Tips Menulis Artikel Berkualiti.

Sabtu, 24 September 2011


1. Diksi
Diksi ialah pemilihan atau penggunaan kata yang tepat untuk mengungkapkan idea secara bertulis ataupun lisan. Dalam konteks ini, anda perlulah sentiasa memberi perhatian kepada pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah semasa menulis agar memberi nikmat kepada pembaca. Ini bererti hal-hal yang ingin disampaikan mestilah disusun dengan bahasa yang terpilih bertujuan memberikan keindahan kepada hasil tulisan masing-masing.

2. Mempunyai wacana yang jelas, tepat, betul, lengkap, dan kohesi.
Artikel perlulah ditulis secara gramatis dan mempunyai tarikan kuat diantara satu sama yang lain. Pastikan kesinambungan di antara satu perenggan dengan perenggan yang lain terjaga. Apa yang lebih penting pastikan kesatuan buah fikiran dan cerita anda. Sekiranya perlu, cuba elakkan penulisan yang terlalu singkat dan tersendat-sendat. Kadang-kadang huraian amat diperlukan untuk memberi pemahaman yang lebih kepada pembaca anda.


3. Mengggunakan bahasa yang betul dari segi tatabahasa, ejaan, istilah, dan tanda baca.
Ramai yang mengambil mudah penggunaan tatabahasa dan ejaan yang betul semasa menulis. Ini mungkin disebabkan oleh salah faham masing-masing kepada istilah penulisan berkualiti, yang kononnya dinilai atas tiket kandungan artikel itu sendiri. Golongan yang saya maksudkan ini cenderung menulis mengikut apa yang terlintas di fikiran serta mengabaikan terus aspek tatabahasa. Bahkan ada di antara mereka yang sewenang-wenangnya menukar ejaan dan sebutan asal kepada slanga masing-masing. Apa yang lebih menyakitkan mata, penggunaan secara berlebihan tanda baca seperti noktah dalam penulisan. Natijahnya kandungan artikel yang ditulis kelihatan rapuh dan kebudak-budakan.

4. Menggunakan laras bahasa yang sesuai.
Anda perlu bijak menggunakan laras bahasa yang sesuai untuk setiap artikel. Contohnya, mengelakkan penggunaan ayat yang terlalu teknikal untuk memberitahu makanan kegemaran kucing anda. Atau pun menggunakan istilah sains untuk ayat-ayat cinta. Paling penting jangan jadikan bahasa rojak sebagai salah satu laras bahasa anda! Itu jahil.

5. Pemerengganan yang baik.
Saya tidak ingin menyentuh mengenai cara membuat perenggan berdasarkan jenis penulisan dalam artikel ini, sebabnya saya sedar umum sudah mengetahui pemerengganan pada setiap bentuk penulisan (naratif, deskriptif, hujahan, laporan dan surat rasmi) adalah berbeza. Tapi apa yang cuba saya tekankan ialah kaitan di antara perenggan dengan artikel berkualiti. Sebenarnya membuat perenggan bukan sahaja mempengaruhi psikologi pembaca untuk terus membaca artikel yang panjang, bahkan sebagai pemisah di antara setiap isi yang cuba diketengahkan oleh penulis. Dengan membuat perenggan juga, unsur bunyi dan irama yang tersusun indah akan sentiasa terpelihara.
♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: