Sidang Video Via YM | Iqbal: Sasterawan dan Pemikir Agung Islam

Khamis, 12 Julai 2007
Di bawah ini adalah pelawaan daripada Saudara Nazmi b Yaakub, wartawan akhbar Berita Harian kepada semua mahasiswa-mahasiswi al Azhar yang berminat untuk menyertai sidang video melalui Yahoo Messenger. Apa yang perlu anda buat adalah meng-add-kan id yahoo kepada penamalaysia@yahoo.com. Mereka yang berminat & mempunyai kelapangan untuk turut serta menikmati topik perbahasan ini, sila add-kan yahoo id dengan menyatakan nama dan lokasi. Berikut adalah maklumat program tersebut;

MAJLIS Bicara Ilmu bertajuk 'Iqbal: Sasterawan dan Pemikir Agung Islam. Diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, 15 Julai ini, bermula pada jam 3 petang.

BIOGRAFI IQBAL
Muhammad 'Iqbal yang dilahirkan di Sialkot, Punjab, Pakistan pada 9 November 1877, diiktiraf sebagai penyair dunia, reformer & pemikir agung serta dianggap negarawan pertama yang mengilhamkan penubuhan negara India Muslim yang merdeka, sekali gus melahirkan negara Pakistan. Inilah di antara sumbangan besar Muhammad 'Iqbal ialah apabila usaha beliau di dalam penulisan dianggap sebagai pelopor kepada pembentukan negara Islam Pakistan yang bebas merdeka daripada India. Beliau turut dikenal sebagai salah seorang tokoh mujadid Islam terakhir abad ke-20 yang muncul di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Bakat serta kebolehan beliau berkarya melalui puisi-puisi perjuangannya membangkitkan kesedaran umat Islam yang masih terjajah ketika itu. Iqbal tidak bersetuju dengan konsep 'seni untuk seni' seperti yang diperjuangkan oleh sesetengah penulis. Penyair atau penulis yang seperti ini menurut 'Iqbal adalah termasuk di dalam golongan penyair yang dicela di dalam al Quran (disebut di dalam Surah as Syuraa:26, 224-226, al Quranul Karim). Bagi 'Iqbal, tujuan segala seni ialah untuk menjadikan ia sebagai panduan kepada manusia.

Dalam pada sibuknya beliau berkarya, Muhammad 'Iqbal tidak pernah lekang untuk membaca al Quran setiap hari. Sejak kecil ayahnya selalu bertanyakan apa yang dibuatnya? Jawab 'Iqbal; Membaca al Quran. Soalan ayahnya itu kerap menghala kepadanya sehinggalah mencapai tempoh 3 tahun berturut-turut. Pada suatu hari 'Iqbal bertanya kepada ayahnya; Telah lebih 3 tahun ayah masih menanyakan soalan yang sama dan jawapan yang juga sama saya berikan. Apakah maksud ayah sebenarnya ?

Lantas ayahnya mengatakan; Aku mahu mengatakan kepadamu, bacalah al Quran itu seperti kamu mendengar daripada Allah Taala sendiri. Mulai hari itu 'Iqbal membaca al Quran dengan memahami, mengkaji dan menjadikannya sebagai panduan. Hasil kekerapan 'Iqbal membaca al Quran dan mengkajinya, elemen spiritual banyak mempengaruhi karya-karya beliau dalam penulisan kreatif terutamanya dalam khazanah bidang sastera & pemikiran Islam. Dalam syair-syairnya, 'Iqbal memang banyak menegaskan kesungguhannya untuk membakar semangat umat Islam agar sentiasa bergerak maju. Dalam sebuah sajak beliau berkata:

Umat Islam
bila ingin maju
harus mampu berpacu dengan waktu
sekali umat Islam terhenti
bererti dia membiarkan dirinya tergilas dek sang waktu


Ketika Muhammad 'Iqbal diundang oleh Raja Afghanistan bernama Nadirshah, 'Iqbal telah menghadiahkannya sebuah al Quran, padanya tertulis perkataan seperti ini;

Kitab ini modal ahli hak
di dalamnya ada kehidupan
pada baris-baris kalimatnya ada kebenaran
keadilan dan kemuliaan


Muhammad 'Iqbal banyak mengubah puisinya dalam bahasa Urdu, Parsi dan Inggeris. Puisi besarnya yang terkenal iaitu Asrar-i-Khudi (The Secret of the Self/Rahsia Peribadi) yang ditulis dalam bahasa Parsi. Koleksi puisinya yang pertama ditulis dalam bahasa Urdu ialah Bang-e-Dara (Seruan Perjalanan) yang lebih bersifat nasionalistik & bertemakan cinta. Kehidupan Muhammad Iqbal terus tanpa jemu memperjuangkan nasib orang Islam melalui penulisan kreatifnya sehinggalah beliau meninggal dunia pada 21 April 1938. al Fatihah...
♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: