Tunas Cipta Ogos 2010

Sabtu, 25 September 2010




(klik gambar untuk paparan lebih jelas)



Nurul Lailati Mahat

Nurul Lailati binti Mahat dilahirkan pada 31 Ogos 1985 di Kg Semerah Darat, Batu Pahat, Johor. Beliau Dibesarkan di Kota Tinggi dan sekarang menetap di Pagoh. Penulis aktif ini mendapat pendidikan di SMK Agama bandar Penawar, Kota Tinggi sebelum ke Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dalam Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat dan kini adalah lepasan mahasiswi Maahad Qiraat al-Azhar, Mansurah, Mesir.

Beliau pernah menyertai pelbagai bentuk bengkel penulisan di tanahair dan Mesir anjuran Kem Latihan Penulis (KELAP) dan Akademi Karyawan Mansurah (AKAR) selain menjadi editor majalah Suara Kampus edisi Johor dan Mansurah serta komik Al-Fityan. Timbalan Pengarah AKAR sesi 2007/2008 ini menulis cerpen, puisi dan artikel yang antaranya tersiar di Tunas Cipta, Dewan Siswa, Remaja, akhbar Mingguan Wasilah, bulletin Suara Kampus, Warta dan komik Al-Fityan.

Karya Beliau turut dibukukan di dalam antologi Bahasa Bumi, Mengemis di kota Larangan dan Badar Metropolitan serta merupakan pemenang Sayembara Puisi Berunsur Islam dibawah anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Beliau juga mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan MiniNovella Fair & Lovely 2008.


http://www.bukanlailaisabella.blogspot.com


KITAB PENGALAMAN


Pada catatan di kitab pengalaman
kami mencari untaian harapan
dari lakaran tinta doa
untuk kami baca
dengan kanta sejarah
yang memantulkan cahaya ‘izzah .

Ada contengan keegoan
dan tulisan keangkuhan
berselirat kealpaan,
lantas kami hilangkan
dengan pemadam kemaafan.
Dan hitam dakwat mawaddah yang tertumpah,
ingin kami bersihkan dengan air mardhatillah.

Kami betulkan erang-erot perpecahan
dengan lurus garis perpaduan.
Kami tambahkan warna-warni qudwah
dari palitan kepimpinan sirah terindah.
Tidak perlu gundah jika kelam ilustrasi mahmudah,
akan kami gantikan dengan indah corak mujahadah.

Pada setiap halaman mehnah
kami menghitung kalimah hikmah
di ruang nusrah.

Kitab pengalaman - meski saatnya kan tiba
kau dilupakan jua
namun aksara terakhir ini amat bermakna
kerana inilah noktah
bidayah
yang mengenalkan kami hakikat ukhuwwah
atas nama akidah.


Tunas Cipta,
Julai 2008



♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: