Apa Yang Perlu Bagi Seorang Penulis

Ahad, 25 September 2011

BERKARYA, BAKAT ATAU MINAT?

Itulah persoalan yang dilontarkan dan pastinya menarik minat khalayak untuk dikongsi bersama. Sebenarnya, minat atau bakat merupakan satu istilah yang kompleks tetapi subjektif dan sukar diekspresikan secara formulasi (ringkas dan tepat). Kita sedia maklum bahawa minat dan bakat memberi konotasi yang komparatif. Ia bergantung kepada setiap individu itu sendiri. Malah, kadang-kadang ianya berubah mengikut persepsi mentaliti masing-masing.

Dari istana peristilahan, minat merujuk akan keinginan kepada sesuatu manakala bakat pula ditafsirkan sebagai kebolehan semulajadi. Di sini jelas bahawa bakat dan minat memberi maknawi yang berbeza.

Barangkali, minat mungkin juga boleh dikaitkan dengan aspek naluri. Apa itu naluri? Satu lagi persoalan yang mungkin juga boleh dikongsi bersama. Naluri merupakan kuasa semulajadi biologi yang mendorong seseorang bertindak mengikut satu-satu cara (Hilgord, 1979).

Walaubagaimanapun, Fantino pula mentakrifkan naluri sebagai pola tingkahlaku yang semulajadi dan bukanlah sesuatu yang dipelajari. Daripada kedua-kedua perspektif ini (Minat dan naluri), kita seolah-olah menemukan satu konotasi yang hampir sama iaitu keinginan dalaman.

Mengikut pelopor teori naluri yang terkenal, William McDougall, beliau menyatakan bahawa kesemua pemikiran dan tingkahlaku manusia dipengaruhi oleh naluri. Sebagai manusia normal, kita dianugerahkan pelbagai jenis naluri. Salah satunya ialah naluri ingin tahu. Kehadiran naluri ini mendorong manusia ingin menyiasat, mencuba dan meneroka. Begitu juga dengan skop penulisan kreatif. Naluri ingin tahu menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mencoret sesuatu, contohnya soal kehidupan dan kemanusiaan.
Mengikut Mustafa Jusoh pula (Cerpenis dari Kelantan) dalam pembentangan kertasnya, ‘Asas Penulisan Cerpen’, beliau menyatakan bahawa minat ialah keinginan atau kecenderungan seseorang dalam bidang yang diceburi. Menurutnya lagi, minat adalah sangat penting untuk digabungjalinkan dengan bakat bagi melahirkan seorang pengarang yang berjaya.

Bagaimana pula dengan bakat? Menurut Mustafa lagi, bakat merupakan kebolehan semulajadi (bakat alam) yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Mustafa seterusnya membahagikan elemen bakat kepada 2 skop iaitu bakat dan usaha. Berikut diturunkan pecahan bakat dan usaha / kerja keras:
1. 90 % bakat + 10 % usaha / kerja keras
Adalah insan yang istimewa. Dalam konteks ini, sasterawan dilahirkan
BUKANNYA dibentuk. Maknanya di sini, seseorang itu telah dikurniakan
anugerah yang istimewa untuk menjadi penulis yang baik.
2. 10 % bakat + 90 % usaha / kerja keras
Adalah insan biasa dan perlu gigih berusaha jika mahu menjadi
seorang penulis yang berjaya. Daripada perpektif ini pula,
sasterawan jenis ini boleh dibentuk.
Dalam situasi sebenar, bakat dan minat adalah tidak mencukupi untuk memungkinkan seseorang itu menjadi penulis yang berjaya. Satu perkara yang dikatakan agak penting dan perlu ditambah untuk melengkapkan lagi bakat dan minat ialah CITA-CITA.

Cita-cita memainkan peranan penting dalam melahirkan penulis yang berjaya. Di sini, cita-cita merujuk kepada hasrat atau harapan setiap individu pada masa hadapan (futurulistik). Tanpa cita-cita, barangkali boleh dikatakan absurd untuk mengembangluaskan bakat dan minat sewajarnya.

Tanpa PEMBACAAN, minat dan bakat individu itu tidak mungkin dapat dikembangkan secara bersepadu. Oleh itu, penulis yang prolifik tidak akan hanya menekuni buku-buku, jurnal atau teks kesusasteraan dan bahasa sahaja.

Skop pembacaan mestilah luas meliputi semua aspek kehidupan seperti bab politik, ekonomi, sosial, sejarah, geografi, agama, perakaunan, sains dan kejuruteraan.


Salah satu cabang ilmu yang cukup penting dan perlu ditelaah bakal-bakal penulis atau penulis yang telah sedia bertapak ialah ilmu psikologi. Ini kerana, penulis dikatakan sebagai orang tengah untuk menyalurkan luahan masyarakat. Justeru, pendekatan psikologi sangat penting samada pendekatan behaviorisme, kognitif, humanis, psikoanalitik, dan neurobiologi.

Ini akan membantu penulis mendekatkan diri dengan masyarakat secara efektif dan menghasilkan karya yang berpijak di bumi nyata, tidaklah bersifat surelisme semata-mata.


Untuk memperkasakan lagi bidang penulisan, penulis juga perlu mendalami teori kritikan samada moden atau pascamodenisme mencakupi strukturalisme,dekontruksi,semiotik,teksdelisme,
fenomenalogi dan banyak lagi (sekadar menyebut beberapa teori).

Dengan ini, penulis sendiri akan tahu sedikit sebanyak kelemahan karya masing-masing walaupun tidaklah secara menyeluruh. Seorang sutradara teater yang juga penulis skrip drama pentas memberitahu, dia juga turut menekuni buku mewarna kanak-kanak semata-mata untuk menjiwai fragmen watak kanak-kanak di pentas.

Impaknya, ini akan membantu seseorang pengkarya itu menghasilkan karya yang baik, bermutu dan boleh dipertanggungjawabkan. Tidak hanya berkisar seputar isu yang remeh, sempit dan picisan sahaja.


Minat sudah ada. Bakat juga ada. Membaca pun rajin. Tetapi, langsung tidak menulis. Sebenarnya, jika situasi ini wujud, ianya seolah-olah sia-sia sahaja. Pengkarya yang baik sebenarnya perlu menulis setiap hari.

Akan tetapi, seseorang itu mestilah bijak membahagikan masa supaya tidak mengganggu dan mengabaikan proses perjalanan rutin harian.

Ini termasuklah komitmen kerja atau profesion sebenar masing-masing, tanggungjawab terhadap keluarga, bersosialisai dengan induk masyarakat dan tanggungjawab terhadap Pencipta. Pengkarya yang baik mestilah mempunyai jadual penulisan yang tersusun dan sistematik supaya tidak mengganggu hal yang lain.

Tetapi perlu diingat, isu TIADA MASA tidak boleh wujud dalam dunia seorang penulis.Dalam ujana penulisan kreatif tanahair, terdapat beberapa nama yang boleh dikatakan mempunyai bakat istimewa ini.

Antaranya ialah Latif Mohidin, Ghafar Ibrahim dan Siti Zainon Ismail (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka bukan sahaja berkecimpung dalam bidang penulisan malah juga sebagai pelukis yang disegani.

Di sini jelas bahawa mereka tidak mensia-siakan bakat alam yang dimiliki. Walaubagaimanpun, jika mereka hanya berbakat, tetapi tidak berminat, mustahil mereka boleh menulis dengan baik.

Kita juga memiliki beberapa nama yang terdiri daripada golongan intelek samada profesional atau separa profesional yang juga tekun menulis. Antaranya ialah Lee Keok Chih, Nisah Haron dan Aminah Mokhtar.

Lee Keok Chih sibuk dengan dunia kejuruteraanya, Nisah Haron dengan kerjaya guamannya manakala Aminah Mokhtar pula seputar pesakitnya. Walaubagaimanapun, kerana minat, langsung tidak menghalang mereka untuk turut sama terjun dalam dunia penulisan. Mereka juga dikatakan memiliki bakat yang istimewa.

Di sini, dapat kita katakan bahawa mereka telah menggabungjalinkan minat dan bakat dengan komprehensif sekali dan menterjemahkannya ke dalam penulisan.
Walaubaimanapun, setiap manusia dilahirkan berbeza bakat dan minatnya. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk mempergunakannya dengan efektif.

Block ( 1971), dalam satu kajian yang melibatkan 100 orang lelaki dan perempuan untuk satu tempoh yang agak lama (25 tahun) telah merumuskan bahawa ciri-ciri individu seperti kawalan emosi, MINAT, kesabaran dan kebolehpercayaan tidak banyak berubah.

Di sini. Dapatlah kita tafsirkan bahawa ia merujuk kepada aspek individu itu sendiri samada mahu atau tidak. Bakat dan minat penting untuk melahirkan karya agung. Itu perkara yang perlu dipegang.

Secara keseluruhannya, dapatlah dikonklusikan seperti berikut:

1. Tanpa minat, bakat yang dimiliki hanyalah sia-sia sahaja jika tidak
diperkembangkan dengan berkesan.
2. Walaupun tiada bakat, seseorang itu berpotensi menjadi penulis yang
berjaya asalkan mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh dan penuh
minat.
3. Minat dan bakat tidak mencukupi untuk memungkinkan seseorang itu
menjadi penulis yang berjaya. Beberapa elemen lagi yang perlu
digabungjalinkan ialah cita-cita, rajin membaca dan tekun menulis.


♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: