
Cerpen adalah cerita pendek, maka setiap elemen cerpen yang diketengahkan pengarang hendaklah mempunyai signifikasi sendiri dalam menyampaikan persoalan tunggal cerpen itu sendiri.
Latar tempat dan masa dalam cerpen penting kerana ia mengehadkan ruang dan memberi mindset tertentu kepada pembaca. Tanpa latar tempat yang jelas, pembaca akan berasa seolah-olah watak-watak terapung-apung di dalam suatu ruang lingkup yang luas (Dr Othman Puteh, Panduan Menulis Cerpen). Secara tidak langsung ini akan menimbulkan kesan kurang selesa sepanjang pembacaan. Selain itu, dengan adanya latar tempat dan masa, pengarang mempunyai peluang yang besar untuk menggunakan teknik pemerian (teknik plot!) dalam membina plot ceritanya.
Cerpen adalah karya kreatif berbentuk fiksyen, secara peribadi saya berpendapat karya genre ini seharusnya mampu membawa pembaca mengembara ke tempat (atau alam) lain. Tetapi ini tidak bermakna latar tempat dan masa boleh dibina sambalewa sahaja. Unsur-unsur alam yang biasanya dikaitkan dengan kedua-dua jenis latar ini sepatutnya mempunyai kepentingan sendiri dalam karya.

Sebagai penuntut di luar negara yang berpeluang mengembara di negara orang dan kawasan-kawasan sekitarnya (saya berani teka hampir semua pelajar di Eropah tentu paling tidak pernah menjejak Al Andalus, bukan? Yang di US wajib pernah jejak LA atau NY?), kita mempunyai sumber yang banyak untuk dimanfaatkan dalam penulisan. Barangkali kita hanya perlu lebih teliti memerhati dan menghubungkan sesuatu elemen dengan yang lain. Jalan mudah mungkin tiada, kecuali terus menulis. Kematangan karya akan terserlah andai kita istiqamah dan sentiasa mencari jalan memperbaiki diri.
sumber : http://rebeccailham.blogspot.com
0 suara:
Catat Ulasan