Jika anda punya pena, ayuh gerakkan kearah ini, jika anda punya fikiran, ayuh gerakkan ke arah ini, dan jika anda tidak punya apa-apa ayuh kita latihi agar ia sedikit berguna buat semua.
Zaman terus berlalu pergi tanpa kita sedari, adakah kita masih berada di takuk lama? Sabda Nabi S.A.W “Orang yang cerdik dan berakal ialah orang yang menghitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikut hawa nafsunya dan mengharapkan-harapkan kemurahan atas Allah, yakni mengharapkan-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat tanpa beramal soleh”
Diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan
Dunia yang kita tatapi sekarang ialah dunia globalisasi, semua sudah berada di hujung jari, petik saja apa yang terdetik di hati, prinsipnya kita yang tetapkan sendiri sama ada manfaat atau mudharat yang kita kehendaki. Justeru itu marilah sama-sama kita manfaatkan kemajuan dunia sekarang ke arah yang memberi manfaat pada kita dan pada yang lain agar ia tidak menjadi sampah-sampah yang akan menghempap kita nanti bilaman kita di hadapkan pada Allah Taala.
Antara manfaat yang kita dapat komgsikan bersama dengan yang lain ialah penulisan dan sudah tentu penulisan yang kita hendak kongsikan ialah penulisan yang bermutu dan bermatlamatkan Islam.
Banyak penulisan yang kita dapat suburkan sekarang ini, sama ada penulisan ilmiah, cerpen, puisi, sajak dan sebagainya. Ibarat melakar di awangan yang tinggi, semua boleh diluah melalui karya peribadi. Jangan disalahkan pena jika buruk hasilnya kerana pena tidak pernah bersalah dalam hal ini, namun manusia itu yang bersalah dalam meletakkan sudut pandang dan kefahaman. Penulisan dapat membentuk manusia ke arah kebaikan dan juga sebaliknya, penentunya adalah kita sebagai pelakar pena dan tinta itu sendiri.
Jika dilihat sekejap ke arah sejarah Islam, bagaiman Saidina Umar Al-Khattab mengarahkan kepada para sahabat agar disalin balik segala isi Al-Quran, ini menunjukkan betapa pentingnya proses penulisan agar ilmu yang dapat tidak hilang begitu sahaja ditelan maksiat dan dosa. Tatkala Imam as Syafie datang berjumpa gurunya, Imam Waqi’ mengadu akan halnya yang sentiasa lupa, lalu jawab Imam Waqi’
“ Sesunggunya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada pembuat-pembuat maksiat”.
Nah, terbentang di hadapan kita pilihan. Sama ada mahu menceburkan diri dalam lapangan pahala berganda yang namanya penulisan atau tetap mahu menyilang tangan dan membekukan minda dari terus melakar tinta bicara.
Persoalannya, penulisan yang bagaimana dapat membentuk insan. Kita adalah insan. Justeru insan pastinya mengetahui bagaimana cara untuk membentuk identitinya sendiri. Dalam kerangka itu dicadangkan beberapa garis panduan menghasilkan penulisan untuk membentuk insan yg bergelar khalifah. Khalifah yang akan dipanggil Tuhan sebagaimana mafhum firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfrman kepada para malaikat, Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”.
Al Baqarah : 30
Antara beberapa cadangan untuk memantapkan pena kita adalah :
1. Halakan penulisan agar mengenal dosa dan pahala.
2. Jadikan kayu ukur baik dan buruk dalam meletakkan setiap patah bicara.
3. Sambungan ayat dari isi ke isi perlulah berkaitan antara satu sama lain.
4. Penggunaan ayat dari patah ke patah perkataan perlulah lancar dan difahami
5. Elakkan penggunaan bahasa yang keterlaluan. Ia hanya akan merugikan ruang.
Dilihat hebat tapi sukar difahami.
6. Masukkan unsur kreatif seperti metafora bahasa dan tidak salah jika diangkat tema sastera ringan dalam setiap penulisan. Ianya hanya sebagai tarikan.
7. Fokuskan setiap penulisan kepada kelompok sasaran. Jika mahasiswa maka fokuskan penulisan menggunakan lenggok bahasa dan gaya bicara seorang mahasiswa.
8. Sebolehnya masukkan unsur emosi dalam setiap isi. Sentuh sensitiviti golongan pembaca serta sasaran
9. Cuba bentukkan ayat ringkas dan pendek serta elakkan ayat yang meleret-leret. Ayat yang panjang biasanya akan terdedah dengan kesilapan dan melarikan fokus pembaca untuk memahami apa yang ditutur tulis.
10. Untuk melengkapkan penulisan bagi membentuk daei , pastikan keikhlasan diletakkan pada prioriti semasa menulis. Keikhlasan penulis akan membuka hati pembaca memahami setiap patah ayat.
Justeru itu marilah sama-sama kita menyuburkan agenda penulisan ini agar dapat membantu masyarakat dalam membetulkan sudut pandang ke arah yang lebih baik. Adalah diharapkan agar segala teknik ringkas ini dihadami. Sekalipun tampak ringkas dan biasa-biasa namun ianya makin hilang dalam setiap penulisan kita hari ini.
Nukilan :
Mohd Safwan Abdullah,
Tahun 1, Takhassus Qiraat,Shoubra
0 suara:
Catat Ulasan