalui bebarapa langkah seperti perumusan masalah, pembentukan hipotesis, deduksi hipotesis dan pengujian kebenaran.

Bahasa penulisan ilmiah, biasanya memilih kata, istilah, ungkapan dan ayat yang maknanya bersifat denotasi, iaitu tepat dan jelas supaya tidak disalahertikan dengan makna-makna lain. Dengan demikian karangan ilmiah harus bersifat objektif, jujur dan tepat.

Jenis-jenis Penulisan Ilmiah

Jenis-jenis penulisan ilmiah yang utama ialah esei ilmiah, kertas kerja, laporan kajian, tesis dan disertasi.

Esei ilmiah merujuk karangan ilmiah yang pendek tentang topik atau permasalahan berdasarkan data yang diperolehi melalui rujukan perpustakaan dan / atau kerja lapangan. Penghuraiannya bersifat rasional-empiris dan objektif.

Kertas kerja ialah penulisan ilmiah yang memaparkan sesuatu fakta atau permasalahan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan. Analisis dalam kertas kerja adalah lebih serius serta bersifat rasional-empiris dan objektif. Kertas kerja biasanya ditulis untuk diterbitkan dalam jurnal akademik atau dibentangkan dalam pertemuan ilmiah seperti seminar, bengikel dan sebagainya.

Laporan kajian atau penyelidikan ialah penulisan ilmiah yang menyampaikan maklumat atau fakta tentang sesuatu kepada pihak lain. Penghuraiannya juga bersandarkan kepada metodologi saintifik dan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan.

Tesis ialah penulisan ilmiah yang sifatnya lebih mendalam. Tesis mengungkapkan pengetahuan baru yang diperoleh daripada pengamatan atau penyelidikan sendiri. Penulisan ilmiah ini melibatkan pengujian hipotesis bagi membuktikan kebenaran. Tesis biasanya ditulis oleh pelajar peringkat Sarjana Muda Kepujian dan peringkat Sarjana serta perlu dipertahankan di hadapan panel viva-vocĂȘ.

Disertasi ialah penulisan ilmiah tahap tertinggi dalam hierarki pancapaian akademik, iaitu untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah (Ph.D). Disertasi melibatkan fakta berupa penemuan penulis sendiri berdasarkan metodologi saintifik dan analisis yang terperinci. Seperti tesis, disertasi juga perlu dibentangkan dan dipertahankan di hadapan panel atau lembaga viva-vocĂȘ.

Ciri-ciri Khusus Penulisan Ilmiah

Terdapat beberapa ciri khusus dalm penulisan ilmiah yang perlu diberi perhatian:

1. Catatan Pustaka

2. Catatan Kaki dan Catatan Kaki Singkat

3. Petikan Langsung dan Tak Langsung

4. Bibliografi / Rujukan / Daftar Pustaka

Catatan Pustaka

Dalam penulisan ilmiah, sumber maklumat yang digunakan atau dirujuk perlulah dinyatakan. Catatan tentang sumber maklumat seperti buku, majalah, jurnal atau surat khabar disebut catatan pustaka. Teknik catatatn pustaka yang lazimnya digunakan adalah seperti berikut:

Jika nama pengarang dimasukkan bersama teks, karangan yang diisi di dalamnya tahun penerbitan dan muka surat dan perlu ditempatkan selepas nama pengarang tersebut. Tanda titik bertindih (:), dimasukkan di antara angka tahun terbitan dengan angka muka surat. Contoh:

Menurut Mohd. Nor Daud (1997 : 63), ayat yang berkesan ialah satu bentuk ayat yang disokong oleh kepelbagaian dalam struktur ayat.

atau

Hassan Ahmad (2000), juga sependapat dengan....atau Mengikut pandangan Saville – Troike (1986 : 52-63), peristiwa komunikasi....

Jika dalam teks nama pengarang tidak disebut, catatan nama pengarang, tahun penerbitan dan muka surat dimasukkan di dalam kurungan dan diletakkan di hujung teks sebelum noktah. Tanda koma (,) diletakkan di antara nama pengarang dengan tahun terbit. Contoh:

Secara amnya peribahasa ialah percakapan atau ujaran yang mengandungi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan dan fikiran.

(Keris Mas, 1988 : 136)

Catatan Kaki

Catatan kaki ialah catatan-catatan kecil yang berfungsi memberikan keterangan tambahan terhadap teks yang ditulis. Catatan kaki ditempatkan pada bahagian bawah halaman dan dipisahkan daripada teks dengan garis panjang. Penomboran yang berurutan diberikan kepada setiap catatan kaki. Contoh:

.....kajian etimologi1 tidak dapat dipisahkan daripada kajian linguistik...

________________________________________________

1. Etimologi ialah kajian tentang kata serta perubahan bentuk dan makna.

Catatan Kaki Singkat

Catatan kaki singkat merupakan satu lagi kaedah menunjukkan sumber rujukan selain kaedah catatan pustaka.

ibid. (singkatan daripada ibidum, ertinya sama dengan yang di atas).Digunakan untuk catatan kaki yang sumbernya sama dengan catatan kaki yang telah disenaraikan di atasnya.

op.cit (singkatan daripada opere citati, ertinya dalam buku / karya yang telah dipetik), digunakan untuk catatan kaki daripada sumber yang telah dinyatakan, tetapi telah disisip catatan kaki lain daripada sumber lain.

loc.cit (singkatan daripada loco citati, ertinya tmpat yang telah dipetik) seperti op.cit, tetapi dipetik daripada perenggan yang lain.

♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: