Moderator KELAP

Isnin, 27 September 2010

Mohd Dhiaul Iman bin Muhamad Shaifuddin lebih dikenali dengan nama pena Ibnu Reza merupakan anak kelahiran Baling, Kedah. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah seterusnya bergelar mahasiswa di universiti al-Azhar Kaherah. Mula melibatkan diri secara serius dalam dunia penulisan bermula tahun 2006 dibawah kelolaan Mohd Zaki bin M. Noor dan Sammituha Najwa. Beliau terlibat dalam penulisan majalah anak negeri selain daripada menjadi penulis kreatif bagi komik Al Fityan. Sejak 2008 beliau terlibat dalam organisasi Kem Latihan Penulis (KELAP) sehingga kini. Beliau turut terlibat dalam penerbitan buku 'Bahasa Bumi', Badar Metropolitan', dan 'Juzuk' di bawah anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) sebagai penulis. Karya beliau pernah mendapat tempat dalam akhbar Berita Minggu.


Pena Merdeka

Percik darah tua,
melukis warna peta,
memberi sebuah suara,
pada selembar sejarah.

Jelaga senja mengguruh,
pada cengkam pena.
Bila palang merah biru,
menjengah lakar di teratak.

Lalu emas memekik!
Dari warkah kusam,
jerih menggarap jiwa.
Biar roh tersentak!
Dari igauan zaman.

Merdeka masih muda,
rasuk dek adat melayu,
berpantang langkah seribu.
Kami jiwa baru!

Cangkir sejarah itu,
tampak kekal lesu.
Gagah dengan sepanduk,
perkasa dengan suara.
Lena diselimut bayang.

Tinta masih menari,
gah! meradang makar.
Merempuh najis zaman,
mencarik karung jahil.
Demi sebuah kebebasan,
dari pena merdeka.


Berita Minggu
31 Ogos 2008




♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

1 suara:

  • nurullailati

    Bagus sajaknya.Patutlah tersiar di media arus perdana.