Akhlak Wasilah Dakwah

Sabtu, 7 Januari 2012

Rasulullah s.a.w. diutuskan dengan pelbagai hikmah buat umat ini. Daripada gerak langkah, cara percakapan serta segala perkara yang bersangkut paut dengan Baginda adalah merupakan suatu derapan kearah kebahagiaan di dunia dan di akhirat bagi sesiapa yang mengikuti sunnahnya.

Rasulullah telah mengajarkan kepada umatnya bahawa Islam itu indah dan syumul meskipun melalui tindak-tanduk kita seharian. Ulama’ tasauf ada yang mengertikan agama sebagai akhlak yang mulia. Maka tidak hairanlah bahawa Islam itu tersebar ke seluruh pelosok dunia dengan waktu yang singkat. Hal ini telah menyanggah fitnah golongan orientalis yang menyatakan Islam itu tersebar dengan mata pedang. Islam itu indah dan tidak mungkin Islam itu menyanjungi segala bentuk keburukan dan ketempangan akhlak dalam umat ini. Bahkan Islam menawarkan penyembuh bagi luka-luka akhlak manusia. Sepertimana yang dipamerkan Rasulullah buat pengajaran umat ini, tidak sekali Rasulullah mengherdik menghina atau merendah-rendahkan orang yang pernah menyakitinya, malah Rasulullah akan mendoakan dan membantunya tatkala kesusahan. Namun, tidak bermakna Rasulullah membiarkan seseorang itu berada dalam kesesatannya.

Gambaran jelas akhlak Rasulullah adalah melalui hadis yang diriwayatkanoleh Saidatina Aisyah r.ha yang bermaksud;
“akhlak Rasulullah adalah Al-Quran”.

Oleh itu, marilah kita bersama mengambil pengajaran daripada akhlak yang ditonjolkan oleh junjungan yang mulia dalam usaha menyebarkan dakwah dan memberi kefahaman tentang Islam terhadap orang disekeliling Baginda.

Dalam hadis yang lain riwayat Imam Tarmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.”

Oleh yang demikian, akhlak yang buruk tidaklah menambahkan kepada seseorang itu melainkan kehinaan dan kebencian insan lain. Dengan iltizam kepada akhlak-akhlak yang mulia ini, maka sebarang ideologi yang menyesatkan tidak akan mudah tertempel pada individu kerana ideologi yang menyesatkan itu sentiasa melaungkan seruan-seruan songsang ke arah kebejatan moral manusia.

Nukilan :
Siti Aisyah Sahleha Bt Zaharuddin
Usuluddin Tahun 1, Kaherah
♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: