Hasil karyaPeserta Sayembara (Johan)

Rabu, 16 September 2009 0 suara
Kesinambungan karya,

Hakcipta karya adalah milik KELAP dengan kebenaran penulis. Dilarang mengambil apa jua isi tanpa kebenaran.




Cerpen

Bukan Cleopatra

Engkau merenung jauh Selat Mediterranean yang merentasi Pantai Ageeba. Angin musim panas bertiup deras, menampar-nampar pipi bersihmu, yang bebas jerawat. Matamu menahan silau matahari pagi, yang mula memunculkan diri, seperti hari-hari sebelumnya. Katanya, aku mahu berzikir hari ini, seperti biasa, engkau pula? Lantas bibirmu kumat-kamit menutur tasbih, atas nikmat Tuhan, atas peluang untuk engkau nikmati saat ini. Pantai Ageeba yang terbentang di hadapanmu, digelar pantai ajaib, kerana keindahannya, juga kerana nun di tengah laut, terpancar tujuh warna pelangi

Ah, memang ajaib! Bisik engkau. Dari persisiran pantai, engkau berjalan perlahan-lahan, sambil memakai topi ala Hawaii lapan pound Mesir. Cermin mata hitam kau pakai, melindungi retina matamu dari silau mentari yang menggigit macam pijat. Sungguh, awal musim panas ini begitu mendamaikan. Fikiranmu asyik dengan keindahan pantai Ageeba, alangkah, jika dia turut bersamamu, berkongsi keindahan ini, menyaksikan anak-anak muda Matruh bermain air dan mandi- manda, sambil bergendang menyanyikan lagu qasidah Arab, fikirmu.
Matruh menyimpan sekotak memori yang bersarang lama dalam fikiranmu.. Pantai Ageeba ini adalah saksi, ya, saksi cinta engkau, yang cintakan keindahan, sejarah dan kedamaian. Engkau melamun jauh, jauh dan jauh lagi. Terpesona dengan keindahan Pantai Ageeba, kononnya, katamu pada temanmu, pantai ini indah nian. Bagai tersihir di situ, fikiranmu terus menerawang, terbang tinggi-tinggi.


Sampailah datang si Reza menepuk bahu engkau, "Ah, kau melamun lagi, sudah, lepas ini, kita mahu ke Hamam Cleopatra. Sudah dua jam kita di sini," bisiknya ke telingamu. Satu-satunya adikmu di bumi kinanah ini setia menemanimu menikmati Matruh yang indah nian. Engkau hanya diam membungkam, tak berganjak dari situ. Kakimu seolah terikat pada putih pasir dan biru laut Ageeba. Ah! Memang berat untuk kau tinggalkan pantai bersejarah itu!

"Ombak itu adalah aku, dan pasir putih di persisiran pantai itulah tanahairku. Tak mungkin berpisah. Sudah menjadi fitrah laut dan pepasir, ombak kan menghempas keras pepasir, betapa keras dan jauhnya perjalanannya merentasi lautan, barulah sampai ke destinasinya, pesisir pantai," itu kata Laila, teman jauhmu dari Palestin itu, lewat warkahnya, tatkala itu, engkau sedang berjuang tungkus lumus mennghabiskan tahun akhir dalam jurusan Perubatan di Universiti Ainshams.

Laila yang kau kenal itu berkerudung labuh, menutupi seluruh tubuhnya, kecuali anak matanya, wajah jelitanya terlindung di balik purdah Arab, dan dia lebih senang mengenakan pakain serba hitam, seperti kebanyakan wanita Arab yang kau lihat di Mesir, tempat kau menadah ilmu kini.

Saat kau kenal Laila, sejak menyertai misi kemanusiaan di Kem Khan Younis, tempat tinggal gadis Palestin berusia dua puluh tahun, dua tahun lebih muda dari kau, Laila merupakan penghuni rumah anak-anak yatim di sana, bersama adik lelakinya yang istimewa.. Empat hari berkampung di sana, kau memperolehi seorang teman sebaik Laila, yang menanti adiknya yang sedang koma, dan fikir engkau, dia hanya menunggu saat Tuhan mengambil nyawa adiknya, kerana itu adalah doanya saban hari, agar dia bisa bebas, dan juga bisa menyambung pelajarannya yang tertangguh di Mesir.

Kau salah faham pada mulanya, Laila tidak pernah memohon agar Tuhan mengambil nyawa adik lelakinya, namun dia memohon agar Tuhan memberinya kehidupan yang terbaik buat mereka berdua, dan takdir mengatasi segala-galanya. Benar sahaja bumi Al-Quds itu bumi barakah, doanya dimakbulkan, dan Laila meneruskan hidupnya dengan menyambung pengajian dalam bidang perubatan, seperti kau. Malah sekuliah denganmu.

Sewaktu awal-awal pengajiannya di Universiti, kau dan Laila sama-sama menjadi ahli persatuan sejarah dan peradaban Mesir, dari situ, persahabatan antara kau dan dia mula bertunas. Laila yang punya mata bening seorang pejuang, seperti bapanya, Mujahid. Laila Mujahid. Terlalu indah nama itu. Dan kau bukan sahaja kagum dengan namanya, malah dengan riak wajahnya, setiap perlakuannya kau teladani. Sehingga waktu tidurnya pun kau kagumi.

Katanya, "Mimpi tidak akan menjadi kenyataan jika asyik tidur!"

Sedangkan kau, asal lepas Subuh, bergegas ke katil melayan mimpi-mimpi kosongmu. Ah! Nafsumu sudah terdidik begitu, bukan? Sedangkan Laila gigih beribadah mendidik rohaninya di sela-sela malam dan mengulangkaji teks-teks perubatan yang katamu memeningkan kepala, dan menyerabutkan fikiran. Huh, sebenarnya apa niatmu ingin menjadi doktor?

Engkau berjalan perlahan-lahan menelusuri pantai Ageeba, kini, Hamam Cleopatra tersergam indah di hadapanmu. Musim panas Mesir adalah syurga, musim panas di Pantai Ageeba adalah mimpi indah, berbeza dengan panas pantai di Malaysia yang bagimu biasa-biasa sahaja. Biarpun Hamam Cleopatra hanyalah tempat mandi Ratu Mesir terkenal itu, rasa kagum dan takjub dengan kebijaksaaan Ratu Cleopatra tertanam awal dalam nubarimu. Cleopatra yang disebut-sebut kerana kejelitaan, pengaruh dan kuasanya, juga kerana kehebatannya memiliki sebahagian besar empayar dunia.
Kau membisu tatkala Laila dengan fasih dan lancarnya menghuraikan sejarah Cleopatra kepadamu, katanya, ratu itu bisa bicara sembilan bahasa, pernah dicintai dua Panglima Rom Julius Caesar dan Mark Antonio, bahkan Mark Antonio membunuh diri kerana cintanya pada sang Ratu. Engkau semakin aneh melihat si Laila mengumpulkan fakta mengenai Ratu Cleopatra dengan penuh semangat, padahal bagimu, Ratu Mesir berketurunan Yunani itu bukanlah contoh yang baik untuk gadis sewarak Laila. Namun, engkau tidak pernah menolak untuk membantu Laila mencari dan menggali maklumat tentang legenda terkenal Mesr itu. Hatimu sering tertanya-tanya mengapa Cleopatra menjadi pilihan Laila, sedangkan ramai lagi serikandi Islam yang lebih layak dikagumi Gadis al-Quds itu. Aneh, memang aneh! Kau terus mendengar ceritanya tentang Cleopatra, dengan sabar, walau hatimu kadang-kadang memberontak, bosan dan hairan tertanya-tanya.

Satu perkara yang bisa membuatkan kau terpegun tentang Laila, dia bisa berbahasa Arab, Hebrew, Jerman dan Perancis dengan fasihnya. Bahasa Inggeris pelat Arabnya juga tidak kurang hebat. Walaupun kau sering ketawa mendengar dia berbahasa Inggeris dengan pelat lidah padang pasir itu, dia tidak sekalipun pernah merasa rendah diri atau berkecil hati, malah dia menjadikan ketawa engkau itu seperti ubat untuk penyakit pelatnya, sehinggalah selepas dua bulan engkau tertawa dengan pelatnya itu, dia terpilih untuk mewakli Fakulti Perubatan untuk debat Bahasa Inggeris! Waktu itu, pelat Inggerisnya bukan lagi membuatkan engkau tertawa, malah, engkau merasa seperti diketawakan. Tersindir dan malu dengan pencapaian Laila Mujahid itu. Engkau lalu terkedu.

Setiap perkataan Laila sering bebaur puji padamu. Harum memekar segenap ucap dari bibirnya. Kau punya tanahair, katanya. Kau punya keluarga, dan kelak usai tamat pengajian, kau juga bakal punya pekerjaan. Malah tutur bicaranya sering membuatkan kotak fiirmu keliru, berteka-teki, apakah dia ikhlas memuji atau hanya meluahkan rasa cemburunya dengan kesenanganmu? Hawa nafsumu tegar memulakan kerja, mencari yang buruk-buruk tentang Laila.

Ah, usah bersangka-sangka, bisik akal warasmu. Bersangka-sangka itu kan dari syaitan! Astaghfirullah! Hatimu menjerit istighfar. Salah apa Laila sama engkau? Biarkan sahaja dia mahu memuji tanahairmu yang aman dan tenteram, merdeka daripada dijarah musuh durjana, fizikalnya, namun rohaninya, dijajah sedikit demi sedikit. Huh, Laila tidak tahu itu. Sesiapa yang bukan rakyat Malaysia tidak tahu! Dan dia tidak perlu tahu.




Saat itu, bayu dari laut Ageeba berpuput lembut, menyanyikan senandung ukhuwwah engkau berdua. Sambil duduk di atas batu-batu hitam di persisiran pantai, merendam kakimu dalam dingin air laut masin Mediterranean, membiarkan ombak memukul-mukul lembut kaki dan betismu. Katanya, hanya enam tahun lagi dia bakal pulang Dan engkau berpaling hairan padanya, sebelum kau sempat bertanya apa-apa, dia sudah memulakan lagi bercerita tentang impiannya, tentang Cleopatra, sekali lagi! Ratu purba itu, katanya, punya susur galur penakluk di Mesir.

"Hanya enam tahun lagi aku bakal menamatkan pengajian ini, bergelar doktor, dan aku akan pulang berkhidmat sebagai sukarelawan di negaraku, tanpa gaji. Walau demikian, aku puas kerana dapat menyumbang untuk negaraku, untuk sebuah tanahair, kawan!" ucapnya penuh semangat, dan engkau tahu, Laila bukan seorang yang mudah patah semangatnya.

Melihat cara dia belajar sahaja membuatkan engkau pegun, hairan dan takjub. Mengapa setekun itu dia belajar? Pagi, ke kuliah, petang kuliah lagi, malam, mngulangkaji hingga lewat pagi, dan begitulah sehari-hari sehingga semester terakhir engkau.

"Kalaulah aku punya kuasa seperti Cleopatra, dan zaman ini masih wujud empayar Rom, pasti aku akan meminta Julius Caesar membantuku membebaskan Palestin, tanahairku."


Ketika Laila berbicara sedmikian, engkau lalu, tertawa kecil, tiba-tiba wajahnya berubah. Rajuknya membuat engkau bimbang. Hampir menangis engkau memujuknya, memohon maaf dari temanmu yang seorang itu. Pelbagai cara kau lakukan, termasuklah menyanyikan lagu nasyid kegemarannya, akhirnya, dia menerima maafmu. Ah, maaf bersyarat, kau mesti mendengar cerita Cleopatra lagi!
Ketika Cleopatra ingin bertemu Julius Caesar untuk meminta bantuannya merebut takhta, baginda menyeludup dengan bersembunyi dalam gulungan permaidani, kebijaksanaannya itu membawa hasil apabila akhirnya Caesar bersetuju, dan Mesir diperintah Cleopatra dengan adil. Kata Laila lagi, pernah suatu masa, sungai Nil berhenti mengalir, dan tidak melimpah, menyebabkan Kota Iskandariah kering, rakyat kebuluran, Cleopatra yang sedang sarat mengandung ketika itu turun padang, lalu membuka gudang makanan simpanan untuk diagihkan kepada rakyat, begitu sekali lagi kau terpesona, dengan kisah Cleopatra yang dilipurlarakan Laila sejak enam tahun lalu.

Pandanganmu melirik jauh, jauh ke tengah laut, sesekali, angin bertiup kencang, topi ala hawaii mu seolah mahu terbang bersama deras angin Mediterranean itu, tangan kananmu memegang erat topi comel itu, mengelakkan ia terbang bersama angin itu. Persis engkau menyimpul erat kenangan bersama Laila di Matruh, bersaksikan Pantai Ageeba. Kenangan yang membawa engkau menelusuri mimpi dan angan-angan Laila tentang Cleopatranya, kenangan yang membawa engkau menjejak peribadi Laila yang tulus, juga kenangan yang membawa engkau lebih mengerti tentang apa itu makna kehidupan yang sebenar. Dan, paling bererti, tentang mengapa engkau mahu menjadi doktor.

"Bukan wang yang menjadi impianku, tapi kebebasan, hak kemanusiaan dan kasih sayang. Untuk apa aku belajar hanya kerana bermimpikan hidup mewah, namun rakyat di negaraku menderita? Kita berbeza, mungkin sahaja engkau pulang nanti, menjalani kehidupan sebagai doktor dengan payah, namun, kau masih diberi gaji, bukan? Negaramu masih aman, bukan?"

Begitu kata Laila ketika engkau dan dia sama-sama berkongsi cerita mengapa memilih untuk menjadi doktor, bukan pekerjaan lain. Pada engkau, kerjaya doktor menjamin masa hadapan, bergaji besar, walau edikit payah, pun, engkau masih mengeluh akan kesukaran meladeni pengajian. Engkau ditanggung kerajaan, mendapat biasiswa dan wang bukan persoalan dan masalah. Namun Laila terpaksa menggunakan seluruh wang simpanan keluarganya, dan mendapat sedikit bantuan yang sedikit-sebanyak, mengurangkan bebannya.

Fikiranmu terbayang wajah jelita Laila, hidungnya yang mancung nan indah. Matanya yang bercahaya tambah bercahaya dihiasi bulu mata yang melentik bisa memukau sesiapa sahaja yang memandangnya. Redup matanya seolah-olah menceritakan sesuatu, sesuatu yang sukar diungkap sesiapapun, sesuatu yang, menjadi rahsia hatinya. Kata-katanya sering berisi, lidahnya tidak jemu menutur nasihat buat engkau, dan telingamu sering sahaja menjadi tempat dia meluahkan segala-galanya, isi hati, kisah kecilnya, impiannya, bahkan paling melekat, kisah Cleopatra.
Sejak engkau dan Laila sama-sama melawat Hamam Cleopatra, anjuran persatuan sejarah dan peradaban Mesir universiti, engkau semakin berminat mencari dan meminati kisah lagenda Cleopatra. Entah mengapa ada seru yang membisikkan istimewanya Ratu purba itu. Huh, ini semua sebab Laila, jika bukan Laila yang meminati kisah kuno itu, engkau tentu sahaja tidak mengenali Ratu jelita itu. Pernah suatu ketika, engkau terbaca diari Laila secara tidak sengaja, ketika Laila sedang asyik mencatat jurnal hidupnya.

"Cleopatra hanyalah lagenda. Meski ia pernah termaktub dalam sejarah dunia bahawa ia berkuasa memerintah Mesir sedaya-upayanya, dengan saksamanya, melindungi Mesir dengan seluruh kudratnya, ia tak mungkin hidup kembali, membantuku melindungi tanahairku, Palestin. Namun, aku akan mengabadikan kisahnya dalam memoriku, sebagai api untuk membakar semangatku, memugar yakin bahawa ia pasti bebas suatu hari nanti. Pasti."

Engkau menatap tugu Cleopatra di hadapanmu. Tugu putih itu seperti tersenyum padamu, sungguh Cleopatra membuat engkau terkenang seorang Laila, walaupun dia sudah pergi meninggalkanmu. Saat-saat akhir engkau bersama Laila dia sempat menitip pesan buatmu, teruskan misi membantu negaranya Palestin, kita tidak mampu menjadi penakluk seperti Cleopatra, kerana itu di luar batas kemampuan, namun, kita bisa mengambil semangatnya, azam dan jangan lupa, dia seorang wanita. Dan kau berkali-kali diingatkan Laila, kamu berdua bukan Cleopatra! Bukan Cleopatra, engkau mengangguk-angguk di hadapan tugu itu.

Engkau berbisik perlahan "Laila, aku setuju, kita adalah pejuang, kau, dan aku, ya, misi kita adalah kebenaran, dan setiap titik peluh kita ada ganjarannya dari Tuhan.
Perlahan-lahan, engkau meninggalkan Pantai Ageeba. Qasidah Arab dendangan anak-anak muda Matruh terus kedengaran. Reza dari jauh melambai-lambai mengajak pulang. Dan engkau meninggalkan bekas-bekas kenangan bersama Laila di Hamam Cleopatra.



Puisi

Bahasa Pena


Dunia merenung tinggi,
pada baris tulisan,
meski pada noktahnya,
ada bilah berdarah.

Ketika catatan usang dibuka,
ada lembar memuntah makna.
Ketika helaian diselak,
tersembur cahaya.

Maka musafir tersilau,
dalam meredah bahasa.
Kalimat dan huruf,
rangkap dan ayat,
jadi satu.

Lalu hamba bersujud,
pada erti hikmah.
Sekilas suluhan,
membasuh noda wasangka.

Wacana terus cereka,
segala khazanahnya.
Gali dan bongkar,
hingga terurai,
erti menilai,
manuskrip lama.

Baca Sepenuhnya >>

Hasil karyaPeserta Sayembara (4)

0 suara
Kesinambungan karya,

Hakcipta karya adalah milik KELAP dengan kebenaran penulis. Dilarang mengambil apa jua isi tanpa kebenaran.



PUISI

Usia Muda

Tika usia muda
Hati bergolak kerana amarah
Nafsu membantah kerana serakah
Jiwa gelisah kerana gundah
Akal merosak kerana padah.

Kita pada usia muda
Melawan bila pantang dicabar
Menghunus senjata tidak gentar
Berjiwa besar enggan berketar
Langkah mayatku cabaran bergetar.

Untung berusia muda
Ilmu dihadapan hanya dicari
Impian melangit harapan berperi
Korban segalanya ingatan berbudi
Dada mengisi sejauh berlari.

Indah berusia muda
Kuat ketika membajak pengetahuan
Akal dan nafsu taruhkan pertembungan
Segulung ijazah ingin digenggaman
Cuba mendaki terus kesampaian.



Atas Nama Bonda

Sekuntum Mawar putih mengharum kutitipkan buatmu
Tanda kasihku padamu semerbak menjalar
Sesuci rahimmu yang indah bak taman inderaloka
Tempat ku berteduh nyenyak beradu
Menumpang bertandang beberapa purnama
Menunggu saat melihat dunia
Hati bonda dirundung gelisah tak keruan
Membujur lalu melintang patah tika melahirkan
Apakah sempurna atau takdir bertingkah…
Atas Nama Bonda
Tangis si kecil memecah hening buana
Pengorbanan ini berbalas walau bersabung badan dan nyawa
Sakit ini terubat…melihat aku di depan mata
Atas Nama Bonda
Mengasuhku tanpa lelah seribu
Biar bergadang jiwa dan raga
Biar bergadai maruah umpama
Di Matamu akulah penawar akulah tuba
Walau kau berendam air mata
Walau tidurmu berteman sengsara
Namun aku tetap utama
Walau berulam sedih dan duka
Atas Nama Bonda
Detik ini jasamu akan ku balas
Jerit perihmu yang tak mampu ku hitung dengan emas permata
Takkan kubiar dahi bonda kerut seribu menanggung pilu
Bergolok bergadai kerana aku
Kan kupahat namamu di sudut benakku
Kau satu di hatiku dulu dan selamanya waktu
Tiada pilihan lain dapat mengganti dirimu
Atas Nama Bonda
Kupertaruhkan segalanya…


Baca Sepenuhnya >>

Hasil karyaPeserta Sayembara (3)

0 suara
Kesinambungan karya,

Hakcipta karya adalah milik KELAP dengan kebenaran penulis. Dilarang mengambil apa jua isi tanpa kebenaran.




Cerpen

Muhasabah Dari Gaza.


“Kau mesti faham, Amira. Ini tentang hidup, tentang Tuhan, tentang perjuangan!”
Amira sudah mengagak Mahmud akan memulakannya lagi. Tangan Amira menguis-nguis beg galas yang diribanya, sekilas dia merenung Mahmud. Tajam. Sengaja Mahmud berpaling ke arahnya yang duduk di kerusi bahagian belakang van itu. Diam. ‘Kau memang sengaja Mahmud, suka mencabarku’. Bisiknya. Geram. Dia mecebik bibir merahnya yang kering akibat cuaca sejuk.

“Ah, perjuangan apa yang kau maksudkan? Tentang manusia yang pura-pura alim dan menunjuk-nunjuk mereka tahu segala-galanya begitu? Atau percaya dan yakin Tuhan itu Maha Pengasih, dan mereka menghukumi manusia sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain?” akhirnya Amira bersuara, sambil matanya merenung ke arah luar van berdebu itu. Memang dia pantang ditegur, apatah lagi berulang kali. Angin bertiup lembut dari barat, dingin mencengkam kulit, meresap menggigit-gigit tulang. Sedingin bicara Amira.

Sambil membetul-betulkan lipatan tudung hitamnya, dia memerhatikan Mahmud, seolah-olah hakim yang menanti hujah seterusnya daripada peguam. Kelihatannya Mahmud seperti mengeluh sendirian, berfikir sesuatu. Masakan Mahmud tidak boleh membaca fikirannya. Sebelum ini pun Mahmud sering berbicara tentang betapa keras hatinya. Sekeras piramid. Beribu tahun pun masih utuh dan teguh.
Amira mencongak-congak sendiri, sebelum ke Mesir, dia tidak bertudung, malah dia selesa dengan jeans ketat dan baju pendek. Terbayang di ingatannya, bagaimana Mahmud menyelamatkan dirinya dari gangguan lelaki-lelaki Arab yang bertubuh sasa di Bazaar Hussin, tempoh hari. Masa itu pun dia masih menuding jari kepada lelaki-lelaki tersebut tersebut, tanpa melihat dirinya yang berpakaian kurang sopan dan menjolok mata. Beberapa kali dinasihati Mahmud, barulah dia mengubah dirinya dengan imej lebih sopan dan bertudung.

“Apa lagi? Mengapa kau masih berdegil? Adakah kau tidak bosan berceramah padaku? Atau, kau sukakan aku?” gurau Amira, sinis, kening lentiknya diangkat sambil tersenyum nakal.

“Salahkah?" senyuman Mahmud lebih membuatkan Amira tertanya-tanya.Huh, dia terkena lagi.

`Mahmud, mungkin kau benar-benar ikhlas untuk mengubahku sebelum aku pulang ke Malaysia kelak. Kau memang penyabar, tak pernah serik menasihati dan menegur aku. Kau pernah berkata semalam, ini bumi berkat, Palestin bumi para nabi. Aku percaya kau masih mahu aku menyaksikan dan merasakan kelainan berada di bumi Palestin ini. Kau memang suka membuat aku tertanya-tanya. Ah, tunggu dan lihat saja,' bisik hatinya dibelenggu resah.

Kamera yang digalasnya dibetul-betulkan. Jam tangannya menunjukkan sudah pukul tiga petang. Sejam lagi mereka akan sampai di Markas PBB dan melaporkan diri untuk membuat liputan di Gaza. Mahmud bercerita, Gazalah kampungnya, di sinilah bapanya mati syahid, abangnya tercedera setelah cuba membuat serangan berani mati, tetapi gagal, malah kini abangnya lumpuh separuh badan, kedua-dua kakinya telah tiada. Kerana itu mereka sekeluarga berpindah ke Mesir. Kini, dia pulang ; sebagai wartawan perang. Impiannya, mahu dunia sedar dari lena tentang penderitaan Gaza. Inilah perjuangannya.

Amira memandang jauh ke luar tingkap. Gaza menyambutnya dengan muram, mengiringi hatinya yang resah. Sejak tiba di sempadan Rafah, pelbagai persoalan bermain di mindanya; nasib anak-anak Palestin di Gaza. Baru semalam dia melihat di tepi jalan, kanak-kanak Palestin, keadaan mereka yang kurus kering dan berkejaran melihat van mereka dan meminta-minta supaya berhenti. Begitu van diberhentikan, mereka mengadu; sudah seminggu mereka hanya mengalas perut dengan memakan rumput di tepi jalan.

Amira sangat terharu dan simpati melihat keadaan mereka. Dia mengambil beg berisi makanan, diagihkan roti dan air kepada kanak-kanak itu. Sambil melayan mereka, dia mengkhabarkan kepada anak-anak malang itu bahawa trak bekalan makanan dalam perjalanan daripada Kaherah. Mereka hanya senyum hambar, Amira sedikit simpati, namun tetap membalas senyuman mereka. Setelah bergambar kenangan, dia mencium kanak-kanak tersebut, ada enam orang semuanya, empat lelaki dan dua perempuan. Semuanya comel-comel, tapi selekeh, kotor dan berbau. Barangkali sudah berminggu-minggu tidak mandi, fikirnya.

Ada debar singgah di hatinya, dan debar itu seolah-olah seruan dari Gaza, Gaza yang segersang hatinya itu memanggil-manggil Amira. Sementara itu, Mahmud pula tak henti-henti mengingatkannya untuk solat. Padahal terang-terang sudah dikhabarkan yang dia tidak tahu solat.

Ah, pedulikanlah! Berombak-ombak dadanya oleh gelojak perasaan yang tak menentu. Ditambah dengan kerunsingannya, memikirkan hari-hari yang bakal ditempuh di sini. Dari jauh, dia melihat saja Mahmud yang sedang solat jamak secara berjemaah di tepi jalan, beralaskan kain yang dibawa jururawat yang bersama mereka.

Amira hanya melihat dari jauh. Diambilnya buku catatan, mencatat sesuatu. Buat-buat sibuk, buat-buat tidak nampak pada Mahmud yang baru habis solat berdiri di hadapannya. Tadi dia diajak Mahmud bersama-sama mereka, untuk solat bersama, walaupun tanpa bacaan, untuk memulakan perubahan dirinya. ‘Aku memang begini Mahmud, lantaklah apa pandangan kau. Apa pun fikiran kau. Mungkin bagimu aku ini bodoh sombong. Ah, bodoh sombong pun bodoh sombonglah’.
*****
Van putih kelabu itu beransur dan memasuki kawasan pintu pagar biru yang tertulis United Nations yang merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB. Mahmud tersenyum dan berpaling ke arah Amira. Amira mengerti perasaan Mahmud, mujur saja dia tidak berkata apa-apa, hanya membalas senyuman pemuda berkulit putih merah dan berkumis nipis itu. Mahmud kegirangan, sedangkan resah menggigit, tak lekang dari sukma Amira.

Ah! Barangkali betullah bau tanah di Gaza punya identiti tersendiri. Tanah syahidnya para syuhada’, ini tanah juang, bak kata Mahmud. Amira berfikir sendiri, seolah-olah deria hidunya dapat merasakan bau harum darah para pahlawan yang pernah syahid di sini.

Sejurus kemudian, kakinya melangkah turun, menjejak kawasan Markas PBB yang dimaksudkan, kedudukan bangunan di sana rapat-rapat. Bangunan-bangunannya agak usang, dindingnya seperti sudah lama tidak bercat dan terkopak di sana sini.

Kelihatan beberapa tentera PBB sedang berkawal di luar pintu masuk. Mahmud meminta Amira mencatatkan maklumat ketibaan mereka, manakala dia mula mengetik-ngetik kameranya, mengambil beberapa gambar di sekitar kawasan itu. Mahmud yang bertopi dan berkemeja hitam Kemudiannya, mereka menuju ke arah pintu masuk pejabat, Amira masuk dahulu dan Mahmud membuntuti dari belakang, asyik dengan kameranya. Sekali-sekala, dia bersiul-siul keriangan, mungkin teruja dengan tugas yang menantinya. Kedengaran beberapa pesawat berterbangan di langit Gaza, berlegar-legar seperti helang mencari mangsanya.

Mungkin tentera PBB sedang mengawasi keadaan, sebagai persediaan untuk pertahanan udara, fikir Amira lagi. Berdesing telinganya mendengar bunyi pesawat-pesawat tersebut. Dia lalu mendongak sedikit keluar, menghalakan pandangan ke arah pesawat sederhana kecil itu terbang sederhana rendah dari paras laut.

Dilihatnya Mahmud kini menghalakan kameranya pula untuk mendapatkan gambar pesawat tersebut, ada tiga semuanya. Amira berhenti seketika, menunggu Mahmud yang keluar semula untuk mengambil gambar, pandangannya tertancap pada salah sebuah pesawat yang kedudukannya betul-betul di atas kepala Mahmud, terbang tidak berapa jauh dari mereka. Tepat sekali, Amira mula rasa tidak sedap hati. Matanya memerhatikan sahaja pergerakan Mahmud yang terus memfokuskan kameranya ke arah imej pesawat tersebut. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi siren amaran bahaya dan pengumuman menyelamatkan diri. Mahmud semakin leka dan teruja dengan pesawat itu. Diketik kameranya beberapa kali, mendapatkan latar yang sesuai. Amira pula semakin resah dan cemas. Ini bukan pesawat biasa, mungkin. pesawat musuh, bisik hatinya.

“Mahmuuud! Masuk! Cepat Mahmuuuud!” Amira menjerit sekali.
“Itu pesawat musuh!” jerit Amira lagi. Kali ini jeritannya bernada menengking. Dia ingin berlari ke arah Mahmud, tetapi kakinya terasa seperti terbelenggu. Namun, Mahmud tidak berpaling ke arahnya. Menjawab panggilannya apatah lagi. Pesawat tersebut melayah rendah, lebih rendah dan satu das tembakan tepat menembusi kepala Mahmud. Darah menitik dan Mahmud jatuh longlai, kamera di tangannya terlepas. Tubuh Mahmud terbujur kaku dengan darah di kepalanya yang membuak-buak. Amira terpaku. Kelu.
Tiba-tiba Amira terdengar letupan dari atas bumbung bangunan yang diteduhinya. Kakinya ingin melangkah keluar, namun terasa berat dan seolah-olah terbelenggu. Serpihan demi serpihan batu jatuh sedikit demi sedikit, menimpa tubuh kecil Amira. Dia jatuh tertiarap dan akhirnya bangunan tersebut runtuh berkecai, dan gadis itu terperangkap di situ, di celah-celah runtuhan, dan Gaza menjadi saksi.

Gelap. Kepalanya terasa pening, berdenyut-denyut. Tangan kanannya menyentuh kepala, ada cecair likat mengalir. Bau hanyir menusuk hidung. Matanya pula tidak nampak apa-apa. Tubuhnya dingin amat. Perutnya berkeroncong, lapar. Waktu malam barangkali. Kaki kanannya ditindih serpihan runtuhan markas itu. Di bahagian paha. Sakit sekali. Dia cuba bergerak perlahan-lahan. Ke kanan, gagal. Ke kiri, juga gagal. Badannya dalam keadaan tertiarap. Akhirnya, hanya letih dan penat dia dapat. Akhirnya dia tertidur keletihan.

Matahari dengan berani memancar dalam-dalam, menembusi runtuhan bangunan tempat Amira terbaring. Sampai berpinar-pinar matanya menahan silau. Dia teringat Mahmud. Air matanya mengguyur perlahan. Sesal membungkusi hatinya, sesal kerana membiarkan Mahmud bersendiri mengambil gambar. Sesal kerana tidak dapat menyelamatkan Mahmud.

Apakah aku akan mati juga seperti Mahmud? Ah! Tidak! Aku mesti selamatkan diri! Terlintas di fikirannya pula. Sekejap-sekejap dia menangis teresak-esak, sekejap-sekejap dia bercakap seorang diri. Emosinya berkecamuk! Namun dia cuba juga sedaya upaya, mencari kekuatan, meyakinkan dirinya sendiri, bahawa dia akan selamat.

Amira mengangkat kepalanya perlahan-lahan, tangannya menyapu mukanya yang dibedak debu. Dia menjerit, “Tolong! Tolong!,” namun, tiada jawapan. Tadi, Amira seperti mendengar ada suara-suara manusia. Pasukan penyelamat barangkali. Dia cuba menolak batu-batu yang menghalang pandangannya. Gagal. Letupan yang agak kuat semalam menyebabkan Amira agak terperosok ke bawah tanah, namun dia masih bertuah kerana mendapat cahaya matahari. Dia cuba mengengsot sedikit-sedikit, badannya teralih sedikit, dalam keadaan mengiring, namun, kakinya masih tertindih batu. Dia menahan sakit. Sekali lagi dia menjerit, cuba mendapatkan perhatian. Hampir serak suaranya memekik meminta tolong, namun masih tidak berjawab. Dia kecewa.

“Mahmud? Aku kira kau sudah mati. Ke sini Mahmud. Selamatkan aku. Lekas. Aku takut mati.” Amira memanggil-manggil Mahmud yang berjalan ke arahnya. Pandangannya agak kabur. Dia cuba memanggil lebih jelas. Mahmud menghampirinya, dengan senyum.

“Kau mahu selamat, Amira? Tuhan pasti akan menolongmu, sudah berkali-kali aku katakan padamu. Tuhan sudah menyatakan sesiapa yang menyembahnya akan mendapat bantuan darinya. Tapi, layakkah kau? Aku akan pergi pada bapaku. Lihat, dia sudah melambai-lambai padaku. Ingat pesanku, Amira, ingat Tuhan, pasti Tuhan akan membantumu. Panggil saja namanya, pasti. Dia Maha Penyayang. Dia akan menjawab panggilanmu.” Mahmud pergi jauh meninggalkannya.

Amira terbangun dari lenanya yang resah. Dilihat dirinya, tudung entah ke mana, rambut kusut masai.tubuhnya calar balar. Dirasakan seolah-olah dirinya seperti mayat hidup. Rasa lapar dan kantuknya menyatu, menyuntik semangat baru. Mahmud hadir dalam mimpinya, dia seperti bernyawa kembali.

‘Tuhan, maafkan aku. Selamatkanlah aku.’ Bisiknya. Ada setitis harap di jiwanya. Harapan untuk hidup. Hampir dua hari dia terperangkap di situ. Kadang-kadang, ada bau-bau tidak menyenangkan dibawa angin, menusuk hidung Amira. Dia tahu, itu bau mayat-mayat yang tertimbus di bawah runtuhan itu. Tapi apa yang menghairankan dirinya, mengapa tidak ada seorang pun pasukan keselamatan yang datang kepadanya, walaupun berkali-kali dia menjerit, hampir semalaman.
Ruang rasanya sangat berkecamuk.

Tadi sudah dipanggil Tuhan, untuk menyelamatkannya, namun, masih tidak berjawab! Amira sangat marah. Apa gunanya marah sekarang? Apa gunanya kecewa sekarang? Ah, Mahmud, kau penipu, penipu, penipuuu...!
Amira mengangkat kepalanya, melihat di sekelilingnya, cuba mencari-cari kalau-kalau ada orang datang untuk menyelamatkannya. Walaupun hadir rasa bimbang, dia tidak mahu berputus asa untuk melepaskan diri dari situ. Dilihat kakinya, lalat-lalat mula menghurung, darah pada kakinya juga sudah kering. Dia membiarkan sahaja, semakin difikirkan nasibnya, semakin gila dirasakan, seolah-olah dirinya tak bernilai apa-apa.

Pemikiran negatif hanya akan memburukkan keadaan, sebagai wartawan, dia tahu itu. Dia harus tekal mendepani apa pun cabaran. Amira tahu, ada mayat-mayat di sekelilingnya. Mayat-mayat yang tidak meminta untuk mati. Tapi semua manusia harus mati. Bagaimana rasanya mati? Dia membayangkan sekiranya dirinya mati waktu itu, dia tidak sempat berbuat apa-apa pun, apatah lagi bertaubat. Nyawanya bukan mainan, walaupun kecederaannya agak parah, tidak bermakna dia harus mati. Mati? ‘Ya, aku mahu mati dengan bermaruah, bukan seperti ini, membiarkan diriku, menunggu saat-saat itu.’

‘Oh, Tuhan, maafkan aku kerana berdendam pada-Mu. Selamatkanlah aku Ya Allah, aku mahu hidup. Mahu kembali seperti dulu.’ Getus hatinya, membisikkan doa. Bukan dia tidak tahu adanya Tuhan, Cuma dia tidak yakin dengan doanya, dia bimbang, doanya tidak diterima, dia takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Kadang-kadang fikirannya celaru. Luarannya Amira nampak kuat dan tabah. Namun hatinya sering tidak tenang. Sering dirundung resah. Hanya kerana dia tidak kembali kepada fitrah. Fitrah untuk bertuhan. Kali ini, Amira yakin, dia akan selamat.

Hari ketiga. Amira semakin lemah. Tiga hari tanpa makanan dan minuman. Dia hanya berserah. Pagi itu benar-benar dingin. Perutnya meminta diisi. Kalau pun hari itu, hari kematiannya, Amira pasrah. Tiba-tiba telinganya menangkap sesuatu bunyi. Ada derap tapak kasut. Semakin kuat bunyi derapan itu, semakin dirasakan hampir dengan telinganya. Amira kaget dalam lemah. Adakah ini pertolongan dari Tuhan?

Kepalanya didongakkan sedikit, matanya bertentang dengan sepasang mata coklat berbulu lentik, dengan senyuman manis. Seorang budak rupa-rupanya! Budak itu kelihatan comot sekali, bajunya bertompok-tompok oleh tanah. Wajahnya pucat dan dipipinya ada parut kecil. Tanpa suara, budak itu menunjukkan isyarat tangannya ke arah kaki Amira. Amira hanya mengangguk lemah.
Budak lelaki Arab itu menghulurkan tangannya kepada Amira, dicuba untuk menariknya keluar sedikit daripada runtuhan itu. Ditarik perlahan-lahan pada mulanya, payah amat. Sekali lagi si cilik itu mencuba sekuat hati. Hasilnya, dia jatuh dan tercampak ke belakang. Kudrat kecil itu tidak mengizinkan. Dia bangun, menyapu-nyapu debu yang melekat pada belakang badannya dan terus menghilangkan diri. Amira cuba memanggil, namun budak itu terus pergi meninggalkannya. Air matanya tiba-tiba bergenang, sekali lagi dia merasakan takdir seolah-olah mempermainkannya. Sungguh, kali ini dia tewas!

******

Cahaya matahari mencucuk retina matanya. Sungguhpun cuaca dingin, namun kemilau mentari menyapa wajah Amira tepat-tepat, tak terlindung langsung wajah comotnya itu. Sementelahan dia tidak mampu lagi mengangkat tangan meneduhi dirinya dari sinar matahari itu. Sekali lagi telinganya mendengar derap-derap kecil, seperti sebelum ini. ‘Ah mungkinkah kanak-kanak tadi?’. Hatinya berbisik dalam harap.

Amira tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Bibirnya mula menguntum senyum dalam lemah. Si cilik Arab tadi mendekati Amira perlahan-lahan dan tersenyum. Ditangannya ada sesuatu. Diambilnya dan dikeluarkan sebiji tomato dari beg plastik yang dibawanya. Sambil mengisyaratkan kepada Amira supaya membuka mulut, dia menunjukkan wajah simpati melihat keadaan Amira. Satu demi satu suapan dihulurkan, sehingga habis sebiji tomato. Amira merasa sedikit lega, kerana sekurang-kurangnya dia tidak mati kebuluran.

‘Barangkali si cilik ini bisu, satu perkataan pun tidak kedengaran dari mulutnya, melainkan bahasa isyarat.’ Fikirnya, aneh. Tangan kecil itu menadah tangan ke langit, seperti memohon sesuatu. Amira hanya melihat, alangkah, sebiji tomato pun disyukuri, sedang aku, masih bernyawa pun berdendam pada Tuhan. Dia bermuhasabah sendiri.

Amira mula bersuara, “Kamu, akanku panggil Mahmud, seperti nama arwah temanku, terima kasih atas tomato tadi,” Amira melemparkan senyuman manis.

Si cillik itu hanya mengangguk kecil, mengisyaratkan dia akan pergi, dan akan kembali lagi. Saat si cilik itu melangkah, Amira menangkap bunyi sesuatu, pesawat yang sama didengarinya tempohari! Fikirannya mula terbayangkan letupan. Tak mungkin sekali lagi! Amira menjerit. Panik.

“Mahmuud! Jangan keluar Mahmuuud!” jeritnya. Seolah-olah mendapat kekuatan luar biasa, dia berjaya mengalihkan batu yang menindih kakinya, dicuba bangun, tetapi gagal. “Ya Allah, kau selamatkanlah Mahmud, jangan kau ambil nyawanya setelah kau ambil nyawa Mahmud temanku sebelum ini.”

Kali ini Amira benar-benar berharap. Beberapa saat kemudian, sekali lagi tempat itu dibom. Keadaan sekelilingnya bergegar! Debu-debu berterbangan menghalang pandangannya. Berjerebu. Amira meniarap, pasrah dengan keadaan. Keadaan aman seketika setelah tiga letupan kedengaran. Markas itu hancur berkecai, Amira beruntung kerana sekali lagi dirinya selamat. Dia menangis tersedu-sedu

Di hadapannya berdiri si Mahmud kecil, menghampirinya, menyapu pipi Amira yang basah dengan tangan kecilya. Dia terkejut namun kehadiran si cilik itu menyenangkannya. Hari itu, Gaza menjadi medan juang Amira memuhasabah sebuah derita, setelah ditegur Tuhan. Amira senyum, dan Mahmud kecil senyum. Senyum pada semangat baru. Senyum pada Gaza.


Puisi

Ku nantikan Ramadhan

Ku nantikan Ramadhan
Diwaktu pagi ku bersusah payah
Diwaktu malam ku bermudah
Supaya rahmat Tuhan mencurah-curah
Supaya hati tidak berasa gundah
Ingin ku penuhi segala dengan ibadah.

Ku nantikan Ramadhan
Sungguh ku berhajat memohon keampunan
Sungguh ku berniat mencipta kecintaan
Hanya pada tuhan ku adukan
Hanya pada tuhan ku bentangkan
Ampunkanlah dosa ku wahai Tuhan.

Ku nantikan Ramadhan
Jika dosaku terikat kerana manusia
Ingin ku tunggu kemaafan diterima
Sekalipun hati ditusuk kisah duka
Biar diriku menanggung semua
Ku rela dicemuh dunia
Tidak pula menerima azab neraka.

Ku nantikan Ramadhan
Hari ini ku ingin habisi perjalanan Ramadhan
Hari ini ku sempurnakan permintaan
Kiranya tiada lagi melalui Ramadhan
Ku berbangga menjadi hamba kepada tuhan
Ku berbangga Nabi Muhammad menjadi sanjungan
Hanya ku tunggu dihisab Mizan.



WARNA WARNI ALAM

Warna warni alam
Yang makin pudar diingatan
Bagai memanggil-manggil manusia
Kembali kepada Tuhan
Bagai satu episod yang bersilih ganti

Namun apa kan daya
Serinya sudah pudar dimamah usia
Usia dunia yang merangkak tua
Ditambah manusia pula
Sibuk membangunkan dunia
Tanpa mengira keaslian alam
Telah punah bertukar rupa

Wahai penduduk dunia
Apakah dikau lupa
Asal usul ciptaan kita
Betapa Kuasanya Pencipta
Mencipta alam semesta
Sehingga kau mengejar pembangunan
Tanpa mengenal Tuhan
Melupakan warna warni alam
Yang amat tenteram
Dengan senang kau memadam
Dengan pembangunan melampaui batasan

Ayuh manusia
Sedarlah dari lena
Tuhan masih membuka pintu keampunan
Dialah Tuhan Ar-Rahman
Hanya kalimah taubat kau lafazkan
Pasti kau jadi insan pilihan



Baca Sepenuhnya >>

Hasil Karya Peserta sayembara (2)

Khamis, 10 September 2009 0 suara
Kesinambungan karya,

Hakcipta karya adalah milik KELAP dengan kebenaran penulis. Dilarang mengambil apa jua isi tanpa kebenaran.


Cerpen

VEKTOR

Pintu dibuka. Seorang lelaki agam masuk ke bilik perbualan pelawat. Seorang lelaki yang berjaket dan berhud, menutup sebahagian besar mukanya, menyebabkan hanya matanya saja yang kelihatan, sedang menunggu.
“Kamu semua nampak macam bahan permainan kerajaan saja,” ucap lelaki misteri itu, sinis. Suaranya serak. Lelaki agam mendengus. Pengawal penjara menggerakkan anak matanya, merenung tajam perlakuan lelaki agam.
“Siapa kamu?” bentak si lelaki agam.
Lelaki misteri tertawa kecil. “Kau dah tahu kerajaan sudah menang?”
Lelaki agam membeliak mata. “M—mustahil!”
Suasana sunyi seketika buat beberapa detik. Si lelaki misteri melihat jam pada tangan kiri.
“Ya, pastikan kamu telah sedia untuk dihukum sebentar lagi dan bertaubatlah selagi ada masa.”
Provokasi ini langsung menyebabkan si lelaki agam naik minyak lantas mula menumbuk-numbuk cermin kalis peluru yang menjadi pemisah antaranya dan si lelaki misteri. Pengawal penjara bingkas meluru ke arah si lelaki agam dan menahannya daripada bertindak lebih ganas. Dia diheret masuk semula ke dalam selnya.
Sebelum meninggalkan bilik perbualan, dia sempat melihat si lelaki misteri melambai tangan kirinya seakan mengucapkan selamat tinggal secara sinis.

11.51 pagi,
Pusat Pentadbiran Negara.

Ketua Menteri menghilai di dalam hati. Dia sudah menang bicara. Tidak lama lagi, dia akan memerintah negara dengan kuasa mutlak di tangannya. Bidang kehakiman sudah melutut di kakinya dan sedikit masa lagi, semuanya akan berada di bawah telunjuknya. Fasisme yang telah berlaku di Itali pada 1922 hingga 1943 akan berulang kembali di negaranya. Dia bangga. Diktator ialah suatu gelaran yang sudah lama dia impikan.
“Bagaimana banduan-banduan di Bukit Gunting?” tanya Ketua Menteri kepada ketua penjara Bukit Gunting, melalui telefon.
“Jangan risau, Tuan. Segala-galanya bakal berjalan lancar. Tepat 12 tengah hari, tiada lagi manusia yang akan menjadi penghalang untuk Tuan melaksanakan impian Tuan,” balas ketua penjara, tertawa terbahak-bahak.
“Kau pasti mereka semua dikawal rapi?” tanya Ketua Menteri. Sedikit kegusaran nampak terbias pada getar suaranya. Dia masih dihantui momokan seorang reformis yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkannya suatu ketika dahulu.
Reformis itu, walaupun masih muda, nampak begitu tenang dan lantang. Ketua Menteri sendiri dapat merasakan aura yang menggerunkan, yang hadir dalam diri reformis tersebut. Demi menyelamatkan diri daripada apa-apa bencana yang boleh menggugat kedudukannya sebagai pemerintah negara, Ketua Menteri telah mengarahkan beberapa orang untuk mencampak si reformis ke dalam sebuah sel khas yang menjadi tempat biakan virus selesema berbahaya yang mampu membunuh dalam masa yang singkat. Dia tidak bertujuan untuk membunuh reformis itu sahaja, bahkan kesemua orang yang mempunyai kaitan dengan puak reformasi yang membangkang pemerintahan kuku besi negara itu. Si reformis diangkut dan dicampak balik ke negeri asalnya, tempat diamnya semua anggota reformis. Itulah yang berlaku beberapa minggu lepas.
“Sudah tentu, Tuan! Kesemua anggota kami telah dihantar untuk mengawal Bukit Gunting, khas untuk hari istimewa ini.”
Ketua Menteri turut tertawa. “Bagus. Kau akan dapat habuan kau nanti, seperti yang aku janjikan. Boleh aku lihat bagaimana keadaan di sana buat kesekian kalinya?”
“Boleh saja, Tuan!” jawab ketua penjara, seraya menekan beberapa butang untuk menghantar paparan langsung dari kamera-kamera cctv di penjara Bukit Gunting terus ke skrin besar pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negara.
Dengan lagaknya, ketua penjara menekan butang terakhir. “Nah, lihatlah Tu—”
Mata terbeliak. Kedua-dua mereka tidak dapat mempercayai apa yang terpapar melalui kamera-kamera cctv itu. Kelihatan beberapa orang pengawal terbaring kaku di lantai penjara. Mulut mereka ternganga. Darah berlumuran, mengalir keluar dari mulut, hidung, dan telinga mereka.
“Apa ini?” bentak Ketua Menteri. Peluh dingin mula merenik.
“Ini...” Ketua penjara jadi tidak keruan. Dia menekan-nekan butang lain untuk membawa paparan kamera yang seterusnya. Apa yang mereka saksikan tidak lain daripada apa yang mereka telah tontoni sebentar tadi. Di sudut lain, di bilik yang lain, pengawal-pengawal yang kebanyakannya berotot kekar kelihatan terjelapak, kaku. Darah mengotori mayat mereka.
Ketua penjara cuba mencari seorang pengawal yang masih bernyawa, tapi malang baginya, tiada seorang pun terselamat. Kesemua pengawal penjara Bukit Gunting sudah dibunuh. Ya, dibunuh dengan kejam.
“Apa yang terjadi ini? Angkara siapa semua ini? Bagaimana perkara ini boleh terjadi?” bentak Ketua Menteri lagi. Si ketua penjara makin bingung, tidak tahu apa-apa jawapan yang relevan kepada pertanyaan-pertanyaan tersebut. Lebih-lebih lagi bila membayangkan habuannya yang sudah melayang bila melihatkan situasi yang berlaku di penjara Bukit Gunting itu. Dia sudah pun bermandi peluh kegusaran. Entah bagaimana dia rasakan persis pelari pecut 100 km adanya.
Klu kepada jawapan mereka muncul apabila satu lembaga berjaket dan berhud menapak masuk ke penjara Bukit Gunting. Kedua-dua mereka merasa jantung seakan mahu keluar dari dada. Adakah lembaga itu yang membunuh semua pengawal di situ? Melihatkan saiz badan lembaga tersebut yang jauh lebih kecil daripada pengawal-pengawal penjara di situ, adalah mustahil untuk mengatakan bahawa dia ialah pembunuh tersebut.

12 tengah hari,
Bukit Gunting.

Lelaki agam tersengih melihatkan keadaan pengawal-pengawal yang sudah kaku persis ikan kena tuba. Dia memandang ke arah banduan lain yang jadi tidak tentu arah selepas melihat apa yang terjadi.
“Bertenang,” ujar lelaki agam. “Seperti yang aku katakan tadi, kita semua sudah imun. Injeksi yang kita gunakan tadi ialah antivirus yang dapat menyelamatkan kita daripada terkena virus bahaya, seperti yang terjadi di luar sana.”
Seorang banduan terbatuk-batuk sambil menyuarakan ketidakpuashatiannya. “Tapi kita semua kelihatan makin lemah selepas disuntik!”
“Ya,” jawab lelaki agam. “Kita jadi makin lemah kerana antivirus itu mengambil alih peranan antibodi dengan jalan membunuh. Kekurangan antibodi menyebabkan kita lemah, juga terdedah kepada penyakit lain. Tapi ia memberi jaminan bahawa virus selesema berbahaya di luar tidak akan mampu menjangkiti tubuh kita.”
Pintu kawalan elektronik dibuka dari luar. Sesusuk tubuh berjaket dan berhud menapak masuk.
“Memang handal kau berlakon,” ujar lelaki agam, tersenyum lebar.
“Persetankan lakonan aku,” ujar lelaki misteri, sinis. “Aku separa mati memikirkan andai kau tidak tahu mendesifer mesej aku tadi.”
Lelaki agam tertawa sambil mengisyaratkan rakan-rakan banduannya mengikutinya keluar. “Andai kau tak mengisyaratkan ‘lima’ pun, aku dapat meneka mesej kau. Tiga ayat bukanlah sukar untuk dihafaz.
“Kau melambai tangan kiri dengan lima jari terbuka bermaksud mesej kau berada pada perkataan kelima dari kiri pada setiap ayat: bahan sudah sedia.
“Kau juga memakai jam di tangan kiri, padahal kau selalu memakainya di tangan kanan kerana kau kidal. Aku terjemahkannya sebagai tempoh masa yang kau berikan. Lima minit terlalu singkat untuk aku laksanakan pelan kita. Lima jam pula tidak relevan, kerana waktu hukuman mati dijalankan ialah pukul 12, iaitu dua jam selepas kau melawat. Jadi aku konklusikannya sebagai 50 minit. Tapi, kau pun tahu, aku suka melakukan sesuatu dengan cekap dan pantas. 50 minit mungkin agak lama.”
Lelaki misteri tertawa kecil. “Kebijaksanaan dan kecekapan kau ialah antara aspek utama kau dipilih menjadi ketua.”
Mereka berjalan melepasi mayat-mayat pengawal yang berlumuran darah. Si lelaki misteri berhenti, memerhati mayat demi mayat.
“Tapi aku tak faham,” ucap lelaki agam. “Bagaimana kau boleh masuk dengan mudah?”
“Kau tidak tahu kelemahan orang kerajaan?” balas lelaki misteri seraya duduk bercangkung menghadap sesusuk tubuh kaku. Dia menyeluk poket baju mayat pengawal tersebut dan mengambil seberkas wang yang diikat rapi. “Selepas aku katakan aku dihantar oleh Ketua Menteri, aku beri ini kepada salah seorang daripada mereka. Duit menyebabkan mereka buta, sanggup lakukan apa sahaja, walau ia di luar undang-undang Allah.”
“CELAKA!”
Mereka semua terkejut, memandang sekeliling untuk mencari punca suara sumpahan sebentar tadi. Si lelaki misteri bangun dan menghadap salah satu daripada puluhan kamera cctv yang dipasang di situ. Dia kenal pemilik suara itu. Ia muncul dari pembesar suara yang dipasang bersama kamera cctv.
“Sabar. Giliran kau akan muncul seketika lagi,” ujarnya, sinis. “Aku akan pergi secara sendirian ke Pusat Pentadbiran Negara untuk bertemu kau. Aku akan datang secara aman. Andai kau tidak berbuat tindakan bodoh, perkara yang terjadi kepada pengawal-pengawal di sini tidak akan berlaku pada kau.”
Ketua Menteri tertawa besar. “Kau nak ugut aku? Aku boleh lari dari kau bila-bila masa saja. Lebih penting, takkan kau mampu pergi seorang diri tanpa ditahan ribuan pengawal yang sedang berjaga di luar bangunan aku ini?”
“Kau lihat apa yang terjadi di sini? Kaulah punca mereka mati.”
“Merepek! Pusat Pentadbiran Negara bukanlah dekat dengan Bukit Gunting. Masakan pula—”
“Kau lupa tentang virus yang kau ‘hadiahkan’ kepada aku, beberapa minggu lepas, bukan?”
Ketua Menteri terdiam. Respon seterusnya memakan masa yang agak lambat. “Kau... Siapa kau sebenarnya? Mustahil, kau sepatutnya sudah mati. Kau, reformis muda yang—”
“Ya, aku reformis muda yang kau campak ke dalam sel virus. Virus influenza A subjenis H1N1 yang suatu ketika dahulu telah mengorbankan lebih satu perempat populasi di negara ini.”
“MUSTAHIL! Kau dan kaum kerabat kau sepatutnya sudah menjadi mayat!”
“Kau ingin tahu? Sukar untuk aku jelaskan secara terperinci. Begini sajalah, anggaplah aku dikurniakan badan yang aneh yang dapat menampung apa-apa jenis virus, malah mampu menyimpannya di dalam tubuh aku tanpa memberi apa-apa kesan yang memudaratkan. Umpamakan aku sebagai vektor. Kau secara tidak langsung telah mencipta satu senjata biokimia yang amat berbahaya bila kau mencampak aku ke dalam sel virus influenza H1N1.”
Kedengaran deruan nafas yang tidak menentu di pembesar suara. “MUSTAHIL! KAU PENIPU!”
“Mengapa aku perlu menipu? Virus ini membiak dan berevolusi dengan pantas. Variasi virus dalam tubuh aku sekarang bukan lagi H1N1, tapi sesuatu yang lebih berbahaya dari itu. Ia mampu membunuh dalam beberapa minit sahaja. Tanpa vaksin khas yang aku cipta, adalah mustahil untuk manusia biasa melawan virus ini.
“Malang bagi kau, Ketua Menteri. Kau tahu apa akibatnya bila rakyat tahu yang kau ada menyimpan virus itu, bukan? Melarikan diri hanya membusukkan nama kau bukan saja di mata rakyat negara ini, bahkan di pelosok dunia. Kau duduk diam-diam di sana dan tunggu kehadiran aku. Kita akan bincangkan perkara ini secara aman. Yang penting, aku akan kotakan janji aku suatu ketika dahulu bahawasanya aku akan menjatuhkan pemerintahan kuku besi kau ini.”
“Aku akan suruh pengawal aku untuk membunuh kau!”
Lelaki misteri membuka zip jaketnya. Kelihatan beberapa bom C4 dilekatkan pada tubuhnya. “Kau lihat ini? C4 ini mempunyai kawalan jauh. Andai kau bunuh aku, orang aku akan mengaktifkan bom-bom di badanku ini. Letupannya akan menyebarkan virus-virus berbahaya yang mendiami badan aku, dan seluruh negara ini akan dijangkiti virus selesema sekali lagi, malah lebih teruk. Kau tentu tidak mahu ia berlaku, jadi, seperti yang aku katakan tadi, duduk diam-diam dan tunggu kehadiran aku.”
Mereka semua mula menapak keluar dari penjara yang telah menyaksikan penyeksaan sehingga mati beberapa orang banduan yang dituduh sebagai pengganas. Itu hanya helah kerajaan. Mereka tidak mahu sesiapa menentang mereka. Mereka inginkan pemerintahan mutlak.
Dan kini, setelah beberapa tahun ditekan dan dijajah oleh idealisme penjajah yang mempunyai dasar pemerintahan kuku besi, demokrasi akhirnya bakal ditegakkan oleh pejuang-pejuang reformasi.
Merdeka, merdeka, merdeka!

