Moderator KELAP

Ahad, 26 September 2010



SITI KHADIJAH BTE ABD. GHAFFAR atau nama penanya Sammaituha Najwa berasal daripada Negeri Sembilan Darul Khusus. Dilahirkan pada 1 Syaaban 1403 Hijrah bersamaan 14 Mei 1983 Masihi. Anak ketiga daripada lapan saudara ini merupakan mahasiswi Al-Azhar cawangan Kaherah. Mula menceburkan diri dalam dunia penulisan secara serius pada akhir tahun 2005 di bawah bimbingan Saudara Amiza Khusyri Yusof dan saudari Syarifah Salha Syed Ahmad. Kini menulis dalam genre puisi dan cerpen.

Merupakan mantan peserta Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. Beliau pernah dibimbing oleh beberapa penulis berpengalaman dalam seminar dan bengkel oleh Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Puan Nisah Haji Haron dan Saudara Faisal Tehrani. Turut berpeluang mengikuti alumni Minggu Penulis Remaja 2007 yang dikendalikan oleh beberapa moderator berpengalaman seperti Sdr. SM Zakir, Sdr Rahimidin Zahari dan ramai lagi.

Tulisan beliau pernah mendapat tempat di beberapa media di Malaysia. Antaranya komuniti e.sastera.com, Berita Minggu; Anak Merdeka (Ogos 2006) & Hati Seorang Abah (Oktober 2007), Majalah I; Potret Saifi (November 2007), Tunas Cipta; Potret Kelahiran (Julai 2006), Nur; Redha Kerana Itu Ketentuan-Nya (Mac 2006), Dara.com; Kerana Sumayyah (Julai & Ogos 2006) serta radio IKIM.fm; Kandil Di Jiwa (2006).

Karya beliau juga termuat dalam beberapa buah buku dan buletin bersama di Mesir seperti Antologi Cinta Dan Rona Kinanah, Komik Lagenda, Gema Negeri, Hebaks, Suara Kampus, Warta, Suara Hewi, dan beberapa bahan penerbitan Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Beliau juga terlibat dalam organisasi penulisan serta kini menjadi moderator Kem Latihan Penulis (KELAP).



Potret Kelahiran

Kususur Subuh seawal al-fajr
berambal riak keharuan
melafaz syukur kepada-Mu Rabbi
mengizin nafas berdenyut lagi.

Kutadah wajah sunyi al-lail
mengharap nadim setia menyapa
byng sahabat menghilang lama
misteri rahsia berprasangka
hadirkan dia akrab kelongsong jiwa
hadirkan dia menyubur iman pencipta.

Aku letai menyulam rindu
nadim setia masih tiada
kusitir memori kusam
merai kelahiran berkongsi lensa
mercup namanya di perdu jiwa
membingkis sayang
pulanglah segera.

Kuhapus titis nan memetia
tika nadim kembali menyapa
prasangka sirna
salah bertimpa
nadim setia mengalas derita
bertarung nyawa demi agama.

Kuladeni hadiah nadim setia
sebuah puisi
potret kelahiran bersama.


Majalah Tunas Cipta
Julai 2006




♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

2 suara:

  • Siti khadijah Abd. Ghaffar

    Kami hanya membantu menunjukkan jalan. Adik Lailalah yang telah berusaha, ucapan terima kasih tersebut kami kembalikan kepada diri adik. Tahniah atas sifat istiqamah dalam menulis, adik memang berbakat.