oleh: Han Ri

10.01 pagi,
Bukit Gunting.


Puisi

Seorang Teman Itu


Kepada seorang teman itu
Adakah aku memohon simpati
Apakah aku menanti untuk dimengerti
Adakah aku mengguris kecewa sekeping hati
Apakah aku mencalit rasa jiwa pekerti

Kepada seorang teman itu
Sebuah penceritaan semalam menghilangkan
Resah itu
Beban itu
Derita itu
Penantian itu
Akhirnya terbongkar walau cuma secalit rasa
Namun sebuah kepuasan menghinggapi jiwa

Buat seorang teman itu
Bukan simpati yang aku pohon
Bukan untuk dimengerti yang aku menanti
Bukan untuk mengguris jiwa sekeping hati
Bukan untuk mencalit rasa jiwa pekerti

Tapi
Kerana sayang itu tetap di hati



Baca Sepenuhnya >>

Hasil Karya Peserta Sayembara 09

Jumaat, 4 September 2009 0 suara
Karya-karya ini adalah asli. Tidak ada sebarang pengubahsuaian terhadap karya yang dihantar. Hakcipta karya ini tertakluk kepada KELAP dengan keizinan penulis.

Karya disiarkan berdasarkan penilaian markah.



Cerpen :

TARBIYAH UKHUWAH

"Allah sedang mendidik saya. Mendidik saya supaya hanya meletak harapan seratus peratus kepada-Nya semata," tuturnya sambil tunduk, melarikan mata daripada terus direnung olehku. Aku sedar, manik-manik halus mula berhimpun dikelopak matanya. "Saya silap dalam meletak harapan, saya telah mendahulukan manusia lebih daripada Allah," dia menyambung lagi. Hatiku turut sebak. "Saya redha, dan saya dah ambil keputusan untuk melupakan dia. Walaupun saya tahu, cabaran melupakan dia ialah sentiasa mengingatinya. Tak apalah, cukuplah namanya sentiasa meniti dalam rintihan saya kepada Allah. Kerana ingatan yang paling bermakna buat saudara ialah dalam doa."
Begitu tabah Naurah menghadapi masalah ini, walaupun kerap kali aku tengok matanya bengkak di pagi hari. Pasti dia menangis lagi sebelah malamnya. Sebulan dua ini, sememangnya air matanya lebih setia daripadaku walhal aku sentiasa berada di sisinya. Yang aku mampu beri hanyalah keyakinan, suntikan semangat bahawa Allah mendengar rintihannya. InsyaAllah Allah akan tunjukkan jalan penyelesaiannya. Alhamdulillah, lelaki itu berada di fakulti yang berbeza dengan kami, secara tidak langsung membantu untuk dia melupakannya. Walaupun aku tahu, kami bakal bertemu dengan lelaki tersebut di alam persatuan mahasiswa yang sama-sama kamu sertai.
Aku sedar, kesibukan menyiapkan persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun dua menjauhkan dia dariku. Walauapapun aku bersyukur Asiah pula mendekatinya. Aku terkadang sedar yang bahawa ahli rumah ini menjadi dua puak. Aminah lebih banyak bersamaku. Manakala Asiah pula banyak bersamanya. Walaupun pada asalnya aku yang rapat dengannya. Mungkin tekanan perasaan sewaktu peperiksaan.
Kami ditakdirkan duduk serumah, rumah sewa. Ditakdirkan pula dalam pengundian memilih bilik, aku dan Naurah tinggal sebilik dalam 'master bedroom'. Al-kisah, kami memilih untuk tinggal di rumah sewa pada awal tahun ini memandangkan keterikatan dengan asrama terkadang membawa masalah bagi kami yang agak aktif dengan pergerakan mahasiswa se-Malaysia. Tambahan pula, rumah yang kami duduki ini ialah milik keluarga Asiah. Dia yang menjemput kami tinggal bersama dengan kadar sewa yang tidak mencekik darah.
Walaupun kami berlainan fakulti, iaitu Aku dan Naurah berada di fakulti sains kesihatan manakala Asiah dan Aminah berada di fakulti undang-undang , kami ditautkan melalui persatuan induk lantas berukhuwah dan sama-sama berjuang kerana ALLAH. Namun kali ini ukhuwah yang terbina mula diuji, mungkin kerana kami pernah berbaiah berukhuwah kerana ALLAH, sedangkan kami beriman. Mana mungkin ALLAH membiarkan kami sunyi daripada ujian sebagaimana yang termaktub dalam surah Al-Ankabut ayat dua yang maksudnya berbunyi:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan membiarkan dengan hanya menyatakan 'Kami beriman'; sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)".
Pernah aku terkadang terasa hati dan kecewa kerana terlalu sukar untuk melihat senyuman daripadanya, sehinggakan aku mengutus surat bertanyakan apakah aku melukakan hatinya sehingga dia sukar untuk melontarkan senyuman kepadaku. Aku sudah masak dengan perangainya. Jika mengalami masalah pasti dia akan murung dan melayan perasaan itu. Akulah yang terpaksa memotivasikannya kembali. Mengingatkan kembali kepada ayat-ayat Allah yang kami masih berusaha untuk menghadamnya. Kala itulah dia mengalirkan air mata, memelukku dan menangis dibahuku. Dia sememangnya seorang yang terlalu lembut hati. Mudah mengalirkan air mata. Juga seorang yang terlalu sensitif. Banyak melayan perasaan dan mengikut perasaan sendiri. Kekagumanku terhadapnya hanya satu, sentiasa berkeyakinan dalam mengambil tindakan, walaupun kekesalan kadang kala bertandang. Namun baginya tiada masa untuk menyesal dan menoleh ke belakang.
Kali ini soal jodoh menguji hatinya. Di waktu yang sama, aku disunting oleh lelaki idaman dari bumi anbiya' dan bakal mendirikan rumah tangga seusai peperiksaan akhir ini. Sememangnya sejak menjejakkan kaki ke kampus tarbiyah ini, sekembali setelah pulang bercuti akhir semester lepas dia ada menyuarakan perasaannya kepadaku. Ditambah pula kenakalanku mengusiknya, seolah-olah menyuburkan lagi perasaan tersebut. Namun sekarang, tiada keputusan yang dia dapat. Tidak tahu apa penyelesaiannya, mungkin juga kerana dia terlalu mengikut perasaan kerana telah beberapa kali bertanyakan lelaki itu, walaupun lelaki itu pernah menolaknya secara lembut. Apalah nasibnya dia terpaksa berhubung dengan lelaki itu dasar kerja. Lantas merapatkan lagi mereka.

Pernah dia ceritakan lelaki itu pernah menyatakan kepadanya yang hatinya mencintai sahabat sekolahnya. Namun pada waktu yang sama, lelaki itu turut terpaut padanya dek kelembutan dan cara dia mengambil berat akan lelaki itu. Malah lelaki itu juga menyatakan seboleh-bolehnya ingin memperisterikannya. Seperti rembulan jatuh ke riba sewaktu dia memberitahuku. Namun aku memintanya meninggalkan lelaki itu kerana seolah-olah tidak ikhlas untuk menerimanya. Mungkin juga suatu hari akan memadukannya dengan perempuan yang dia cintai kerana sebelum ini mereka telah beberapa kali berbincang soal poligami.
Sebelum ini, setiap perkembangannya dengan lelaki itu pasti diceritakan kepadaku. Namun sejak aku menghalangnya, dia semakin menjauhiku. Kesibukan belajar menyebabkan aku tidak menyedari, sehingga suatu hari Asiah bertanya kepadaku apa yang berlaku kepada kami berdua sehingga terserlah kerenggangan persahabatan sedangkan aku sefakulti dengannya manakala Asiah dan Aminah pula berada di fakulti yang berbeza.
Aku kembali tersedar bahawa mungkin ada hak dalam bersahabat yang aku gagal tunaikan sehingga dia semakin menjauhiku. Aku sedar, kami berdua terlalu banyak persamaan, sehinggakan persamaan itu yang kadang kala membawa kepada kerenggangan. Kami sama-sama minat membaca, minat memasak dan lembut hati. Namun kerana kelembutan hati menyebabkan hati kami saling terguris walaupun kesalahan sekecil zarah sekalipun. Kami cuba berlapang dada, dan pernah saling bermuhasabah. Namun, mungkin kerana ada sedikit kedegilan dalam menegakkan benang yang basah, hal ini berlanjutan.
Memang tingkatan ukhuwah terlalu susah untuk dijangkau. Tarbiyah yang lebih mantap diperlukan untuk menjangkaui tingkatan-tingkatan ukhuwah. Kalau kami belum dapat menguasai salamatus sodri, iaitu berlapang dada, apatah lagi ingin menjangkau tahap tertinggi ukhuwah iaitu ithar yang bermaksud melebihkan individu lain melampaui kepentingan diri. Betapa tarbiyah rohani masih perlu kami cari. Mungkin ini adalah salah satu tarbiyah rohani yang perlu dilalui. Ya Allah, kuatkan hati kami!
* * *
Peperiksaan telah berlangsung jua akhirnya. Pagi ini merupakan hari terakhir peperiksaan,dan aku yang mengejutkan dia untuk solat subuh. Alhamdulillah kami sudah berbaik kembali walaupun terkadang kelihatan dia masih canggung denganku. Namun kerana kasih sayangku terhadapnya aku ketepikan perasaanku. Aku telah meniatkan kasihku padanya hanya kerana Allah. Aku tahu, dia banyak ketepikan pelajaran kali ini kerana terlalu ghairah dengan alam yang penuh menipu. Aku menolongnya selagi aku termampu kerana aku sayangkannya kerana Allah.
Menuju ke dewan auditorium untuk menduduki peperiksaan pada hari pertama dahulu, aku terkadang gagal menyeimbangkan kelajuan pergerakan kaki ini dengan kelajuannya.Setelah turun daripada kenderaan yang kami naiki iaitu bas, aku tidak mahu membuang masa, ingin cepat sampai lalu menapak ke arah tempat peperiksaan dengan pantas, tetapi seolah-olah dia sengaja melambatkannya. Astaghfirullah, aku berburuk sangka lagi. Satu perkara yang masih belum selesai, aku hairan kenapa dia kelihatan tidak bermaya lagi walaupun semalaman aku telah menerapkan 1001 motivasi. Ya Allah, tolonglah sahabatku ini. Aku tidak mahu mementingkan diri. Namun, entahlah. Aku dapat menghidu sedikit perasaan putus asa di dalam dirinya. Saat itu, hatiku tidak pernah putus melafazkan "Jangan biarkan perkara ini berlarutan ya Allah!".
Menduduki meja peperiksaan yang sebenarnya hanyalah kerusi yang bermeja, aku cuba melontarkan senyuman semangat kepadanya memandangkan angka giliran kami hanya selah lima orang. Dia membalas, tetapi hambar. Aku sedikit sebak. Kenapa tidak terlihat sinaran keikhlasan di hatinya? Apakah salahku? Ya Allah, bantulah aku. Bantulah kami. Ujian ukhuwah ini terlalu berat.
Hari ini, setelah dua jam berlalu menjawab soalan peperiksaan, dia bangkit keluar dari dewan peperiksaan meninggalkanku dan sahabat lain. Sejam masih berbaki. Tiada isyarat langsung daripadanya, terus melangkah keluar daripada dewan peperiksaan. Sudah beberapa kali dia bertindak sedemikian, namun aku tetap membisukan perkara ini. Hanya terkadang sistem pesanan ringkas yang ditinggalkannya di dalam peti masuk telefon bimbitku.
Setelah usai menjawab dan masa tamat, aku bertasbih, bertahmid dan bertakbir beberapa kali. Memeluk sahabat perempuanku yang lain dan mengucapkan selamat tinggal kerana kami bakal dipisahkan dengan cuti selama dua bulan. Semua bakal kembali ke negeri masing-masing. Aku sendiri akan kembali ke tempat tanah tumpah darahku iaitu Kota Bharu Kelantan. Tidak lupa juga aku mengedarkan sampul surat wangi kepada sahabat-sahabat rapatku. Suasana gamat seketika kerana ada yang baru sahaja maklum tentang kedatangan hari bahagiaku ketika itu. Aku hanya mampu tersengih mendengar gurau senda mereka. Manakan tidak, baru sahaja menjejak tahun dua sudah mahu berumah tangga.
Aku bakal pulang malam ini dengan Naurah menaiki Bas Mutiara. Dia bersetuju untuk bermalam di rumahku sehingga usai kenduri kesyukuran di rumahku yang hanya berbaki seminggu sahaja lagi. Tambahan pula, rumah pusaka kedua arwah ibu bapanya didiami oleh kakaknya yang telah berumah tangga. Baginya tidak keberatan untuk bermukim di kediamanku memandangkan rumah kami berdua masih dalam jajahan yang sama. Katanya, inilah saat-saat akhir aku dapat bersama dengannya sebelum dia berpisah selamanya denganku. Aku menafikan kata-katanya kerana bakal suamiku belajar di seberang laut. InsyaAllah tahun depan baru dia menamatkan pengajiannya di sana, dengan izin Allah. Jadi, aku akan kekal di rumah sewa kami sehingga tahun hadapan.
Setelah memberi salam memasuki rumah, aku terus menuju ke bilik. Melihat dia sedang tidur, aku melupuskan niat untuk berbicara dengannya. Mungkin dia kepenatan. Di sebelah katil sudah ternampak sebuah beg galas miliknya yang kemas terisi. Tersenyum sendirian melihat beg itu. Sudah tidak sabar nak balik rupanya dia.
Aku mula menyimpan setelah mengkhabarkan kepada keluargaku kejayaan menamatkan peperiksaan melalui perbualan telefon. Ibu bertalu-talu memberi tentatif kehidupan aku sebelum aku menghadapi saat-saat bergelar 'raja sehari'. Berbaur perasaan antara gembira dan gementar. Maklum sahajalah, lelaki yang bakal menerimaku sebagai suri ini aku belum pernah menatap rupanya secara langsung. Semuanya aturan keluarga. Walaupun si dia menyatakan bahawa kami pernah sekelas di tingkatan satu sebelum sama-sama berpindah sekolah, aku tidak dapat mengingati rupanya. Pada ketika itu, aku ke sekolah menengah agama manakala dia memasuki maahad tahfiz. Aku menerima pinangan ini tanpa pernah menatap fotonya, hanya sekadar mengetahui namanya dan terus beristikharah. Alhamdulillah aku tenang menyerahkan keputusan di tangan ibu bapa. Hasilnya, majlis pernikahan tanpa didahului pertunangan ini bakal berlangsung
Setinggi kesyukuran aku panjatkan kerana dijodohkan dengan seorang lelaki yang menjunjung kalamullah dan memperjuangkan kalimah Allah di muka bumi ini. Aku dimaklumkan keluarga bahawa dia telah pulang beberapa hari lepas dan bakal berlepas kembali setelah dua minggu kami mendirikan rumah tangga. Walaupun aku terkejut dengan keputusan yang diambil olehnya, tetapi aku redha. Isteri mana yang sanggup berpisah dengan suami saat inai masih merah dijari. Kepulangannya yang tidak sampai sebulan ini semata-mata untuk menguruskan perkahwinan kami. Bakal mentuaku pernah bercanda bahawa dia bimbang aku terlepas ke tangan orang lain. Aku hanya tersenyum saat itu, dan merasakan bahawa aku terlalu dihargai oleh bakal suamiku.
Ah! Jauh pula fikiran melayang. Aku kembali menyambung tugasan mengemas beg. Sekejap lagi, aku akan mengemas bilik dan pergi ke stesen bas sebelum maghrib bersama Naurah. Tidak sabar rasanya!
* * *
"Na'ilah! Nanti pagi esok, sejam sebelum subuh kejutkan saya tau. Nak tahajjud dengan awak sebelum awak terpaksa berpisah selamanya dengan saya. Awakkan memang kaki tahajjud," katanya sambil tersenyum-senyum. Tidak habis-habis dia mengungkapkan perkataan sebegitu.

"Eh, Cik Naurah! Puan Na'ilah ni akan tinggal dengan awak juga nanti. Berpisah dengan awak dua minggu je pun. Tak gitu Puan Nazifah?" balasku sambil diiyakan oleh Kak Nazifah yang sedang memakaikan inai di tanganku. Kak Nazifah ialah kakak sulungku. Manakala aku merupakan anak ketiga. Sebelumku ialah abang, yang masih bujang. Nampaknya aku melangkah bendul!

"Ala, sehari tanpamu Na'ilah al-Farafiesya, terasa bagai seribu tahun menunggu!" Guraunya bermadah pujangga. Ketawanya kembali bergema, namun dia kemudian terbatuk-batuk sedikit. Sebenarnya aku agak bimbang melihatnya. Mukanya cekung beberapa hari ini setelah kami pulang ke Kota Bharu. Apabila aku mengajaknya ke pasar raya untuk membeli kelangkapan, dia menolak. Katanya penat. Dia lebih banyak duduk. Kadang-kadang dia mengurut dadanya. Apabila aku tanya kenapa dia hanya tersenyum dan mengatakan tiada apa-apa. Bibirnya kelihatan agak pucat.

"Naurah okey ke? Kuat batuk malam ni?" tanyaku kebimbangan.
"Okey je. Tadi minum teh ais. Itu yang batuk," katanya sambil tersengih.
"MasyaAllah. Kan saya dah pesan jangan minum ais! Awak tu kan mudah batuk. Inilah bahana orang degil," leterku sambil terus menentang matanya, tajam. Kak Nazifah hanya tersenyum melihat gelagat kami. Suasana bilik yang sudah lengkap dengan perhiasan 'raja sehari' itu kecoh kerana suara kami.
"Ala, awak ni, belum kahwin da jadi macam mak nenek. Nanti lari Ustaz Saifuddin tu baru tau," usik Naurah lagi di sambung dengan ketawanya.
"Isy, dengan ustaz lain, tak buat perangai macam ni, insyaAllah. Cuma dengan Cik Naurah ni je kena buat perangai macam ni sebab dia degil sangat," kataku sambil membuat mimik muka marah. Dia hanya ketawa sambil terbatuk-batuk. Aku kembali diselubungi bimbang. Dia berterusan tersenyum sambil meneruskan lagi usaha menyetarika persalinan perkahwinanku.
Setelah siap memakai inai, aku terus merebahkan diri di atas tilam yang dibentangkan di lantai kamarku. Ibu melarang kami tidur di atas cadar pengantin. Kata ibu, nanti hilang seri. Walhal kerana tidak ingin rosakkan gubahan yang telah seharian ibu usahakan. Cadar ini adalah pemberian bakal suamiku. Dia membelinya di bumi anbiya', Mesir.
"Naurah...Naurah...bangun, dah nak subuh ni. Awak kata nak tahajjud buat kali terakhir dengan saya sebelum saya tinggalkan awak nanti?" seruku setelah bangkit dari tidur, bergurau mengajaknya mendirikan sepertiga malam sebagaimana disebut olehnya semalam. Namun tiada respon. Mungkin penat kerana semalam dia yang tolong menyetarika bajuku memandangkan tanganku dibaluti inai.
Aku membiarkannya dahulu, menuju ke bilik air, membersihkan diri. Saat melintasi ruang tamu terlihat ayah sedang menunaikan solat. Ayah memang tidak pernah lekang mendirikan solat malam. Anak-anak secara tidak langsung terdidik kerana melihat kebiasaan ini. Setelah itu aku pulang ke kamar dan mengejutkannya sekali lagi. Tiada respon. Hatiku tiba-tiba berdebar saat menyentuh tangannya yang kesejukan. Lantas ku selak selimut nenyentuh kakinya. Sejuk!
"Kak Ifah! Ibu! Ayah!" Aku menyeru nama-nama yang terlintas difikiran. Ayah yang tadi sedang menunaikan solat malam, terkocoh-kocoh datang ke bilik. "Ayah! Naurah ayah!" aku tidak dapat meneruskan kata-kata kerana pipiku telah basah dan suaraku tersekat oleh mukus yang berkumpul di kerongkongku.Setelah terpegang tangan Naurah, Ayah terus mencapai lampu picit yang berada di atas meja solekku dan menghala ke kelopak mata Naurah. Setelah membelek kedua kelopak mata kiri dan kanan. Ayah mengeluh.
"Innalillah wainna ilaihi raji'un!" sepatah kata itu yang terpacul di bibir ayah. Aku berterusan menangis. Sebak dada. Ibu yang baru sahaja sampai terus memelukku, turut sama mengalirkan air mata. Berusaha menenangkan ku dengan kata-kata azimat. Siapa yang melihat peristiwa ini pasti mengalirkan air mata. Tangisanku bertambah kuat. Adik-beradik yang tujuh orang, seorang demi seorang datang memenuhi pintu kamar, terkedu.
Ayah menghulurkan sampul surat yang dijumpai di sisi arwah, bersama segulung kertas berikat riben. Sampul surat yang amat ku kenal kerana di bucu sebelah kanan ada dilukis kartun dua orang muslimah yang menyerupai aku dan Naurah. Itulah kartun yang Naurah lukis setiap kali membalas suratku, trademark katanya. Kebolehannya melukis sememangnya tidak pernah dipersiakan.
Assalamualaikum. Ke hadapan sahabat yang selalu bertakhta di jiwaku, dulu, kini dan selamanya kerana ALLAH semata.
Nai'lah, pertama-tama dan selamanya Naurah mengucapkan seinfiniti kemaafan kerana terlalu banyak melukai hati Na'ilah sejak-akhir-akhir ini. Naurah sedar yang Naurah banyak mengikut perasaan tertekan. Tertekan dengan kegagalan dalam percintaan dan kegagalan memenuhi harapan keluarga. Namun satu lagi tekanan yang Naurah sembunyikan ialah asthma yang kerap kali menyerang Naurah.

Maaf andai Naurah sembunyikan perkara ini. Naurah bukan sengaja berjalan lambat, pernah cuba mengejar tetapi Naurah rasa sesak nafas. Jadi Naurah tidak dapat menyaingi kelajuan Na'ilah lagi. Maafkan Naurah. Naurah keluar dewan tanpa bagitahu Nailah hari tu pun sebab sakit sangat dada. Naurah tak mahu Na'ilah nampak Naurah pakai 'inhealer' jadi keluar awal-awal pergi bilik air.

Malam ini, saat Na'ilah lena dibuai mimpi, Naurah sesak nafas lagi. Tapi Naurah gagahkan tangan untuk menulis supaya Na'ilah tidak lagi salah sangka lagi. Lagipun, Aminah ada ceritakan ketidakpuashatian Na'ilah terhadap Naurah. Kita sama-sama manusia. Maafkan Naurah atas segala kelemahan.

Esok hari bahagia Na'ilah al-Farafiesya, iaitu menjadi suri Muhammad Saifuddin al-Khalis. Bersama ini ada Naurah conteng sikit gambaran mempelai bagai pinang dibelah dua ini. Maaf kerana Naurah tidak memberi tahu bahawa bakal suami Na'ilah itu teman baik Naurah sewaktu sekolah rendah. Naurah yang mengusulkan supaya dia melamar Nailah setelah Naurah memperkenalkan sedikit latar belakang Na'ilah kepada Khalis. Maka esok, termaktublah penyerahan amanah antara Naurah dan Khalis ya?

Semoga kalian berdua bahagia. Hari ini Naurah rasa cukup bahagia. Apakah esok masih sama?
Wassalam.
Menatap potretku bersaiz A3 disisi bakal suamiku, air mata mengalir laju. Terlalu banyak berburuk sangka dengan sahabatku yang ikhlas ini, yang juga telah menjodohkan aku dengan bakal suamiku tanpa pengetahuanku. Maafkan Na'ilah, Naurah!

Tatkala aku mengkhabarkan kepada suamiku berita kematian Naurah, dia terdiam seribu bahasa. Aku kurang mengerti. Setelah selamat melafazkan akad nikah di masjid pada pukul 10 pagi, dan merakam sedikit gambar kenangan, kami bergegas ke rumah. Melihat sekujur mayat di ruang tamu, hatiku kembali sebak. Ada sesuatu yang lebih mengejutkan aku, melihat sisa air mata di hujung mata suamiku. Aku pendamkan sahaja pertanyaan itu walaupun hatiku kurang selesa dengan keadaan itu. Setelah jenazah Naurah selamat dikebumikan, kami kembali ke rumah melayan tetamu. Ayahku telah mengumumkan bahawa malam ini akan diadakan tahlil walaupun kami bukanlah ahli keluarganya. Namun setelah kami berbincang dengan keluarga Naurah, mereka bersetuju.
Usai berjemaah zohor bersama suamiku, dia berdepan denganku seolah-olah ingin menyuarakan sesuatu. Saat itu aku agak berdebar, kerana belum pernah berdepan dengan lelaki dalam jarak yang amat dekat sebegitu dan memikirkan apasa sebenarnya yang berlaku.
"Pertama sekali abang ingin minta maaf kat Na'ilah," tutur suamiku dalam nada yang lembut, yang sedikit sebanyak menenangkan hati yang berdebar. "Mungkin perkara ini, Na'ilah tidak tahu dan Naurah tidak mungkin menceritakannya kepada Na'ilah."

"Tentang abang kawan Naurah sewaktu sekolah rendah ke?" Pintasku sebelum suamiku sempat menghabiskan bicara. Kelihatan dia tersenyum sambil menggeleng.
"Mungkin bagi Naurah, ya! Sebagaimana yang Na'ilah maklum. Tetapi bagi abang tidak." Hatiku berdebar. Apa yang berlaku sebenarnya? "Na'ilah, abang harap Na'ilah terima semua ini dngan berlapang dada. Semua yang telah terjadi hari ini bukti kasih sayang Naurah kepada Na'ilah." Aku bertambah bingung. "Sebenarnya, hati abang terhadap Naurah melampaui batasan seorang sahabat. Tapi Naurah nafikan berkali-kali. Abang sendiri tidak faham kenapa dia menolak." Aku tersentak menerima pernyataan itu.

"Maksudnya abang terima saya sebab abang cintakan Naurah?" tanyaku sambil mata mula berkaca. Perasaan cemburu mula menguasai diri.
"Mungkin ya suatu ketika dahulu." Jawapan itu telah meruntuhkan hatiku. Air mata mula mengalir. "Tapi percayalah Na'ilah, tidak sekarang. Dua tahun Naurah menggesa abang menerima Na'ilah. Tapi abang menafikan sebab abang tidak boleh melupakan dia. Namun tadi setelah menatap muka Na'ilah, abang percaya, usul yang diberikan Naurah tidak salah, malah tepat. Kita adalah jodoh yang ALLAh catatkan di Luh Mahfuz. Na'ilah perlu yakin."
"Tapi kenapa abang menangis sewaktu tengok jenazah Naurah?" Aku bertanya satu soalan yang bila difikirkan kembali agak kebudakan. Dia tersenyum.
"Sayang, hati bukan perkara mudah untuk di ubah. Dan abang yakin pertanyaan ini, menunjukkan perasaan sayang Na'ilah yang sudah berputik untuk abang, kan?" katanya sambil memegang daguku. Aku malu diperlakukan sedemikian lantas menepis sambil tersenyum. Dia mengesat air mata yang tersisa di pipiku.

Terlalu banyak Naurah korbankan. Sanggup menolak seorang yang aku kira hebat dari segi agama, kerana memandang bahawa dia lebih sesuai untukku. Ya ALLAH, andai aku tidak menghargai pengorbanan sahabatku ini, berdoasalah aku. Memang benar kata Abang Khalis, hati bukan mudah di ubah. Naurah mengalaminya sendiri di dalam perhatianku, di hadapan mataku. Walaupun lelaki yang bertakhta di hatinya menghancurkan hatinya, dia pernah putus-putus mendoakan kebahagiaan dan kejayaan lelaki itu. Aku sendiri menjadi saksi.
Aku tak pernah menyangka, pada hari bahagiaku, diwaktu aku bergelar raja sehari, aku akan kehilangannya buat selama-selamanya. Tidakku sedar dia menanggung kesakitan yang secara tidak langsung membawa maut. Aku benar-benar rasa kekosongan walaupun suami di sisi menyerikan hidupku. Aku kehilangan sahabat yang aku sayang dan dia menyayangi diriku kerana ALLAH. Maafkan aku Naurah kerana gagal menemanimu dengan sebaik mungkin disaat akhir usiamu. Semoga kau tenang di sana, di sisi KEKASIH SEJATI.

.........................................................................................................................................................................


Puisi :

Hanya Kalian


Dan di saat ini
Terasa perit menahan sakit
Perit lagi menyakiti hati emak dan abah

Seorang aku hampir putus asa
Seorang aku hampir hilang keyakinan jiwa
Seorang aku buntu menjanjikan bahagia

Emak abah
Bukan derita yang ingin kuhamparkan
Bukan kecewa yang ingin kulakarkan
Namun kasih kalian tetap berkekalan

Emak abah
Tidaklah kuat hati ini mengharung derita
Tidaklah tega jiwa ini menempuh duka
Janjiku pada kalian hanya sebuah bahagia

Emak abah
Hanya kalian…



Baca Sepenuhnya >>